Thursday, April 1, 2010
Membongkar Ideologi Filem Sains Fiksyen & Fantasi: Mukaddimah
Sains fiksyen ataupun singkatannya saifai adalah 'balutan' kepada ideologi-ideologi ataupun konsep falsafah yang telah wujud. Dalam erti kata lain, saifai menyampaikan maksud ideologi tersebut dengan tersembunyi di sebalik wajah saifai. Perbincangan ini termasuk juga genre fantasi yang seringkali digandingkan dengan genre sains fiksyen.
Perkara ini boleh dikesan jika diperhatikan dengan teliti. Filem, novel dan game sains fiksyen dan fantasi mengandungi ideologi dan falsafah yang tersirat. Filem terutamanya, ramai yang sekadar menonton tanpa mengesan apakah ideologi dan falsafah yang tersirat. Amat penting bagi seseorang menapis segala yang diterima. Ini disebabkan seorang manusia mempunyai pemikiran separa sedar ataupun sub-concious mind. Jika tidak ada benteng pemikiran yang secukupnya, tanpa kita sedar, kita telah mengakui dan mengiakan ideologi dan falsafah yang kita peroleh. Tahun ini menyaksikan beberapa filem yang menarik minat saya dan teruja untuk membongkar apakah tersirat di sebalik topeng sains fiksyen dan fantasi.
Telah maklum bahawa antara filem fantasi yang bakal menggegarkan dunia filem adalah Clash of the Titans(CotT) dan Prince of Persia (PoP). Filem CotT membawakan penjelmaan semula filem tersebut yang telah diterbitkan pada 1981. Saya menjangkakan dengan sentuhan grafik canggih, pastilah akan bertambah hebat kesannya. CotT akan mengetengahkan khayalan epik-epik pertembungan tragedi dewa dewi (manusia dan raksasa yang dituhankan) dalam tamadun Yunani. Barat secara zahirnya telah meninggalkan agama, tetapi hakikatnya mereka tidak terlepas kepada mitos-mitos libur yang dianggap dapat melepaskan diri mereka daripada soalan-soalan asas yang membelenggu hidup mereka.
CotT merupakan manifestasi daripada ciri-ciri tamadun mereka yang berakar umbi kepada kebudayaan dan tamadun Yunani-Rom, iaitu mereka menganggap bahawa mereka menganggap "pengalaman kesengsaraan hidup sebgai satu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia," seperti yang dijelaskan oleh cendiakawan Islam ternama, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam huraian penting beliau mengenai umat dalam Risalah untuk Kaum Muslimin. Syed Naquib merumuskan ciri ini dengan istilah 'pandangan hidup yang tragik' Beliau menghuraikan lagi konsep ini dengan mengatakan:
"Sedari zaman kuno Yunani Kuno lagi kita lihat bahawa bangsa-bangsa Yunani itu menganggap tragedi sebagai satu unsur penting kehidupan manusia:
bahawa manusia merupakan pelakon dalam drama kehidupan dan pahlawan-pahlawannya membayangkan watak yang tragik.
Faham tragedi kehidupan disebabkan oleh kehampaan kalbu akan nikmat iman."
Kehampaan ini adalah akibat dari falsafah penduaan (dualisme) mutlak yang mengikrarkan adanya dua hakikat yang saling bertentangan antara satu sama lain hingga menimbulkan syak serta ketegangan jiwa.
Keadaan jiwa yang tidak tenteram ini mengakibatkan pula rasa takut dan sedih mengenangkan nasib dirinya. Keadaan jiwa yang tegang ini jugalah yang menganjurkan orang Barat, yang mensifatkan kebudayaannya, untuk mencari jawapan bagi soal-soal abadi, untuk giat berusaha menyelidik dan mengkaji dan mereka (mencipta) teori-teori baharu, mengemukakan masalah-masalah asal-usul alam dan manusia dan lain-lain renungan yang dianggapnya sebagai ilmu pengetahuan.
Pengembaraan dalam alam fikiran dan renungan yang tiada berakhir ini merupakan semangat Kebudayaan Barat, dan sesungguhnya mereka tiada ingin mengakhirkan pengembaraan itu justru sebab pengembaraan itu sekurang-kurangnya meringankan beban kekosongan dan kesunyian kalbu, seolah-olah bagai penawat hati jiwa yang tegang. Semangat Kebudayaan Barat itu membayangkan sesuatu yang 'menjadi' tetapi tiada juga jadi."
Konsep pandangan alam tragik Kebudayaan Barat dapat dilihat melalui filem-filem yang ditayangkan. Asasnya berputar-putar sekitar konsep ini. Pemahaman konsep tragik boleh dilanjutkan dengan mengamati pencerahan daripada Syed Naquib al-Attas dalam buku beliau Meaning of Happiness ataupun Makna Kebahagiaan yang mengoreksi kembali intisari kitab Imam al-Ghazali, Kimia-e-Sa'adah. Anda boleh juga mengamati konsep ini daripada kupasan khutbah oleh Dr. Mohd. Farid Shahran, Timbalan Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu UIAM di pautan ini.
Prince of Persia: The Sands of Time merupakan adaptasi kepada siri saga game Prince of Persia terbitan Ubisoft. Pokok persoalan dalam PoP adalah sebilah pedang yang mempunyai kuasa magis boleh melambatkan ataupun menghentikan masa. Latar cerita amat mengelirukan. Seseorang boleh menyangka bahawa PoP berlatarkan tamadun Islam (berdasarkan senibina dan kostum), tetapi sebaliknya amat berkait rapat dengan tamadun Parsi (beragama Majusi yang menyembah api).
Selamat membongkar ideologi filem. Lihatlah di sebalik wajah yang anda lihat.
Lihatlah Kebenaran Dengan Mata Hatimu...
Rujukan:
1. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, (2001). Risalah untuk kaum muslimin. Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC): Kuala Lumpur.
2. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (n.d). Preliminary to the metaphysics of islam: An exposition of the fundamental elements of the worldview of islam. Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC): Kuala Lumpur
3. Dr. Adian Husaini, (2005). Wajah peradaban barat: Dari Hegemoni kristen ke dominasi sekuler-liberal. Gema Insani: Jakarta.
4. Dr. Mohd. Farid Shahran (2009). Happiness in Islam: Friday khutbah at iium mosque on the 6th nov 2009. Dimuat turun pada 2 April 2010 di pautan http://farshah-ibanah.blogspot.com/2009/11/happiness-in-islam.html.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment