Entri ini merupakan lanjutan daripada entri yang lepas:
Idea Sejarah dalam Pembentukan Watak (Bhg. 1)
Modal sejarah tidak terkira hadnya. Sejarah amat istimewa: tidak ada hakcipta. Perkara ini pernah disentuh dalam Bengkel Saifai PTS II pada tahun 2007. Menurut bengkel tersebut, disebut bahawa sesiapa sahaja boleh mengambil sesuatu dan mengolah daripada sumber sejarah.
Dalam entri lepas, kita telah melihat bahawa sumber sejarah yang termaktub dalam kitab suci al-Quran terkandung modal idea yang tidak terbatas. Dalam entri yang agak panjang ini, kita akan meneliti secara khusus bagaimanakah idea sejarah dapat membantu kita untuk mereka sesuatu watak. Pendek kata, kita memanfaatkan ‘format’ watak sudah terpampang dalam sejarah. Hanya perlu sedikit usaha dan daya kreativiti anda untuk menghiasi watak berdasarkan cerita anda!
Memperkatakan watak dan perwatakan saifai memerlukan kita sedikit berfikir. Bahkan, ‘dunia’ ataupun latar saifai juga dikelaskan sebagai watak tersendiri. Perkara ini telah disebutkan sahabat saya sdr. Firdaus Ariff. Beliau adalah penulis novel fantasi
Trilogi Kristal: Sayap Adinila dan
Armada Azur. Insya-Allah perbincangan ‘dunia’ / latar saifai akan dibincangkan dalam entri-entri mendatang.
Berdasarkan penelitian saya lebih kurang setahun yang lepas, watak merupakan pemain jalan cerita yang dipengaruhi dan dibentuk oleh banyak faktor. Saya telah merumuskan dalam rajah bawah yang dinamakan sebagai Sinergi Saifai SITL. Hal ini adalah rumusan daripada beberapa saifai yang masih ‘evergreen’, tetap berkembang dan mempunyai jutaan peminat sehingga kini. Bahkan, saifai-saifai ini ada yang berumur lebih daripada 30 tahun! Perbincangan ini tidak disentuh di sini, tetapi dalam entri-entri mendatang.
Kelebihan kepada anda yang banyak membaca, pendedahan kepada banyak watak sejarah akan menghasilkan natijah yang amat bermakna: gabungan beberapa watak dalam bank idea anda akan melahirkan watak baru yang anda reka sendiri!
Kita boleh mengambil daripada mana-mana zaman ataupun era. Jika dalam entri lepas kita mengambil era purba kala pada zaman firaun. Maka dalam perbincangan ini, kita merujuk kepada era dunia sedang bergolak dengan peperangan hampir di seluruh penjuru bumi. Mari kita analisa tentang ketumbukan stormtroopers pada era Perang Dunia Pertama (1914-18) dan Kedua (1939-45) yang diguna pakai sebagai modal huraian watak dalam saifai terdahulu. Saifai yang dimaksudkan adalah saki-baki Neo-Zeon (Sleeves) dalam siri Mobile Suit Gundam Unicorn dan Star Wars episod IV sehingga VI.
Pengenalan tentang Stormtroopers
Perang Dunia I (1914-18)
Stormtroopers ataupun dikenali sebagai stosstruppen merupakan ketumbukan elit tentera Jerman dalam Perang Dunia Pertama (1914-18). Stosstruppen adalah stormtroopers dalam bahasa Jerman. Ini merujuk kepada askar penggempur elit Jerman yang terlatih menggunakan taktik infiltrasi dengan pantas untuk mengalahkan musuhnya. Unit ini wujud secara rasmi pada tahun 1915 sebagai langkah untuk memecahkan kebuntuan peperangan parit (trench warfare) antara pihak Berikat (Allied – Britain, Perancis, Amerika, Rusia Itali dan Jepun) dengan pihak Kuasa Tengah (Central Powers – Jerman, Austria-Hungari dan Turki).
Menurut buku
The Ultimate Illustrated History of World War I, Ian (2009) telah mengisahkan bahawa peperangan parit telah meragut jutaan nyawa kedua-dua belah pihak. Namun hanya sedikit sahaja wilayah yang dikuasai. Masing-masing telah melancarkan ofensif demi ofensif, tetapi menemui kegagalan termasuklah menggunakan senjata kimia melalui gas beracun. Yang menang dikalahkan. Yang kalah cuba untuk memenangi semula. Ayunan kekuatan berbolak-balik tanpa ada keputusan yang meredakan bahang api peperangan. Perang yang disangka berlangsung beberapa minggu menjadi mimpi ngeri selama beberapa tahun.
Stosstruppen telah bertempur cemerlang dalam beberapa ofensif pada 1917 sehinggalah 1918. Penglibatan ketumbukan tersebut dihuraikan dengan terperinci oleh Ian dan Gerry (1995) dalam buku
Osprey Warrior: German Stormtrooper 1914-1918. Taktik gempur dalam skuad-skuad kecil yang digunakan oleh stosstruppen adalah julung kalinya diterapkan oleh tentera Jerman dalam sejarah peperangan.
Infantri stosstruppen tidak lagi menggunakan taktik yang membunuh diri; iaitu mara menghadap musuh membawa raifal dan bayonet beririgan mirip formasi abad ke-19 (gambar). Taktik sebegini telah meragut jutaan nyawa tanpa ada kemenangan yang mutlak. Pernah disebutkan oleh Harun Yahya (2001) dalam buku
The Disasters Darwinism Brought To Humanity; dalam sebuah pertempuran, dalam 20 minit 20,000 askar Berikat telah mati terbunuh mara menggempur pertahanan musuh menggunakan taktik ini.
Akan tetapi, stosstruppen mara dalam kumpulan-kumpulan kecil yang akan menyusup dengan pantas menyerang posisi musuh. Kemudian mereka akan menggempur posisi-posisi strategik yang lain. Menurut Peter dan Mike (2003) dalam
Panzerkrieg: A History of the German Tank Divisions in World War II, taktik tersebut menginfiltrasi kedudukan pihak Berikat, melangkau pertahanan kukuh, memusnahkan pos pemerintah dan artileri. Pendek kata, serangan tersebut mengkucar-kacirkan rantaian kawalan perintah komander musuh dan mengelakkan musuh berundur dan membuat pertahanan yang baru.
Saki-baki musuh akan ditewaskan oleh askar-askar biasa yang menyusul. Stosstruppen dibekalkan dengan senjata serta kelengkapan yang efektif untuk pertempuran jarak dekat, termasuklah raifal Mauser K.98 diubahsuai, submesingan pertama dunia iaitu MP-18, grenad, mesingan ringan, pemotong wayar dan pelontar api (flamethrower).
Julung kalinya pada 1918, pihak Jerman telah memecahkan kebuntuan peperangan parit dengan melancarkan Operasi Michael. Operasi tersebut telah digempur hadapan oleh stosstruppen. Kemaraan mereka begitu pantas. Walaubagaimanapun dengan meningkatnya penentangan pihak Berikat, tempo kemaraan tentera Jerman semakin perlahan. Akhirnya mereka terpaksa berhadapan dengan serangan balas ofensif musuh.
Ribuan stosstruppen menjadi korban. Ofensif stosstruppen hanya berhasil di peringkat taktikal. Tetapi di peringkat strategik, tentera Jerman tidak dapat bertahan lama menghadapi pihak Berikat. Itulah ofensif terakhir Jerman.
Perang Dunia II (1939-45)
Stosstruppen telah lenyap sebagaimana lemahnya kuasa Jerman pasca Perang Dunia I. Setelah Perjanjian Versailles yang telah ditandatangani pada tahun 1919, Jerman menghadapi malapetaka kerugian yang amat besar. Negara tersebut terpaksa membayar ganti rugi perang, kehilangan wilayah, mengehadkan ketumbukan tentera darat, menenggelamkan armada Grand High Seas Fleet dan memansuhkan tentera udara, Luftstreitkräfte. Semangat rakyat Jerman luntur.
Tidak lama selepas itu, apabila memasuki era 1920-an, dunia telah menyaksikan kebangkitan fahaman-fahaman ekstremis di Eropah. Adolf Hitler telah membangkitkan semangat rakyat Jerman dan menguatkan Jerman di tengah-tengah kelalaian negara Eropah.
Lagenda stosstruppen telah dibangkitkan semula dengan ketumbukan separa tentera (paramilitary). Ketumbukan tersebut bergelar Sturmabteilung ataupun singkatan SA dengan tujuan sebagai alat pengukuh politik. Dalam majalah Perajurit, Mohd. Zaki (Ogos 2000) artikel beliau ‘Tentera Elit Nazi’ SA dikembangkan kepada Stosstrupp Hitler. Diktator tersebut menubuhkan satu lagi pasukan pengawal peribadi elit yang dikenali sebagai Schutzstaffel atau dengan singkatan SS.
Shutzstaffel pada awalnya sebagai pengawal peribadi Hitler menghadapi musuh politik dan parti komunis. Secara amnya, ribuan ahli tegar SS yang meliputi pelbagai cabang didoktrinasi dengan fahaman ekstrem kebangsaan Nazi. Seramai 120 anggota daripada 10,000 anggota telah terpilih untuk membentuk satu lagi ketumbukan tentera elit yang dikenali sebagai Leibstandarte Adolf Hitler (LSSAH - Rejimen Pengawal Peribadi Adolf Hitler). Menjelang Perang Dunia Kedua, LSSAH berkembang lima divisyen dan dinamakan semula sebagai Waffen-SS. Ketumbukan tersebut telah bertempur di Poland, Perancis, Balkan, Rusia, dan Eropah.
Osprey Warrior Waffen-SS buku terbitan Osprey Publishing. Cover kiri merupakan edisi asal (Bahasa Inggeris) dan sebelah kanan edisi terjemahan Bahasa Indonesia terbitan Gramedia. Buku ini pernah menjadi perhatian dalam entri blog saya (2009) di pautan ini.
Nukleus Waffen SS sejak penubuhan telah terlatih menggunakan taktik warisan stosstruppen, iaitu serangan yang pantas, aturgerak mantap, kebolehsesuaian dan mampu diri dalam serangan. Namun demikian, Waffen-SS dilatih sebagaimana tentera regular Heer yang lain, tetapi mereka disaring berdasarkan kriteria fizikal yang amat ketat.
Waffen SS memberikan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Hitler. Menurut Chris dan Adam (2001) dalam German Weapons of World War II doktrinasi ideologi Nazi menjadi nadi utama kepada Waffen-SS.
Teras kepercayaan mereka adalah persaudaraan kukuh yang kukuh untuk membentuk dunia baru bangsa Aryan. Juga, mereka bertanggungjawab memelihara bangsa penentu kebahagiaan dunia. Ini selari dengan moto perjuangan mereka:
“Mein Ehre heisst Treue”
“Loyalty is My Honor”
“Kesetiaanku Maruahku”
Waffen SS adalah tentera elit yang dilengkapi dengan persenjataan terkini serta dipimpin oleh komander yang agresif. Persenjataan canggih yang merevolusikan seni pertempuran dipadukan dengan sifat agresif Waffen SS menjadikan ketumbukan tersebut digeruni di medan pertempuran. Antara senjata yang digunakan adalah Sturmgewehr 44 (StG-44), MG 42, Panzerfaust, Panzer VI ‘Tiger’ dan Panzer VII ‘Konig Tiger’ dan sejumlah lagi persenjataan lain.
Mereka telah diberikan kepercayaan oleh Hitler mengepalai penggempur hadapan ketika ofensif yang dilancarkan. Menurut buku Military Handbooks: Great Battles of the Waffen-SS, Darman (2004) mengatakan bahawa Waffen SS dikenal sebagai ketumbukan elit yang fanatik dalam menyerang, kedegilan dalam bertahan dan terkenal enggan mengaku kalah apabila terkepung.
Seringkali pada penghujung penggal kedua peperangan, ketika tentera Jerman terpukul oleh tentera Merah Soviet dan pihak Berikat, Waffen SS telah bertindak cemerlang dengan melancarkan serangan balas yang telah berhasil memerangkap ketumbukan musuh yang besar sebelum berundur.
Darman (2004) menyebutkan, Waffen SS berjaya di medan pertempuran adalah koordinasi mantap antara armor (kereta kebal) dan infantri mekanis, inisiatif antara pegawai muda dan pegawai NCO serta pembentukan pasukan tempur khas untuk penggempur. Tidak dinafikan juga adalah motivasi yang tinggi sesama askar dan dipimpin oleh komander yang cepat bertindak dan dilengkapi dengan persenjatan yang terbaik.
Pengembaraan mereka amat jauh. Dari padang rumput Rusia ke hutan tebal Ardennes telah diredah, Waffen SS menempuh rekod bertahun-tahun bertempur. Berapa banyak nyawa melayang, dek fanatik menyanjung seorang pemimpin gila kuasa dan ideologi bengis. Ayunan kuasa dunia tidak memihak kepada mereka lagi. Bagaimana sebuah ketumbukan elit dapat menahan gelombang badai seluruh dunia atasnya?
Mereka enggan mengaku kalah, tetapi berjuang sehingga akhirnya di sisi pemimpin yang masih mengimpikan empayar Reich seribu tahun lagi. Itu hanya igauan, kerana kekalahan hanyalah sejengkal dari pagar Reichstag. Jika orang lain sudah menyerah diri, namun tidak bagi Waffen SS, ia akan berjuang. Hidup dan mati adalah untuk Hitler. Tetapi mereka tidak berdaya. Mereka terkubur bersama pemimpin pilihan, di celah-celah puing-puing kejatuhan Berlin pada 1945...
Setelah pengenalan serba ringkas mengenai stormtroopers Jerman, marilah kita teruskan dengan merungkaikan penggunaan idea sejarah ini dalam saifai. Saifai tersebut adalah daripada lagenda saga Universal Centry, iaitu Gundam Unicorn (2010) dan Star Wars (1977).
2.1 AMS-129 Zulu: Stormtroopers Dua Perang
Kemunculan robot gergasi Mobile Suit (MS) AMS-129 Geara Zulu dalam siri Gundam Unicorn amat menarik perhatian. Unit tersebut terlibat dalam pertembungan konflik ‘Kotak Laplace’ pada jalur masa tahun ke-96 Universal Century (UC 096). Konflik tersebut berlaku tiga tahun selepas peperangan besar antara pihak Persekutuan Bumi (E.F.S.F – Earth Federation Space Force) dan Zeon dalam Char’s Counterattack dan 27 tahun sebelum siri Gundam F91. Anime Gundam Unicorn merupakan adaptasi daripada novel grafik yang dikarang oleh novelis terkenal Harotushi Fukui. Novel tersebut telah terbit pada tahun 2006, dengan jualan laris sebanyak 1.8 juta naskhah!
Unit ini adalah daripada pihak Neo-Zeon ataupun dikenali sebagai ‘Sleeves’ yang merupakan unit MS ‘askar biasa’ dikilangkan secara besar-besaran (mass production). Unit tersebut menjadi tulang belakang di sebalik MS khas pihak tersebut (seperti NZ-666 Kshatriya, MSN-06S Sinanju).
AMS-129 Zulu (Zulu) amat unik. Pada pemerhatian saya, rekaan MS tersebut beserta senjata tempur adalah gabungan daripada uniform, kelengkapan dan persenjataan stosstruppen kedua-dua Perang Dunia. Kita akan meneliti keselarian Zulu dan ekstrak daripada ‘format’ watak yang telah sedia ada dalam sejarah digabungjalinkan dalam satu watak. Perbincangan berkisar berkenaan reka bentuk (design), persenjataan dan latar asas Zulu.
2.1.1 Reka Bentuk dan Ciri Fizikal
Mobile suit ini merupakan kesinambungan MS lagenda
Zaku II (Perang Satu Tahun, UC0079) dan
AMS-119 Geara Doga (Serangan Balas Char, UC0093). Zulu mempunyai reka bentuk yang tersendiri, tetapi masih lagi mengekalkan ciri rekaan ortodoks Neo-Zeon. Khasnya adalah penderia (sensor) mata satu (mono-eye) di kepala Zulu. Dapat diperhatikan, kesemua MS Neo-Zeon mempunyai sifat ini.
Penderia ini seolah-olah ‘mata’ bagi robot tersebut. Hakikatnya, dari sudut pandangan kejuruteraan robotik, penderia adalah satu unsur yang tidak dapat dipisahkan. Tanpa sensor, sesuatu robot akan ‘buta’ kerana tidak dapat bertindak kerana ketidakmampuan memproses data. Sudah tentu mobile suit E.F.S.F juga mempunyai penderia robotik, tetapi di sini letaknya seni reka bentuk berdasarkan falsafah Neo-Zeon. Rekaan ini menjadi identiti kepada Neo-Zeon sekaligus sebagai perang psikologi kepada musuh-musuh mereka.
Zulu unik dari segi rekaannya kerana amat mirip kepada stormtroopers dua Perang Dunia, iaitu stosstruppen Perang Dunia I dan infantri Waffen-SS Perang Dunia II. Kita lihat ciri tersebut dalam rajah di bawah. Rekaan umum Zulu hampir kepada infantri Waffen SS:
Manakala kepala Zulu pula mirip gabungan helmet besi ‘Stahlhelm’ dan topeng gas yang diguna pakai oleh stosstruppen. Topeng gas tersebut merupakan kelengkapan asas stosstruppen dalam melindungi mereka menghadapi peperangan gas beracun di Medan Barat (Western Front) terutama di Perancis.
Infantri Waffen-SS termasuk Heer juga dibekalkan topeng gas tersebut dalam sebuah tabung silinder khas. Tetapi topeng tersebut tidak digunakan secara meluas, kerana Hitler melarang penggunaan gas beracun kerana dirinya pernah menerima kesan buruk ketika Perang Dunia I. Hitler tidak mahu berhadapan dengan ancaman yang sama sekiranya tentera Jerman menggunakan kaedah tersebut.
2.1.1.3 Variasi Geara Zulu
Sesebuah rekaan yang mampu beradaptasi dengan pengubahsuaian dan penambahan akan menjimatkan kos dan masa pengeluaran sesuatu unit. Ini adalah disebabkan, jurutera tidak perlu lagi membina rekaan yang baru. Sebaliknya, berdasarkan rekaan asas, unit tersebut diubahsuai dan ditambah mengikut kehendak pereka.
Tambahan pula, dengan menggunakan kerangka yang sama akan menjimatkan alat ganti (spare part) dan menyelaraskan kerja-kerja teknikal ketika penyelenggaraan. Lazimnya dalam mana-mana siri Mobile Suit Gundam, terdapat banyak variasi unit yang berkembang daripada unit asas. Zulu juga tidak terkecuali. Beberapa variasi dinaiktaraf digunakan oleh Neo-Zeon dalam konflik Kotak Laplace. Penulis saifai boleh mengembangkan modal huraian dengan menggunakan metod ini. Idea dicambah daripada sebuah unit asas sehinggalah unit canggih.
Setakat episod ketiga Gundam Unicorn, terdapat empat variasi Zulu dalam anime tersebut, seperti yang tertera dalam rajah-rajah di atas.
2.1.2 Senjata Zulu
Rajah di atas merupakan persenjataan asas dan tambahan Zulu. Secara asasnya, Zulu membawa senjata utamanya, iaitu
Beam Machine Gun. Ini disusuli dengan
Sturm Faust,
Hand Grenade dan
Beam Hawk (kapak laser). Lazimnya Zulu diubahsuai Jenis Guards dalam operasi khas akan dilengkapi dengan pelbagai kelengkapan yang lain.
Operasi subversif Sleeves memungkinkan unit pihak tersebut untuk dilengkapkan dengan persenjataan yang agak banyak per unit. Tambahan pula, Zulu dibekalkan dengan amunisi magazin yang agak banyak di sisi pinggang hadapan MS tersebut.
Sebagai contoh, dalam episod 1 Gundam Unicorn, Zulu yang berkawal lengkap bersenjata telah menyerang beberapa unit RGM-95 ReZeL yang mengepung koloni Industri 7. Unit tersebut bertindak agresif sebelum menyerang unit E.F.S.F yang lain. Akan tetapi, skuadron ReZeL telah memusnahkannya.
Seperti mana juga infantri stosstruppen dan Waffen-SS, mereka adalah ketumbukan yang lengkap bersenjata berbanding dengan askar regular Jerman, Heer.
a. Beam Machine Gun dan Stg-44
Jika diamati, Beam Machine Gun Zulu persis dengan raifal tempur Waffen-SS, iaitu
Sturmgewehr 44 ataupun singkatan
StG-44. Tinjauan sejarah mendapati bahawa StG-44 merupakan raifal tempur yang telah merevolusikan seni pertempuran. Teknologi canggih pereka senjata Jerman telah menggabungkan antara raifal pin-bolt seperti
Mauser 98K dan
submesingan MP-40.
StG-44 unggul di medan pertempuran kerana mempunyai kadar tembakan yang tinggi seperti submesingan, tetapi pada jarak yang jauh seperti raifal pin-bolt. Pengguna StG-44 mempunyai kelebihan kerana raifal pin-bolt masih dominan di kalangan pihak bertelagah ketika Perang Dunia II.
Raifal pin-bolt seperti
Mauser 98K (rujuk rajah atas) mempunyai kadar suapan peluru yang perlahan dan insani. Seseorang askar yang menggunakan senjata ini mesti menarik perencak lantas mengeluarkan kelongsong peluru untuk menyuapkan peluru baru sebelum picu dilepaskan. Kadar suapan ini memberikan keadaan yang merugikan kepada askar apabila berhadapan dengan musuh yang ramai, bergerak cepat dan dalam pertempuran bandar. Meskipun begitu, raifal jenis ini mempunyai jarak tembakan yang jauh. Sehingga hari ini, raifal jenis pin-bolt masih digunakan oleh penembak tepat (sniper) tentera.
Submesingan pertama dunia, MP-18 telah digunakan oleh stosstruppen dalam Perang Dunia I. Senjata tersebut mempunyai kadar tembakan yang tinggi pada jarak dekat. Ini memberikan kelebihan kepada stosstruppen apabila menggempur parit musuh.
Manakala dalam Perang Dunia II, tentera Jerman telah menaiktaraf submesingan kepada
MP-40. Senjata ini masih mengekalkan kadar tembakan yang tinggi, tetapi ketepatan berkurangan pada tembakan jarak jauh. Pengguna MP-40 tidak dapat membalas tembakan musuh yang menggunakan raifal pin-bolt di lapangan terbuka dengan tepat.
Lahirnya StG-44 telah mengatasi kelemahan insani Mauser 98K dan jarak tempur submesingan MP-40 dalam perkhidmatan tentera Jerman. Waffen-SS adalah penerima awal senjata ini. Terbukti dalam pertempuran Ardennes pada Disember 1944, askar Wehrmacht mengungguli pertempuran dengan raifal tempur tersebut. Raifal tempur ini menjadi lagenda, kerana telah melahirkan satu lagi raifal lagenda yang sudah pun berumur lebih separuh abad dan masih digunakan meluas di seluruh dunia sehingga kini: Kalashnikov AK-47.
Atas: Leftenan Angelo Sauper dan Zulu Jenis Guards bertempur dalam Gundam Unicorn Episod 2: Second Coming of Char. Bawah: Infantri Waffen SS mara di medan Ardennes, 1944. Lihat persamaan beam machine gun dengan StG-44
b. Hand Grenade dan Stielhandgranate
Stielhandgrenade ataupun ‘Stick grenade’ (grenade berbatang) merupakan senjata penting buat stosstruppen dan generasi tentera Jerman Perang Dunia II. Stosstruppen dikenal dengan membawa beg yang sarat dengan Stielhandgrenade ketika operasi serbuan parit musuh pada waktu malam. Begitu juga semasa Perang Dunia II, grenad ini digunakan dengan meluas oleh tentera Jerman.
Cuma saya kebingungan sedikit, apakah relevan MS seperti Zulu ini juga mempunyai senjata bom tangan seperti ini. Ini memandangkan grenad merupakan senjata yang melayang menurut trajektori balingan dan jatuh meletup di sasaran dek ditarik oleh graviti. Sedangkan, kebanyakan konfrontasi E.F.S.F dan Sleeves berlaku di angkasa, iaitu graviti adalah sifar! Mungkin juga Hand Grenade Zulu dilengkapi dengan keupayaan magnetik yang tertarik kepada material logam. Apapun, ruang merasionalkan sesuatu perkara dalam saifai tidak terbatas!
c. Sturm Faust dan Panzerfaust
Zulu dilengkapi dengan persenjataan anti-material jarak jauh yang berupa pelancar roket. Senjata ini digelar sebagai
Sturm Faust. Juga, senjata tersebut mirip akan pelancar anti-armor tembak buang
Panzerfaust yang digunakan oleh tentera Jerman bermula tahun 1943.
Dua infantri Waffen-SS beraksi dengan Panzerfaust (kanan) dan Steilhandgranate (kiri)
Panzerfaust digunakan dengan meluas ketika kemelut Perang Dunia II berada di fasa pihak Berikat menyerang kembali pihak Paksi (Axis) sekitar tahun 1943-1945. Tentera Jerman terutamanya menghasilkan pelancar roket seperti Panzerfaust agar dapat melengkapi infantri Jerman menghadapi gerombolan armor (kereta kebal) tanpa terlalu berharap kepada sokongan meriam, kereta kebal ataupun pesawat sahabat. Ini kerana bekalan bahan bakar petrol tentera Jerman semakin berkurang; maka infantri menjadi harapan terakhir pertahanan yang kian tipis.
2.1.4 Latar Asas MS Zulu
Pasca dua konflik besar Perang Satu Tahun (UC079) dan Serangan Balas Char (UC093), pengaruh kekuatan Neo-Zeon luntur dengan hilangnya pemimpin karismatik mereka, Char Aznable (gambar bawah). Neo-Zeon hanyalah sebuah ‘organisasi teroris’ yang tidak bernaung ataupun diiktiraf bawah Persekutuan Bumi. Dalam konflik ‘Kotak Laplace,’ Neo-Zeon dikenali sebagai ‘Sleeves.’ Kekuatan mereka bukan lagi seperti zaman Char Aznable dengan armada dan tentera konvensional berskala besar. Bahkan, operasi mereka hanyalah di peringkat subversif ataupun corak gerila.
Gerakan Sleeves yang dipimpin oleh seorang yang dipercayai sebagai kelahiran semula Char Aznable iaitu Full Frontal. Beliau merupakan manusia Newtype ataupun klon kepada Char. Oleh yang demikian, dirinya mewarisi paras rupa, karismatik, intelek dan kepimpinan sebagaimana Char. Dipercayai, memori Char dipadankan dengan kokpit kerangka-psiko (psycho-frame) mobile suit peribadi beliau, iaitu MSN-06S Sinanju (gambar bawah).
Pilot MS Sleeves berpegang kepada fahaman Zeon, iaitu satu fahaman yang diasaskan oleh Zeon Deikun (ayah Char Aznable). Fahaman tersebut percaya akan wujudnya manusia ‘Newtype’ yang beralih kepada peringkat evolusi seterusnya. Newtype juga dikenal sebagai ‘spacenoid’ harus diberikan hak untuk bebas tidak terikat kepada bumi. Pendek kata, mereka diberikan kemerdekaan, autoriti dan autonomi sebagai sebuah negara koloni Zeon. Oleh yang demikian, kedua-dua konflik yang lepas telah meragut banyak nyawa. Prejudis menebal masih menghantui kedua-dua belah pihak. Kemunculan Full Frontal memimpin Sleeves mengumpulkan kekuatan lama. ‘Kotak Laplace’ mesti dibuka, untuk menumbangkan Persekutuan Bumi yang kian lemah cengkaman.
Kebangkitan Sleeves dengan MS terbaru, Zulu seakan-akan mengulangi cerita pahlawan zaman terdahulu. Bertepatan juga, mungkin nama ‘Zulu’ tersebut mengambil nama daripada suku kaum Zulu di Afrika Selatan yang berjuang mengekalkan kedaulatan dan kemerdekaan bangsanya. Imperialis British dengan rakus mara menyapu kaum yang dianggap rendah taraf di sisi manusia berevolusi. Ini merupakan rentetan langsung aplikasi teori evolusi Darwin. Teori tersebut telah melahirkan fahaman-fahaman radikal yang telah meragut jutaan nyawa terutama pada abad ke-20.
Nyata, kaum Zulu telah mempamerkan kepahlawanan menghadapi gergasi British yang lengkap bersenjata api. Ketumbukan British telah dikalahkan dengan dahsyat sekali di pertempuran Isandlwana pada tahun 1879.
Berbalik kepada stosstruppen dan Waffen-SS, merekalah harapan bangsa apabila di ambang persimpangan antara kekalahan atau kemenangan mutlak. Jeneral Ludendorff telah meletakkan stosstruppen di baris hadapan ketika Ofensif Michael. Manakala Hitler pula membariskan divisyen Waffen-SS di hadapan sekali ketika Operasi Wacht am Rhein (Lihatlah ke Rhine) menghadapi kuasa Berikat di Ardennes, Belgium pada Disember 1944. Beban kemenangan diletakkan di bahu Waffen-SS. Perkara ini disebutkan dalam
German Campaigns of World War II diedit oleh Chris dan Adam (2001):
Hitler’s plan apalled his generals. To ensure obedience, the attack was led by the 6th SS Panzer Army; the first time so large a unit was designated SS.
Operasi tersebut merupakan strategi defensif-ofensif Hitler untuk mencapai kemenangan mutlak. Sekalipun demikian, operasi tersebut menemui kegagalan.
Begitu juga dengan bangsa Neo-Zeon, yang hidup terbuang, melarat lagi terhimpit. Sleeves yang ramai memandu Zulu bersama sisa-sisa MS yang lama bergerak bawah bayangan subversif dan defensif memperjuangkan kedaulatan Zeon. Ideologi Zeon yang mempercayai adanya manusia berevolusi Newtype amat mirip kepada model ideologi Nazi yang dipeluk oleh anggota SS. Mereka percaya bahawa bangsa Aryan adalah bangsa evolusi terunggul.
Sleeves menjadi harapan kepada spacenoid (penghuni angkasa) yang menurut pandangan Full Frontal sebagai terbiar hak mereka. Sekalipun mereka berpegang kepada ideologi ekstrem Zeon (menurut Persekutuan Bumi), namun unsur kemanusiaan masih tersisa dalam kisah tersebut. Betapa manusia terperangkap dek kesilapan silam, amat sukar untuk memulihkan luka lama yang kembali berdarah.
2.1.4 Kesimpulan
Setelah meneliti satu persatu keselarian watak tersebut, kita mendapati bahawa sejarah merupakan modal ampuh yang boleh digunakan. Jika kita teliti anime, game ataupun filem saifai dengan teliti, kita mendapati bahawa unsur sejarah banyak digunakan. Sebagai penutup, tidak keterlaluan pencipta Mobile Suit Gundam menggunakan model tentera bangsa Jerman yang lampau diserapkan kepada pihak Zeon / Neo-Zeon / Sleeves. Bukan sahaja beliau / mereka mereka AMS-129 Geara Zulu sahaja, akan tetapi keseluruhan struktur Zeon!
Sila kaji siri animasi CGI
Mobile Suit Gundam IGLOO. Anda akan merasai bertempur bersama infantri Wehrmacht, manakala kapal angkasa Zeon seperti dalaman kapal selam U-Boat Kriegsmarine Jerman!
Nah, jika idea sebegini kita dapat manfaatkan, inikan pula khazanah sejarah tamadun Islam yang terpampang di hadapan mata. Jarak masanya amat luas merangkumi lebih satu milennium. Inilah masanya menghidupkan watak Islami berdasarkan perwatakan dalam khazanah kita sendiri. Jika Nabi Muhammad
sallallahu alaihi wasallam menerima idea sahabat baginda Salman al-Farisi radiallahu 'anhu menggali parit ketika Perang Khandak (5 Hijrah), maka saya berpendapat, tidak salah kita mengharmonikan idea luar yang disaring dengan idea yang sedia ada. Sedangkan idea Salman
radiallahu 'anhu adalah daripada strategi peperangan bangsa Parsi yang beragama Majusi. Sinergi yang mantap diperkukuhkan oleh unsur baru akan melahirkan hasil yang luar biasa hebat.
Maaf artikel terlalu panjang. Moga ada manfaatnya.
Mungkin agak terlambat mengucapkan; Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin ;)
Pautan berkaitan:
Menjana Plot Dengan Idea Sejarah
NOTA: Bibliografi rujukan akan dimasukkan kemudian.