Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, April 2, 2010

[Tips Saifai] Menjana Plot Dengan Idea Sejarah


Antara perkara yang paling mencabar dalam menulis ialah perkembangan cerita ataupun dinamakan sebagai plot. Plot cerita amat penting bagi sebuah karya. Seseorang penulis harus mempunyai jalan cerita yang unik, istimewa serta pada masa yang sama menarik minat pembaca untuk terus menikmati karyanya.

Dalam bengkel sains fiksyen dan fantasi (saifai) PTS kali ke-2 pada 2007 dahulu, terdapat satu tips untuk mendapatkan idea jalan cerita. Salah satunya adalah idea daripada sejarah. Sejarah merupakan himpunan cerita-cerita terdahulu yang serba lengkap sifatnya. Ada watak protagonis (penggerak utama cerita), watak antagonis (yang sering melawan arus dan merumitkan cerita) dan watak-watak sampingan yang lain. Sejarah terdapat latar tempat, masa, kebudayaan dan pemikiran. Paling penting adalah sejarah memberikan jalan cerita yang mungkin berbeza satu dengan yang lain.

Akan tetapi, idea sejarah manakah yang harus diambil? Aspek sejarah merupakan sesuatu yang amat luas lagi jauh menjangkau ribuan tahun. Sejarah tercatat sejak awal-awal peradaban sehinggalah sekarang, lain tempat pasti mempunyai kerangka fikir yang berbeza. Sebagai contoh, hendak menggunakan konflik zaman tamadun Rom di Barat, pasti berbeza sekali dengan tamadun China di Timur walaupun dalam rangka masa yang sama. Sejarah juga merangkum tamadun Islam (zaman Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Khulafa ar-Rasyidin, Andalusia, Umaiyah, Uthmaniyyah, Melayu dan sebagainya), tamadun Barat. Maka, pilihan amatlah luas. Bagaimanakah caranya mahu mendapat modal idea sejarah yang baik? Banyakkan membaca!

Dalam membicarakan sains fiksyen dan fantasi (saifai), diperhatikan bahawa penulis mahupun penerbit filem dan game menggunakan aspek sejarah sebagai modal plot mereka. Mari kita lihat dua contoh.


Trilogi STARWARS merupakan contoh yang baik dalam menyentuh perkara ini. Dalam Episod III: Revenge of the Sith, babak pelaksanaan arahan kejam Order 66 merupakan titik penting dalam mengakhiri riwayat legasi kaum Kesatria Jedi oleh seterunya, kaum Sith. Kedua-dua kesatria ini bermusuhan selama berabad-abad tanpa henti sehinggalah kaum Sith seakan-akan pupus. Akan tetapi, salah seorang kaum Sith yang masih hidup, iaitu Darth Sidious telah menyusun konspirasi tahap tinggi yang akhirnya dendam kaum Sith terlaksana jua.


Darth Sidious telah menggerakkan Perang Clone dalam merealisasikan dendamnya. Galactic Republic yang terumbang-ambing yang hanya dipertahankan oleh Kesatria Jedi berada dalam keadaan yang genting. Saat inilah yang dinantikan oleh Darth Sidious iaitu sedia meluluskan askar-askar klon (Clone Troopers) untuk mempertahankan Republic daripada serangan pihak pemberontak Separatist.

Kesatria Jedi secara automatis berpangkat sebagai komander ataupun jeneral kepada Clone Troopers. Padahal, tanpa Kesatria Jedi menyedari, Clone Troopers telah terlatih untuk mematuhi Order 66 untuk membunuh mereka kerana dianggap sebagai pengkhianat Republic pada suatu masa kelak.


Kini saat dinanti menghapuskan Kesatria Jedi semakin hampir. Kesatria Jedi yang dianggap sebagai pembawa kestabilan order Jedi, Anakin Skywalker telah dikuasai sisi gelap Force. Anakin Skywalker telah menjadi Darth Vader yang dipenuhi dengan perasaan dendam dan marah. Anakin telah tertipu akan Darth Sidious yang telah menjanjikan isterinya Padme akan terselamat dengan kuasa Dark Side. Dengan keadaan Kesatria Jedi yang bertebaran di serata galaksi memimpin Clone Troopers, mereka menjadi sasaran mudah apabila diperintahkan oleh Darth Sidious melaksanakan Order 66.


Peristiwa Order 66 merupakan kemuncak kepada trilogi STARWARS buat sekian lama sejak Episod IV: A New Hope ditayangkan pada 1977. Peristiwa tersebut tersusun dengan kompleks sekali, sehingga motif Darth Sidious hanya dikesan pada saat-saat akhir pelaksanaannya.

Saya kira Georgre Lucas mengadaptasi satu peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi pada masa lampau dalam babak Order 66 ini. Order 66 mempunyai persamaan dengan Operasi Valkyrie yang dilancarkan oleh gerakan Resistance anti-Nazi dalam Wehrmacht, Angkatan Tentera Darat Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Operasi ini dipopularkan dengan sebuah filem Valkyrie arahan Bryan Singer (pengarah X-Men dan Superman Returns) yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Kolonel von Stauffenberg.


Hitler telah menjadi Fuhrer bangsa Jerman sejak 1934. Cita-citanya ingin meletakkan bangsa Aryan Jerman sebagai pemimpin terulung Eropah bawah naungan Third Reich selama seribu tahun. Hitler memimpin Parti Sosialis Nazi dan mengheret Eropah ke kancah api peperangan. Pada tahun 1942, Hitler telah kehilangan 6th Army di Stalingrad dan Afrika Korps di Afrika Utara. Menjelang 1944, empayar Hitler semakin diasak oleh tentera Berikat dan tentera Rusia. Jerman di ambang bahaya.


Menyedari malapetaka yang menimpa, sekumpulan jeneral Wehrmacht yang dikenal sebagai Resistance telah berhimpun dan merancang untuk menjatuhkan Hitler. Ini kerana pada pandangan mereka, Jerman sedang mengalami kekalahan jika Hitler berkeras untuk meneruskan peperangan.

Atas: Trailer filem Valkyrie (2008)
Atas: Belakang tabir Valkyrie

Hasilnya adalah mengubahsuai Operasi Valkyrie. Operasi tersebut sengaja dimanipulasikan oleh pegawai turus tentera simpanan Wehrmacht yang bernama Kolonel Stauffenberg. Pelan dirombak bagi membolehkan tentera simpanan mengikut prosedur dengan serta-merta menahan personel Parti Nazi dan Waffen SS di serata Jajahan Eropah atas sebab disyaki akan merampas kuasa jikalau Hitler benar-benar mati. Usai kematian Hitler dan Parti Nazi serta Waffen SS ditahan, maka pemimpin Resistance akan mengambil alih kuasa Fuhrer. Resistance mahu menghentikan peperangan dan berdamai dengan Pihak Berikat demi menghalang lebih banyak kemalangan jiwa akibat peperangan. Aneh sekali, operasi tersebut telah diluluskan sendiri oleh Hitler dan tindakannya hampir-hampir meragut nyawanya.


Sebagai syarat untuk Operasi Valkyrie dilancarkan, Hitler mesti mati. Oleh yang demikian, Kolonel Stauffenberg telah ditugaskan untuk membunuh Hitler. Kolonel tersebut berjaya meletakkan beg berisi bom semasa Fuhrer itu sedang mengadakan sidang konferens bersama jeneralnya. Bom tersebut meletup lalu Kolonel Stauffenberg berjaya meloloskan diri ke Berlin.

Operasi Valkyrie telah dilancarkan. Tentera simpanan Wehrmacht telah melaksanakan tugasnya. Akan tetapi malang bagi Resistance, Hitler masih hidup dan mengarahkan Operasi Valkyrie dibatalkan dengan serta-merta. Akhirnya, Kolonel Stauffenberg dan ahli Resistance telah menghadapi hukuman mati dek pengkhianatan mereka. Peristiwa ini dikenal dalam sejarah Perang Dunia Kedua sebagai ‘Plot Julai,’ iaitu pada 20 Julai 1944 Operasi Valkyrie hampir menemui kejayaan tetapi sebaliknya yang berlaku.


Ciri-ciri Order 66 STARWARS menyamai Operasi Valkyrie dalam Perang Dunia Kedua. Arahan Operasi Valkyrie mengkehendaki tentera simpanan Wehrmacht bertindak menahan Parti Nazi dan Waffen SS apabila Hitler mati kerana mereka disyaki akan merampas kuasa. Manakala melalui pelaksanaan Order 66, Clone Troopers diarahkan untuk membunuh semua Kesatria Jedi yang menjadi pemimpin perang mereka tanpa banyak soal, atas alasan mereka telah menjadi ancaman kepada Galactic Republic. Akhirnya, Kesatria Jedi menemui nasib malang dihapuskan dengan cara yang sadis sekali. Dendam kesumat Darth Sidious tercapai jua. Kini, ia adalah orang yang paling berkuasa dalam galaksi. Dengan kuasa yang ada, sistem demokrasi yang diamalkan oleh Galactic Republic telah digantikan dengan sistem autokratik ataupun kuku besi Galactic Empire.


Dalam kes yang lain pula, terdapat penganalisa novel trilogi Lord of the Rings tulisan J. R. R. Tolkien yang mengatakan bahawa beliau menggunakan tema Perang Dunia I dalam novel beliau. Penganalisa membuat andaian bahawa bangsa-bangsa manusia, elf, orc, orang kerdil dwarf, Hobbit mencerminkan bangsa-bangsa yang bersengketa dalam Perang Dunia I. Orc dibayangkan sebagai makhluk yang agresif, rakus, ganas sepertimana Imperium Jerman yang begitu militaristik dan mahu melebarkan kekuasaan secara paksa. Manakala Hobbit yang bertubuh kecil, lemah dan sedikit pula dibayangkan sebagai bangsa Yahudi yang ketika itu lemah, tetapi begitu signifikan dalam mengubah nasib dunia. Human dan elf pula seperti pihak Berikat yang menjadi harapan tetapi sentiasa dibelenggu masalah antara mereka.


Penganalisa mengajukan persoalan-persoalan ini kepada J. R. R. Tolkien (beliau sendiri merupakan veteran perajurit British dalam perang tersebut), tetapi beliau mengambil sikap berdiam diri sahaja, membiarkan karya beliau ditafsirkan dengan bebas. Saya kira beliau bertindak tepat. Dengan membiarkan orang menafsirkan novel beliau, maka akan bertambah kaya lagi rencana perbincangan ilmiah sihat. Mungkin juga tepat idea sejarah yang telah dikemukakan kepada beliau. Ini kerana sejarah tidak ada hak cipta, semua orang boleh mengambilnya. Terpulang kepada kebijaksanaan penulis untuk mengolahnya. Mana tidaknya ada orang berkata, 'tidak kisah anda mengambil daripada sumber yang sama, persoalannya ialah bagaimanakah anda mengolah cerita tersebut.'

Kini, modal sejarah sudah ada! Anda hanya perlu memilih kerangka masa yang sesuai berdasarkan keserasian cerita. Ataupun, beberapa modal cerita digabung jalin dan seterusnya menghasilkan satu aliran cerita baru. Pengubahsuaian haruslah kreatif sehinggakan mencetus satu aliran idea lain daripada yang lain. Jalan cerita yang stereotaip ataupun cliche sudah banyak dijaja elakkanlah, kerana akan membangkitkan kebosanan kepada pambaca yang mahukan kelainan.

Modal sejarah hanyalah sebagai dasar ataupun pencetus ilham. Di sinilah letaknya kebijaksanaan seseorang penulis dalam mengkayakan corak karya yang kreatif lagi menarik! Selamat mencuba!

Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat



Rujukan:

1. Stover, M., (2005). Star wars: Revenge of the
sith
. Del Ray Books: USA.

2. Ryder dan Windham, (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Limited: Australia

3. Knappe, S. dan Brusaw, T., (1992). Soldat: Reflections of a german soldier, 1936-1949. Dell Book: New York

No comments: