Hologram Hijrah 2.1: Menjejak Artifak Cakera
Hologram Hijrah 2.2: Berada dalam Stesen
Hologram Hijrah 2.3: Cahaya Cinta
Sektor Teras,
Stesen Syuhada,
Planet Nasr Ns-105
“Tidak guna! Di
manakah mereka? Tentunya ada terowong rahsia ke hangar. Mereka hilang tanpa
jejak,” dengus Leftenan Yofel. Pertempuran di luar tadi telah mengosongkan
kelopak raifal Oto-Gauss(N) yang dipegangnya.
Kelopak baru
dimuatkan. Kemudian ia menarik perencak raifal. Arus mengalir melalui relung solenoid
terlilit di jemarinya menghasilkan medan elektromagnetik. Justeru raifal yang
diperbuat daripada besi itu tertarik
kepada medan itu. Ini membolehkan raifal itu kemas dipegang.
Arahan daripada
Mejar Gros masih terngiang-ngiang, disampaikan kepadanya melalui transmisi kod rahsia. “Leftenan Yofel,
kompeni kamu akan menyerbu masuk ke dalam. Batalion yang baru sampai mengepung perimeter luaran stesen
musuh. Kamu ada misi penting. Dapatkan cakera artifak
itu, sebelum ALGORITMA menemuinya.”
Dengan perlahan
pegawai cyborg dan satu skuad marin mekainkal melangkah di satu lorong gelap
dalam Stesen Syuhada. Sekalipun bergerak perlahan, tetap ada kedengaran bunyi
dengung kaki besi skuad itu berhentak-hentak di lantai keluli. Motor servo yang menjadi sendi tentera mekanikal ini lebih senyap kerana sudah mempunyai peredam bunyi. Tidak kedengaran
degup jantung sintetiknya kerana kerangka versi baru cyborg dilingkung oleh
selaput kedap bunyi.
Pajera mata
Leftenan Yofel giat mengimbas sebarang objek yang menjadi pintu kepada
lorong-lorong disangkakan jalan rahsia. Masing-masing mengacu senjata ke
sudut-sudut lorong sebagai langkah berjaga-jaga. Seunit marin menarik kelopak
peluru dan kemudian memasukkan kelopak yang baru.
Tiba-tiba
telinga sintetik Leftenan Yofel bergema kuat, “Tuan, saya menjumpai jalan
rahsia!” kata seunit marin mekanikal. Suara marin itu kedengaran daripada deria
ternanam pada kepalanya.
“Kamu tidak
perlu jerit kuat-kuat. Sakit ‘telinga’ aku. Kurangkan desibel tranmisi engkau!”
berang Leftenan Yofel. Marin mekanikal yang merupakan mesin tulen, tidak
berperasaan akur sahaja perintahnya.
“Di manakah koordinat
jalan itu?” Pegawai cyborg itu tercari-cari. Tiada bunyi. Ia menghentak skapula
besi marin mekanikal tadi.
Herdiknya, “Hei, aku suruh engkau kurangkan desibel. Bukan kurangkan sampai tiada bunyi!”
Herdiknya, “Hei, aku suruh engkau kurangkan desibel. Bukan kurangkan sampai tiada bunyi!”
“Err... 007410.”
Jawab marin mekanikal dengan suara kuat bergema di gegendang Leftenan Yofel, memberikan
kedudukan penemuannya.
tidak mengerti apa-apa patung besi ini! Tahu digit 1 dan 0
sahaja!”
Katanya lagi, “Cis, rupanya dekat sahaja! Tidak perlulah beri
koordinat. Kenapa tidak beritahu cuma ‘toleh ke belakang’?” -_-“
“Bukankah tuan
yang arahkan?”
“Ah, sudah!
Merepeklah kamu! Buang masa, mesin dungu!”
Marin mekanikal
mengacu raifalnya, sambil berkata,“Pintu ini ada jalan. Saya mengimbas, dalam
bilik ini terdapat juga beberapa pintu yang agak kecil... ada satu pintu besar.
Mungkin juga mereka lari melalui
pintu itu.”
Mereka berdiri di
hadapan pintu, “Bersedia... ”
Seunit marin
menendang pintu dengan kuat,“Bang!” marin mekanikal itu secara automatik
mengacukan raifalnya. Unit yang lain juga mengacukan senjata mereka.
Terdiam, mereka
dalam keadaan pegun sebentar, “Mengapa tuan tidak beri arahan?” tanya marin
mekanikal itu dengan nada mendatar, menunggu jawapan. Matanya ada lapan,
ditenung oleh Leftenan Yofel.
Jawab mesin
seperti manusia itu, “Mengapa tuan? Di sebalik pintu ini ada lagi terowong
kecil. Menurut data, kebarangkalian bahawa ini merupakan terowong rahsia adalah
sebanyak 0.62. Sudah lebih 50 peratus, maknanya hampir tepat. Pintu mana yang
tuan pilih?” Katanya dengan nada mendatar, tanpa perasaan.
“Bilik ini
namanya dapur! Itu pintu-pintu almari! Pintu yang besar itu pintu peti ais!”
Tempik Leftenan
Yofel, “Mesin dungu! Menyusahkan sahaja. Nanti aku jual engkau jadi besi buruk,
boleh juga duit itu aku makan kebab spesies manok.
Engkau mesin ada otak, tapi tidak ada akal. Taksub ikut ALGORITMA sahaja.” -_-“
Marin mekanikal
menenung pegawai cyborg. Tiba-tiba lantai stesen bergegar kuat. Frekuensi dan
amplitud bergoncang semakin besar. “Tentulah itu kapal angkasa yang akan
berlepas dari hangar, seperti yang Mejar Gros maklumkan.”
“Tuan, saya
telah menemui jalannya. Terus kepada hangar rahsia.” Seru seorang sarjan cyborg
dari bilik yang disangkakan lorong rahsia.
“Bagus. Kamu
dinaikkan pangkat. Ayuh!”
Hangar,
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105
Pintu gerbang
gergasi hangar vertikal sudah sedia terbentang. Langit hitam pekat dipagari
bintang-bintang seakan-akan bersedia dengan tetamu yang bakal menerobos ke
langit. Persediaan berangkat kian hampir. Musuh semakin deras langkahnya. Para
pejuang dan pengembara menanti kiraan terakhir.
“Tembak!” Tempik
Leftenan Yofel. Tembakan raifal Oto-Gauss(N) kaliber ringan berpelurukan
amunisi beradioaktif hanya mampu mengetuk dinding perisai jasad kapal angkasa
itu. Kelihatan baraan biru dan kuning membara semakin cerah.
Nyalaan itu kian
meningkat dan daya tujah kenderaan angkasa itu semakin terasa. Gegaran semakin
ketara, sehinggakan pegawai cyborg sepertinya tidak stabil lagi berdiri.
Dilihatnya beberapa marin mekanikal berjatuh-jatuhan. Objek-objek usang hangar
pelancaran itu berterbangan tidak tentu hala. Adakalanya logam-logam berat pun
melayang, dan melanggari unit-unit marin mekanikal.
Kiraan sifar.
Masanya sudah tiba. Perjalanan hijrah menuju Tuhan, tempat berhimpunnya
jiwa-jiwa yang baik dan tenang, bermula kembali. “Allahu Akbar!” Markov menekan
punat pelancaran.
“Tuan Qutuz,
kapal angkasa kita telah dilancarkan!”
“Allahu Akbar,”
ujar Tuan Qutuz dengan nada perlahan. “Ya Allah, sampaikanlah Ababil ini
ke destinasinya,” ia menadah tangannya memohon pertolongan ke hadirat Tuhan. Kemudian
ia menyambung bacaan zikirnya dengan mengira biji tasbih dengan jemarinya
perlahan-lahan di atas dadanya.
Kapal angkasa
itu mulanya bergerak perlahan, kemudian mula menujah ke angkasa. Debu-debu
berterbangan dek kerana daya tujah yang amat besar. Gas panas mengembang
daripada pembakaran bahan api roket penanggung, tujah luar biasa ini diperlukan
untuk melolosi graviti planet.
Leftenan Yofel
terpaksa berpaut kepada Marin IV yang berkaki empat yang telahpun berpaut
kepada lantai hangar dengan cangkuk elektrostatik. Ia hanya mampu melihat
dengan visual biasa mata sintetiknya. Marin mekanikal yang lain terpelanting
tidak terdaya menahan badai tujah panas dan daya kuat kapal angkasa musuh
mereka.
Kokpit kapal
angkasa bergegar kuat kerana getaran enjin, daya tujah ke atas cuba mengatasi
tarikan graviti yang masih kuat. Tiada siapa yang berkata-kata, tetapi
ucap-ucapan zikir mengingat Tuhan dan kebergantungan total kepada-Nya menguasai
setiap yang berada dalam situasi genting itu. Semakin tinggi kedudukannya
diikuti dengan coretan cahaya diiringi dengan kepulan asap dan debuan yang
menggunung tinggi dihempas dari permukaan planet.
Altitud
bertambah, kapal angkasa semakin tinggi, “Lepaskan roket penggalak, “ ujar
seorang mujahidin tua yang bernama Ahmad itu. Kapal angkasa itu terus melayang
ke angkasa. Pecutan mereka bertambah apabila jisim yang berkadaran songsang dengan daya keseluruhannya pelancaran itu
berkurangan. Luncuran itu bertambah pantas dari titik masa ke titik masa
terhadapan.
“Tentu kapal
Verwusten itu sedang menunggu kita. Sampah sarap, tinggalan lama dahulu masih
lagi berlegar di sekitar orbit, masih berisiko tinggi perjalanan kita,” desis
Markov. Jawab seorang mujahidin tua, “Sabar anakku. Kemenangan itu begitu
hampir. Kita teruskan perjalanan. Berjaya atau tidak, bukanlah urusan kita. Itu
urusan Allah.”
Kata Tuan Qutuz,
“Nanti engkau aktifkan induktor pengaruh objek hadapan... induktor itu akan...
mengaruhkan daya elektromagnet menolak objek-objek logam ke tepi... dan membuka
laluan untuk kita.”
Menerusi gerbang
hangar vertikal, Leftenan Yofel melepaskan pautannya. “Unit marin mekanikal, sila
respon,” ia mengulang beberapa kali sambil memeriksa unit-unit yang sudah
bergelimpangan.
“Kesemua marin
mekanikal ini sudah jadi besi buruk. Tidak ada apa-apa yang perlu disedihkan.”
Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105
Kerusi
pemerintah Haspodar itu dihentaknya. “Kenapa Leftenan Yofel terlepas lagi?
Nanti aku akan kerjakan dia, hukum dengan sebesar-besar azab!” Tengking Mejar
Gros.
“Aku mahu status
sekarang juga! Pegawai penjejak, apakah trajektori kapal musuh?” katanya dengan
nada marah. Respirator berpenaspisnya kedengaran bunyi mendengus-dengus.
“Musuh sedang
dalam tujahan trajektori melepasi orbit. Mereka masih lagi dalam zon atmosfera.
Empat minit lagi mereka akan berada di orbit. Haspodar sedang bergerak di titik
persilangan trajektori. Tuan boleh lihat visual sekarang.” Mejar Gros melihat
ikon musuhnya itu di paparan taktikal maya. Ikon berwarna merah yang sedang
memecut ke angkasa itu beriring dengannya nombor-nombor digital yang berputar
ligat menunjukkan peningkatan altitud ketinggian, lengkungan trajektori dan
halaju pelepasan.
Arah Mejar Gros,
“Bersedia untuk tembakan. Sediakan juga skuadron pejuang Auge dan Vormund untuk
memintas mereka. Jangan musnahkan. Pintas dan tawan sahaja. Mereka ada kargo
yang akan memuliakan Maharaja Empayar kita!”
“Jenis apakah
kapal angkasa ini?” tanya Mejar Gros.
Dengan tangkas
pegawai itu berkata, “Sebuah kapal angkasa klasik kombinasi shuttle dan
pejuang. Dilengkapi dengan persenjataan. Dipercayaai boleh memuatkan sebilangan
dan kargo terhad.” Apabila visual yang kabur itu semakin jelas, penderia pintar
pada kapal Haspodar mula memfokuskan jejaknya.
“Tuan, kapal
angkasa musuh seperti model yang lama. Mereka masih menggunakan dorongan roket
bahan api bakar. Menurut pangkalan data Empayar, dorongan jenis ini kali
terakhir digunakan meluas sekitar lebih 100 tahun yang lepas. Pada zaman itu mereka
menggunakan layar solar apabila berada di angkasa lepas.”
Mejar Gros
ketawa kecil, lalu berkata, “Kapal usang. Tiada tandingan dengan Haspodar. Mereka
tidak akan pergi jauh. Bagaimanakah status bedilan kita?”
“Tuan, bidikan
bedilan turet meriam kita sudah berada di posisi. Kiraan trajektori dua minit
tiga puluh tiga saat.”
Tiba-tiba
penggera dek pemerintah berbunyi. Lampu kecemasan merah memenuhi segenap ruang
bahagian terpenting kapal gergasi itu.
Berkata seorang
pegawai penderia kapal, “Amaran. Meriam orbital stesen musuh telah mengecas.
Turet meriam mereka sedang memposisi dan menjejak ke arah kita! Cas kapasitor
menjadi aktif dan telah mencapai tahap 80 peratus. Fasa induksi generator telah
dimaksimumkan.”
Mejar Gros
terpinga-pinga, “Apa? Bagaimana mungkin! Seratus tahun ditinggalkan, masih
beroperasi?”
“Mungkin mereka
sudah mengecas dalam masa yang lama, tetapi penderia Haspodar tidak dapat
mengesan!”
“Arahkan
Leftenan Yofel untuk musnahkannya!”
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105
Marin mekanikal daripada
kompeni lain berada di mana-mana melakukan penggeledahan dan pemeriksaan.
Leftenan Yofel masih berada di hangar vertikal. Sejurus ia menerima arahan
kecemasan Mejar Gros, lantas ia keluar daripada hangar dan memecut lari ke arah
bebola gergasi meriam orbital. Beberapa marin mekanikal turut mengirinya.
“Tidak guna,
pengecasan kapasitor sudah hampir sempurna. Nampaknya sudah terlambat.” Ia
terus berlari dan berlari.
“Marin
mekanikal, persiapkan diri untuk taktik lompatan trajektori. Kita mesti
musnahkan meriam orbital ini!” Sistem taktikal yang tertanam dalam telah
memplot laluan dan trajektori untuk lompatan jauh tersebut.
Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105
“Anggaran cas
kapasitor, 90 peratus. Aruhan induktor generator hampir sempurna. Kita mesti
melalukan evasi mengelak, Tuan!”
Arah Mejar Gros,
“Aktifkan roket retro penggalak kecemasan, evasi mengelak! Sekarang!”
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105
Muncul bibit-bibit cahaya biru semakin kuat keamatannya di nozel meriam
orbital yang berupa meriam gergasi. Bunyi dengungan cas kapasitor semakin kuat.
Aruhan induksi elektromagnet generator kian menarik objek-objek besi. Sistem
visual Leftenan Yofel seakan-akan diserak kerana gangguan gelombang
elektromagnet yang kian meluas cakupannya.
“Kalau aku teruskan, pasti akan gagal kerana akan ditarik oleh magnet
yang teraruh oleh elektromagnet meriam. Pasti akan hancur badannya daripada
besi kerana ditarik dan terhentak kuat.” Lantas Leftenan Yofel berhenti secara
kecemasan dan berpaut pada bangunan.
Dua marin mekanikal tadi sudah melompat dan terhumban kepada magnet
gergasi yang teraruh daripada generator tersebut. Bedilan dilepaskan. Gelombang
horizontal menggegarkan di sekitar stesen para mujahidin. Sekali lagi Leftenan
Yofel hanya mampu mendongak.
Ababil,
Atmosfera Tinggi,
Planet Nasr Ns-105
Ababil telah melepaskan kesemua roket penggalak.
Beberapa minit tadi dilepaskan roket penggalak utama yang membantu tujahan
melepasi graviti. “Dorongan enjin ion telah diaktifkan. Pengecasan kapasitan
masih dilaksanakan. Sebentar lagi dorongan enjin ion dimanfaat sepenuhnya.”
Penggera amaran
berbunyi. Markov dan mujahidin tua bersamanya masih sibuk dengan instrumen
kawalan mereka. Lantas mereka melihat ke hadapan kokpit, dan melihat visual
video. Kapal kapital Verwusten milik Mejar Gros berada di hadapan mereka!
Haspodar rupanya
sedang melakukan evasi mengelak. Skuadron pejuangnya tidak dihantar dan turet
terpaksa dinyahaktif bagi menyalurkan kuasa kepada enjin dorongan kapal gergasi
itu. Roket-roket retro kecemasan marak dengan sepenuhnya demi menyelamatkan
diri mereka. Dorongan penggalak berkuasa nuklear terpaksa dihidupkan juga pada
saat genting ini untuk menaikkan Haspodar ke orbit lepas. Jika tidak, tarikan
graviti planet akan membinasakan kapal tersebut.
“Tuan Qutuz,
trajektori destinasi kita telah diplotkan. Sejurus pengecasan enjin ion
beroperasi sepenuhnya, insya-Allah kita akan memasuki Terowong Anjakan
Relativiti. Sebentar sahaja lagi!”
Panel solar
fotovoltaik telah menyelubungi sebahagian besar fiuslaj Ababil. Panel
solar itu mengumpulkan semaksima mungkin tenaga sinar bintang dan disepadukan
dengan tabung kuasa solar kapal serta dorongan Anjakan Relativiti. Ini kerana
kemasukan kapal angkasa seperti Ababil dalam Terowong empat dimensi
tersebut memerlukan kuasa yang tinggi dan ditujahkan pada titik fokus tertentu.
Belum termasuk risiko dengan objek-objek jasadi di jagat raya yang maha luas
ini.
Coret-coret
cahaya mula kelihatan di luar kokpit Ababil. Tenaga sel bahan api yang
dituai daripada sinaran cahaya bintang terhampir disalurkan secara padu kepada
enjin dorongan ion dan generator Anjakan Relativiti. Oleh sebab Coret itu diiringi dengan jutaan coret yang
selari dan akhirnya bercantum. Mereka telah memasuki terowong dimensi yang akan
menyingkatkan perjalanan jutaan tahun cahaya kepada kiraan jam ataupun hari
sahaja. Imbangan tenaga positif dan negatif menolak kapal angkasa tersebut akan
menujahkan mereka dalam dimensi yang empat. Tenaga tersebut membentuk perisai
yang melingkungi serta melindungi daripada objek-objek jasadi yang mungkin
menghentam sewaktu perjalanan.
Hangar,
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105
“Mejar Gros,
melaporkan stesen musuh telah ditawan.” Ia menutup aerial transmisinya. Lebih
baik mengelak bebelan ketuanya daripada telinga sintetiknya terpaksa berganti
lagi. “Aku ini bukan pekak. Sekalipun aku ini besi, aku pun ada perasaan,”
keluhnya.
Leftenan Yofel
melihat ke angkasa dengan pajera berkuasa tinggi. Kedengaran lagi bunyi dengus
keluhan manusia, yang ia telah tinggalkan sekian lama. Kini ia adalah seorang
mesin yang boleh hidup lamadan lebih berkuasa, kononnya. “Ejen Muhsinin
terlepas lagi.”
Tiba-tiba
penderianya mengesan gerakan, tetapi tidak kelihatan dengan pajera normal.
Hembusan angin yang begitu hampir dengannya. “Misi unit 101 berjaya, Leftenan
Yofel,” berbunyi di deria telinga sintetik.
Hembusan angin
terasa di penderia kepalanya, kemudian mata sintetiknya itu mengesan
objek-objek berupa jasad manusia. Mulanya seperti muncul tubuh yang memantulkan
cahaya kerana nano-cermin, kemudian itu muncul rupa Komando Bayangan yang
sebenar.
“Unit 101,
syabas! Mereka tidak akan aman pergi ke mana-mana. Sampai ke lohong hitam pun
kami akan cari!” katanya dengan angkuh.
Ababil,
Terowong Anjakan Relativiti.
Destinasi: RAHSIA
Ababil masih
meluncur ke destinasinya. Plot trajektori diserahkan kepada komputer kawalan.
Markov segera ke ruang kargo penumpang. Dilihatnya Tuan Qutuz terlentang. Darah
masih mengalir daripada tubuhnya. Biji-biji tasbih masih terlentang di atas
dadanya.
Sebuah robot
medik yang usang sedang merawat di sisinya berbunyi, “Tuan Qutuz, minta maaf
kita sudah kehabisan barang perubatan. Saya hanya dapat membalut luka tuan
sahaja.” Kamal sedang tunduk teresak-esak di hadapan Tuan Qutuz, begitu
bersalah kerana kelakuan pengecutnya itu mengatasi beraninya. Si tua bangka
pula yang berjuang untuk mati mulia. Markov pula menahan hatinya supaya tidak
dikuasai emosi.
Tuan Qutuz
berkata kepada sang robot dengan suara perlahan, terketar-ketar, “Terima kasih
wahai makhluk Allah. Apabila sudah tiba masanya, aku akan dijemput pulang oleh
Tuhan. Harapnya engkau dan zarah-zarah pada badanmu menjadi saksi kepadaku
kelak pada Hari Kiamat.”
Di raut wajah si
mujahid tua Ahmad kelihatan keletihan. Ia duduk bersandar, masih dengan sut
klasiknya. Ia berkata, “Anakku... kapal angkasa ini ini adalah prototaip lima
krew, lima penumpang dan kargo. Engkau telah pun tahu, Ababil namanya.
Telah kami sembunyikan... Kami telah mencipta enjin ion yang lebih berkesan,
kompak dan berkuasa tinggi. Kebanyakan teknologi ketika itu didominasi dengan
pacuan bahan api, layar solar & tenaga nuklear... Enjin ion masih dalam
peringkat eksperimen. Tetapi... koloni kami telah mendahului yang lain.”
Skrin denyut
nadi robot medik menunjukkan bahawa rentak graf Tuan Qutuz semakin menurun.
Menyedari hakikat nyawanya sudah berada di hujung, dia menekan sebuah punat di
sebelah kanan dadanya. Satu ruang terbuka, dan keluar sebuah kontenar yang
mengandungi sebuah objek empat segi tidak simetri.
“Anakku...
engkau simpan ini baik-baik. Ejen Zion.... akan tetap mencarinya. Bersumpahlah
dan... jagalah ia dengan nyawa kamu. Bawalah ia... kepada Khalifah. Jika musuh...
mendapatkannya, Galaksi Muhsinin di ambang bahaya.”
“Adakah ini cakera
artifak ini, wahai Tuan?”
Datuk menjawab
dengan lemah dan perlahan, “Cakera Input Manuskrip...”
“Hanya dengan
cantuman kesemua bahagiannya, akan merungkai misteri kewujudannya. Dan juga
misteri mengapakah mereka mencari-cari cakera ini.”
“Profesor
Mukmin... telah menggabungkan kedua-dua Cip Input Manuskrip menjadi satu,
tetapi mencerai-ceraikannya agar rahsianya kekal terpelihara sehinggalah tiba
masanya.”
“Akan tetapi...
setiap satu bahagian akan merungkaikan... sebahagian rahsia terpendam
dalamnya.”
“Dalam... cakera
ini... terkandung cetakan biru yang asal Dwi-Cyborg awal Generasi Muhsinin. Sut
yang aku gunakan adalah prototaip generasi ketiga.”
“Anakku...
nyawaku... sudah berada di penghujung. Jagalah amanatku ini... apabila kesemua
cakera ini dicantum, inilah kunci utamanya.” Tuan Qutuz hendak menggerak-gerakkan
tangannya, tetapi tidak beradaya.
“Tuan mahu buat apa?”
“Anakku... engkau pulas punat di
bahagian tengah hati ini...” Markov membuat seperti yang diminta. Keluarlah
satu kapsul silinder bersaiz poket dari sut Tuan Qutuz. Kapsul itu mengeluarkan
cahaya. Markov mengamati. Zarah-zarah berwarna biru dan putih bergerak dengan
rawak.
“Apakah kapsul ini, Tuan?”
“Carilah orang yang bernama Junaid
Bar...barossa... ia adalah seorang yang mencari cahaya. Ia juga akan membawa
bahagian Cakera yang lain. Dialah yang membantumu kelak. Jika engkau bertemu
Syeikh Syamsuddin, maka sampaikanlah salamku kepadanya. Engkau khabarkanlah
bahawa kami syahid... mempertahankan amanah kami.”
Tuan Qutuz berkata lagi, "Anakku...
"Jalanilah hidup ini dengan
takdir-Nya... Bersangka baiklah kepada-Nya atas apa yang Allah telah aturkan
untukmu... Engkau jadikanlah ilmu itu daripada suluh. Ambillah ilmu itu
daripada ahlinya, iaitu para ulama... Engkau usah pedulikan manusia yang jahil,
jangan buang masa debat dengan mereka, kerana engkau dan generasimu ada banyak
tanggungjawab... dan musuhmu terlalu ramai. Itulah fenomena yang lama membelenggu kita..."
Katanya lagi, “Janganlah... engkau
golongkan dirimu sepertimana golongan yang memperlekehkan ulama jika tiada
sependapat denganmu. Mereka itulah pewaris... Sayyiduna Rasulullah s.a.w yang
benar. Mereka telah berkorban nyawa, seluruh hidup mereka menjaga agama...
akhlak budi mereka yang menawan dan juga taqwa mereka kepada Tuhan begitu
hebat."
"Jagalah adabmu kepada... Tuhan,
dan juga adabmu... kepada sesama makhluk. Engkau keluarlah daripada...
perselisihan yang remeh, yang sudah dibual bicara oleh para ulama sebelummu.
Jadikanlah teknologi itu sebagai alat, bukan matlamat. Jangalah terpukau dengan
kilauannya yang menipu...
“Genggamlah dunia di tanganmu... bukan
di hatimu...”
Markov tidak dapat menahan linangan air
matanya. Ia hanya bisa menunduk dan mengangguk sahaja. Bisik hatinya, “Sejauh-jauh
beliau di sini, beliau kenal juga Syeikh Abu Hassan as-Syazili...”
"Teruskan perjuangan... anakku...
teruskan perjuanganmu sehingga engkau bahagia bertemu Tuhanmu... Sabarlah dalam
setiap dugaan, kerana ketabahan itu adalah ibadah mendekatkan diri kepada
Penciptamu."
“Pergilah... anakku... teruskan
hijrahmu... perjalananku akan berakhir di sini. tidak lama lagi aku akan menemui
kekasih-kekasihku di syurga, sebentar sahaja lagi...”
Tuan Qutuz mengangkat sedikit tangannya
seraya berdoa, “Ya Allah... apalah kiranya engkau ampunkan hamba-Mu ini. Engkau
himpunkanlah kami bersama orang-orang yang mati dalam husnul khatimah. Engkau terimalah
segala amalan kami. Engkau bantulah anak-anak kami ini dalam mempertahankan
agamanya. Engkau hubungkanlah mereka dengan pecinta-pecinta Sayyiduna
Rasulullah s.a.w. Engkau himpunkanlah kami kepada kekasih-Mu... Sayyiduna
Rasulullah s.a.w...”
Ya Allah... saksikanlah... “Aku naik
saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah. Dan Nabi Muhammad s.a.w itu Pesuruh
Allah.”
Bacaan nadi robot medik mendatar. Munculnya
bauan wangi aneh yang datang entah dari mana. Markov mengetap giginya kerana
kesedihan. Dilihatnya kepada mujahidin tua yang lain. Mereka juga sudah kaku,
sudah menang syahid dijemput Tuhan. Sinar keimanan yang gemilang dalam
hati-hati mereka menjadi keazamannya untuk meneruskan perjuangan.
Markov beroda, “Ya Allah, permudahkan
hijrahku ini!”
*Penulis ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan kerana cerpen latar Galaksi Muhsinin ini telah lama tertanggguh sejak Julai 2012. Terima kasih atas sokongan anda!
1 Rejab 1435H /
1 Mei 2014
No comments:
Post a Comment