Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Saturday, May 3, 2014

Virus T.A.Z.K.I.R.A.H: Pensabotaj Wirawan Liga Lanun (Bhg. 1)

Bersempena Ramadhan 1435H dan Ulangtahun ke-6 Galaksi Muhsinin

Bahagian 1: Pensabotaj Wirawan Liga Lanun

“Kejeron V akan mendarat di lorong jalan, lima minit sahaja lagi,” kedengaran seseorang di dalam kokpit pesawat kapal angkasa tersebut.

Sebuah shuttle kelas Kejeron V merentas kota Metrodaya. Kota ini terletak di garisan khatulistiwa planet Muricata. Planet ini merupakan salah satu daripada rangkaian pusat perdagangan antaragalaksi yang merangkumi planet Coercya, planet Uoli dan planet Maidah Md-5 dalam Domain Lapisan Keempat (L-4) Jaringan Ion Ankabut Galaksi Muhsinin. Kota ini sibuk dengan lalu-lalang warga kota dan juga pengunjung dari planet lain.

Shuttle tersebut tiba tatkala tengahari yang mendung. Di sisi pesawat tersebut terdapat sebuah simbol kecil, iaitu lambang tengkorak bersilang tulang.
Kedengaran sayup-sayup bunyi radio pada Kejeron V, “Galleon menerima. Nakhoda Corsair akan memberikan taklimat misi sejurus setelah mendarat.” Shuttle itu telah berlepas daripada dek kapal induk Galleon ‘Barbarossa’ sebentar tadi. Kapal tersebut sedang terapung di angkasa mengorbit planet.

Radio Kejeron V berbunyi lagi, “Mengapa mendarat di lorong jalan? Nanti lebih berisiko misi kita dicurigai.”

“Err... mendarat di lorong, tidak perlu bayar parkir! Rugi aku nanti.”

Balas operator di Barbarossa, “Cis, buang masa aku tanya.”

Sambil juruterbang ketawa kecil, katanya, “Tidak mengapa, kita pasangkan generator halimunan SUPAN-G. Orang tidak dapat mengesan kita dengan mata kasar. Kalau ada orang terlanggar, awal-awal kita minta maaf.”

Juruterbang berkata sambil tersengih, “Agaknya planet Galaksi Muhsinin adalah sasaran kita selepas ini. Terlalu senang menyusup.” Ia menoleh kepada seseorang yang sedang duduk di kerusi kiri dalam kokpit pesawat tersebut.

Juruterbang itu mengharapkan balasan, tetapi tidak dijawab. Ia mengharapkan wira Liga Lanun yang dibawanya akan menghargainya, “Kalau begitu, aku letak jawatan lebih baik. Kerja senang bukanlah kerja aku.”

Juruterbang mengendalikan shuttle mereka dengan agak baik. Mereka menghampiri sebuah lorong, namun terlajak sedikit sehingga melanggar dinding bangunan. Shuttle itu bergegar.
“Memang patutlah shuttle ini digelar kejeron, bergerak pun melulu,” kata lelaki itu lagi.
“Tengok, betapa handalnya aku. Tidak sampai setengah minit sudah mendarat. Itu pun aku parkir cara undur ke belakang. Orang lain lima minit pun masih takut mendarat,” kata juruterbang mendabik dada.

Pintu kargo dibuka, kata wira itu menjengil, “Huh. Memang handal. Macam mana mahu keluar? Kita mendarat atas genangan air.”

Juruterbang ketawa kecil, “Maafkan saya. Bak kata pepatah, kerana pulut santan binasa; kerana mulut badan binasa. Saya aturkan balik.”

Wira tadi mencebik, “Mengada-ngada! Cepat!”

Tiba-tiba penggera kokpit berbunyi. Ia bergegas mendarat ke hadapan sedikit. Setelah mendarat katanya, “Nakhoda tahu kita sudah mendarat. Bersedia, kita akan menerima transmisi sebentar lagi.”

Pemancar hologram menjadi aktif. Cahaya dipancarkan ke skrin. Terpampang wajah Nakhoda Corsair. Ia berkata, sambil tersengih “Misi terbaru engkau, wira Liga Lanun. Habuan besar kali ini.”

Nakhoda diam. Kemudian berkata, “Kenapa kamu berdua mengunyah? Belum masuk waktu berbuka! Tidak, sudah tentu engkau curi makan!” Bekas makanan di atas paha mereka jelas kelihatan di skrin Galleon.

Jawab juruterbang Kejeron V, “Tuan silap faham. Sekarang kami di planet lain. Waktu berbuka tentu lain. Lihat, ada cebisan cili di bibir tuan. Mesti Tuan juga curi-curi makan juga!” Tiba-tiba skrin padam. Kemudian talian muncul kembali.

Kata Nakhoda, “Cebisan cili? Tidak ada pun! Di planet ini sudah berhari raya. Sekarang di sana masih lagi tengahari! Tidak syak lagi kamu berdua memang ponteng puasa!”
Rasa-rasanya juruterbang dan wira itu mempunyai sangkaan yang sama, “Engkau sama juga tidak berpuasa. Sangat ketara kesalahan dengan sengaja tutup skrin dan mengelap mulut untuk sorok kesalahan. Hari Raya Aidilfitri masih lagi kurang sebulan.”

Nakhoda batuk, kemudian berkata dengan semangat, “Tahniah engkau sebagai wira telah terpilih dalam ketumbukan elit terbaru Liga Lanun, LEMAU. Semua wira Liga Lanun dihimpunkan dalam LEMAU, untuk menjalankan operasi khas kita. Apabila kita sudah kuat kelak, sudah tentu musuh-musuh kita tidak akan berani menjentik kita!”

Juruterbang Kejeron V bertanya, “LEMAU?”

“Lanun Elit Militia Adidaya Upaya,” kata wira itu.

“Amboi, cantik nama itu. Tidak langsung menimbulkan kegerunan di hati sanubari,” desis juruterbang.

Nakhoda menyambung taklimatnya, “Engkau ditugaskan untuk mensabotaj dan menggodam beberapa firma dagang di planet ini. Planet ini baru sahaja menyertai Galaksi Muhsinin setelah perang yang lepas. Ini merupakan planet dagang dan salah satu pintu dagang Galaksi Muhsinin ke dunia luar.”

Suasana diam sebentar. Hanya kedengaran deringan status shuttle. Kata Nakhoda, “Err... siapa nama engkau. Aku terlupa.”

Wira itu menjawab, “Nama aku Jack. Gelaran aku Barbarossa. Pemimpin yang baik adalah orang yang mengenal orang bawahannya.” Sindir Jack ‘Barbarossa.’

Sergah Nakhoda, “Cis, mana boleh. Itu nama kapal induk Galleon aku!” Skrin kacau-bilau sebentar.

Tegur Kapten Galleon, “Tuan Nakhoda, sila bersopan sedikit apabila bertutur depan pemancar hologram dan mikrofon ini. Ini alat murahan tiruan, nanti cepat rosak. Bos juga yang beli. Jimat konon.”

“Engkau membebel sahaja.”

Balas Jack ‘Barbarossa’, “Mana ada. Itu nama aku dahulu. Engkau yang curi.”

“Suka hati aku. Aku Nakhoda Liga Lanun. Kalau setakat curi nama, itu kerja budak kecil.”
Jack ‘Barbarossa’ terasa ingin ketawa besar akan majikannya, tetapi membatalkan niatnya, “Terkena hidung sendiri.”

Katanya, “Buang masa sahaja. Beritahu aku lokasi firma tersebut. Aku akan selesaikan. Tapi komisyen aku kali ini mesti lebih tinggi. Kalau tidak, aku cari bos yang lain.” Nakhoda Corsair menjengil. Ia tiada pilihan lain. Kemudian ia memberi taklimat dengan peta dan pelan bangunan firma-firma sasaran.

“Demikianlah kiranya tugas engkau. Aku amat berharap engkau berjaya. Banyaknya kredito yang kita... ‘pinjam’ akan menguatkan kembali Liga Lanun. Kita boleh membuka cawangan dan melatih rekrut baru. Perniagaan gelap kita harus disebarluaskan. Modal yang mencukupi diperlukan untuk memperlengkapkan perkhidmatan, agar pelanggan masih memberikan kepercayaan.”

“Tambahan lagi, khabarnya Federasi Generasi Zenzaburo mengadakan rundingan baru untuk membina beberapa pangkalan asteroid rahsia.”

“Barulah Galaksi Muhsinin tahu, taring Liga Lanun yang sebenar!” Nakhoda ketawa besar. Siaran  hologram kacau-bilau sekali lagi. Kelihatan tangannya menjulang tinggi, mulutnya melopong.

Jack berasa meluat, sindirnya, “Sejak bila engkau jadi Raja Bersiong, macam tiba-tiba tumbuh taring? Engkau mesti terpengaruh dengan buku Hikayat Merong Mahawangsa, bukan? Setahu aku, engkau benci membaca.”

“Cis, jangan hina aku. Raja Bersiong adalah hero dalam Syair Siti Zubaidah!” Nakhoda tertekan. “Ah, sudah! Selesaikan misi engkau. Aku akan gandakan komisyen!”

“Tetapi sebelum itu, aku ingin memberi engkau amaran. Berhati-hati akan sejenis virus. Beberapa pensabotaj handalan, maksud aku rakan-rakan engkau baru-baru ini telah hilang tanpa jejak. Spekulasi dalam kalangan kapten Liga Lanun mengatakan bahawa virus tersebut telah menjadikan mereka gila. Mereka menunjukkan simptom penyakit yang sama; iaitu tiba-tiba dipukau atau diracuni lalu menangis tanpa henti. Amat memilukan ialah mereka mengembalikan kredito kepada mangsa. Setelah itu mereka lesap. Orang Liga Lanun menggelarkan penyakit ini dibawa oleh virus T.A.Z.K.I.R.A.H.”



Jack ‘Barbarossa’ mengeluh, katanya dengan angkuh, “Kalau Tuan mahu tahu, saya sudah meredah ribuan fasiliti yang orang kata kebal. Ini termasuk yang bersaiz reban-o-manok sehinggalah bangunan pencakar angkasa yang dipagari penggera laser! Sistem kawalan yang kompleks saya telah masuki mudah sahaja.Tidak hairan saya menjadi sebutan orang-orang Liga Lanun. Saya ini terkenal dengan pengembaraan yang misteri.”

Nakhoda menyudahkan, “Kamu berlagak, sombong dan riak. Ingat kamu hebat sangat? Berhati-hati terhadap virus itu. Saya rasa virus itu menjangkiti semua pensabotaj melalui perisian khas. Khabarnya disebarkan oleh orang bernama Penyair Suria. Cepat pergi sempurnakan misi. Jangan hubungi aku selagi tugas engkau belum siap. Aku mahu tidur.”

Transmisi tamat.  Skrin terpampang logo dan moto mereka: “LIGA LANUN Buat Jahat Berpada-pada.” Jack ‘Barbarossa’menggeleng-gelengkan kepalanya. Ia keluar dari Kejeron V.

“Cahaya bintang naik tinggi. Beberapa jam lagi akan senja. Lebih baik cepat buat kerja. Peta menunjukkan bahawa kedudukan bangunan firma berdekatan dengan restoran-restoran. Itu merupakan tempat yang baik. Guna penampilan penyamaran apa pula kali ini?”

Jack berfikir sejenak. “Oh, ya, mungkin fesyen belia ultra-ranggi abad ke-21 lebih bergaya. Tambahan pula, aku seperti orang yang sedang berhibur di jalanan. Baiklah, sut sesumpah, bertukar!” 

Sut kalis diperbuat daripada polimer khas yang serba hitam itu bertukar mengikut arahan menyerupai orang kota. Sut itu mempunyai fabrik nano yang boleh menukar penampilan berdasarkan fesyen yang dipilih dan diubahsuai oleh cip bersepadu. Beserta pada sutnya ialah imbasan kad indentiti palsu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

                                

Pasti tidak ada orang yang akan mengesyaki aktivitinya. Daripada lorong yang suram, ia bergerak berjalan menelusuri jalan kota. Jalan raya agak sesak dan ramai orang, walaupun kebanyakan  hoverhibrid terapung di jalanan beberapa lapis, tidak seperti kereta beroda pada abad yang lepas. Ia berjalan menurut peta yang dimuat turun sebentar tadi. Peta itu sudah dihafal dalam sekelip mata.

“Assalamualaikum, ustaz.” Ia terperanjat.

Desisnya dalam hati, “Ada orang mengenali aku? Aku sepatutnya lebih berhati-hati. Mungkinkah sudah ada orang menghidu kehebatanku? Kerja mesti diteruskan...” 




Insya-Allah bersambung dalam Bahagian 2: Bonus Ganjaran Nakhoda Corsair.




Thursday, May 1, 2014

Hologram Hijrah 2.4 (Akhir): Perginya Syuhada Tua

Bahagian terdahulu Episod 2:
Hologram Hijrah 2.1: Menjejak Artifak Cakera
Hologram Hijrah 2.2: Berada dalam Stesen
Hologram Hijrah 2.3: Cahaya Cinta


Sektor Teras,
Stesen Syuhada,
Planet Nasr Ns-105

“Tidak guna! Di manakah mereka? Tentunya ada terowong rahsia ke hangar. Mereka hilang tanpa jejak,” dengus Leftenan Yofel. Pertempuran di luar tadi telah mengosongkan kelopak raifal Oto-Gauss(N) yang dipegangnya.

Kelopak baru dimuatkan. Kemudian ia menarik perencak raifal. Arus mengalir melalui relung solenoid terlilit di jemarinya menghasilkan medan elektromagnetik. Justeru raifal yang diperbuat      daripada besi itu tertarik kepada medan itu. Ini membolehkan raifal itu kemas dipegang.

Arahan daripada Mejar Gros masih terngiang-ngiang, disampaikan kepadanya melalui transmisi                kod rahsia. “Leftenan Yofel, kompeni kamu akan menyerbu masuk ke dalam. Batalion yang baru     sampai mengepung perimeter luaran stesen musuh. Kamu ada misi penting. Dapatkan cakera artifak itu, sebelum ALGORITMA menemuinya.”

Dengan perlahan pegawai cyborg dan satu skuad marin mekainkal melangkah di satu lorong gelap dalam Stesen Syuhada. Sekalipun bergerak perlahan, tetap ada kedengaran bunyi dengung kaki besi skuad itu berhentak-hentak di lantai keluli. Motor servo yang menjadi sendi tentera mekanikal ini lebih senyap kerana sudah mempunyai peredam bunyi. Tidak kedengaran degup jantung sintetiknya kerana kerangka versi baru cyborg dilingkung oleh selaput kedap bunyi.

Pajera mata Leftenan Yofel giat mengimbas sebarang objek yang menjadi pintu kepada lorong-lorong disangkakan jalan rahsia. Masing-masing mengacu senjata ke sudut-sudut lorong sebagai langkah berjaga-jaga. Seunit marin menarik kelopak peluru dan kemudian memasukkan kelopak yang baru.

Tiba-tiba telinga sintetik Leftenan Yofel bergema kuat, “Tuan, saya menjumpai jalan rahsia!” kata seunit marin mekanikal. Suara marin itu kedengaran daripada deria ternanam pada kepalanya.

“Kamu tidak perlu jerit kuat-kuat. Sakit ‘telinga’ aku. Kurangkan desibel tranmisi engkau!” berang Leftenan Yofel. Marin mekanikal yang merupakan mesin tulen, tidak berperasaan akur sahaja perintahnya.

“Di manakah koordinat jalan itu?” Pegawai cyborg itu tercari-cari. Tiada bunyi. Ia menghentak skapula besi marin mekanikal tadi. 

Herdiknya, “Hei, aku suruh engkau kurangkan desibel. Bukan kurangkan sampai tiada bunyi!”

“Err... 007410.” Jawab marin mekanikal dengan suara kuat bergema di gegendang Leftenan Yofel, memberikan kedudukan penemuannya.

Leftenan Yofel mengomel, “Memang
tidak mengerti apa-apa patung besi ini! Tahu digit 1 dan 0 sahaja!” 

Katanya lagi, “Cis, rupanya dekat sahaja! Tidak perlulah beri koordinat. Kenapa tidak beritahu cuma ‘toleh ke belakang’?”  -_-“

“Bukankah tuan yang arahkan?”

“Ah, sudah! Merepeklah kamu! Buang masa, mesin dungu!”

Marin mekanikal mengacu raifalnya, sambil berkata,“Pintu ini ada jalan. Saya mengimbas, dalam bilik ini terdapat juga beberapa pintu yang agak kecil... ada satu pintu besar. Mungkin juga mereka lari melalui pintu itu.”

Mereka berdiri di hadapan pintu, “Bersedia... ”

Seunit marin menendang pintu dengan kuat,“Bang!” marin mekanikal itu secara automatik mengacukan raifalnya. Unit yang lain juga mengacukan senjata mereka.

Terdiam, mereka dalam keadaan pegun sebentar, “Mengapa tuan tidak beri arahan?” tanya marin mekanikal itu dengan nada mendatar, menunggu jawapan. Matanya ada lapan, ditenung oleh Leftenan Yofel.

“Nasib baik kamu mesin. Kalau tidak, aku dah lanyak engkau.”   >_<

Jawab mesin seperti manusia itu, “Mengapa tuan? Di sebalik pintu ini ada lagi terowong kecil. Menurut data, kebarangkalian bahawa ini merupakan terowong rahsia adalah sebanyak 0.62. Sudah lebih 50 peratus, maknanya hampir tepat. Pintu mana yang tuan pilih?” Katanya dengan nada mendatar, tanpa perasaan.

“Bilik ini namanya dapur! Itu pintu-pintu almari! Pintu yang besar itu pintu peti ais!”

Tempik Leftenan Yofel, “Mesin dungu! Menyusahkan sahaja. Nanti aku jual engkau jadi besi buruk, boleh juga duit itu aku makan kebab spesies manok. Engkau mesin ada otak, tapi tidak ada akal. Taksub ikut ALGORITMA sahaja.” -_-“

Marin mekanikal menenung pegawai cyborg. Tiba-tiba lantai stesen bergegar kuat. Frekuensi dan amplitud bergoncang semakin besar. “Tentulah itu kapal angkasa yang akan berlepas dari hangar, seperti yang Mejar Gros maklumkan.”

“Tuan, saya telah menemui jalannya. Terus kepada hangar rahsia.” Seru seorang sarjan cyborg dari bilik yang disangkakan lorong rahsia.

“Bagus. Kamu dinaikkan pangkat. Ayuh!” 


Hangar,               
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Pintu gerbang gergasi hangar vertikal sudah sedia terbentang. Langit hitam pekat dipagari bintang-bintang seakan-akan bersedia dengan tetamu yang bakal menerobos ke langit. Persediaan berangkat kian hampir. Musuh semakin deras langkahnya. Para pejuang dan pengembara menanti kiraan terakhir.

“Tembak!” Tempik Leftenan Yofel. Tembakan raifal Oto-Gauss(N) kaliber ringan berpelurukan amunisi beradioaktif hanya mampu mengetuk dinding perisai jasad kapal angkasa itu. Kelihatan baraan biru dan kuning membara semakin cerah.


Nyalaan itu kian meningkat dan daya tujah kenderaan angkasa itu semakin terasa. Gegaran semakin ketara, sehinggakan pegawai cyborg sepertinya tidak stabil lagi berdiri. Dilihatnya beberapa marin mekanikal berjatuh-jatuhan. Objek-objek usang hangar pelancaran itu berterbangan tidak tentu hala. Adakalanya logam-logam berat pun melayang, dan melanggari unit-unit marin mekanikal.

Kiraan sifar. Masanya sudah tiba. Perjalanan hijrah menuju Tuhan, tempat berhimpunnya jiwa-jiwa yang baik dan tenang, bermula kembali. “Allahu Akbar!” Markov menekan punat pelancaran.

“Tuan Qutuz, kapal angkasa kita telah dilancarkan!”

“Allahu Akbar,” ujar Tuan Qutuz dengan nada perlahan. “Ya Allah, sampaikanlah Ababil ini ke destinasinya,” ia menadah tangannya memohon pertolongan ke hadirat Tuhan. Kemudian ia menyambung bacaan zikirnya dengan mengira biji tasbih dengan jemarinya perlahan-lahan di atas dadanya.


 Kapal angkasa itu mulanya bergerak perlahan, kemudian mula menujah ke angkasa. Debu-debu berterbangan dek kerana daya tujah yang amat besar. Gas panas mengembang daripada pembakaran bahan api roket penanggung, tujah luar biasa ini diperlukan untuk melolosi graviti planet.

Leftenan Yofel terpaksa berpaut kepada Marin IV yang berkaki empat yang telahpun berpaut kepada lantai hangar dengan cangkuk elektrostatik. Ia hanya mampu melihat dengan visual biasa mata sintetiknya. Marin mekanikal yang lain terpelanting tidak terdaya menahan badai tujah panas dan daya kuat kapal angkasa musuh mereka.  

Kokpit kapal angkasa bergegar kuat kerana getaran enjin, daya tujah ke atas cuba mengatasi tarikan graviti yang masih kuat. Tiada siapa yang berkata-kata, tetapi ucap-ucapan zikir mengingat Tuhan dan kebergantungan total kepada-Nya menguasai setiap yang berada dalam situasi genting itu. Semakin tinggi kedudukannya diikuti dengan coretan cahaya diiringi dengan kepulan asap dan debuan yang menggunung tinggi dihempas dari permukaan planet.

Altitud bertambah, kapal angkasa semakin tinggi, “Lepaskan roket penggalak, “ ujar seorang mujahidin tua yang bernama Ahmad itu. Kapal angkasa itu terus melayang ke angkasa. Pecutan mereka bertambah apabila jisim yang berkadaran songsang dengan daya keseluruhannya pelancaran itu berkurangan. Luncuran itu bertambah pantas dari titik masa ke titik masa terhadapan.

“Tentu kapal Verwusten itu sedang menunggu kita. Sampah sarap, tinggalan lama dahulu masih lagi berlegar di sekitar orbit, masih berisiko tinggi perjalanan kita,” desis Markov. Jawab seorang mujahidin tua, “Sabar anakku. Kemenangan itu begitu hampir. Kita teruskan perjalanan. Berjaya atau tidak, bukanlah urusan kita. Itu urusan Allah.”

Kata Tuan Qutuz, “Nanti engkau aktifkan induktor pengaruh objek hadapan... induktor itu akan... mengaruhkan daya elektromagnet menolak objek-objek logam ke tepi... dan membuka laluan untuk kita.”

Menerusi gerbang hangar vertikal, Leftenan Yofel melepaskan pautannya. “Unit marin mekanikal, sila respon,” ia mengulang beberapa kali sambil memeriksa unit-unit yang sudah bergelimpangan.

“Kesemua marin mekanikal ini sudah jadi besi buruk. Tidak ada apa-apa yang perlu disedihkan.”

  
Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105

Kerusi pemerintah Haspodar itu dihentaknya. “Kenapa Leftenan Yofel terlepas lagi? Nanti aku akan kerjakan dia, hukum dengan sebesar-besar azab!” Tengking Mejar Gros.

“Aku mahu status sekarang juga! Pegawai penjejak, apakah trajektori kapal musuh?” katanya dengan nada marah. Respirator berpenaspisnya kedengaran bunyi mendengus-dengus.

“Musuh sedang dalam tujahan trajektori melepasi orbit. Mereka masih lagi dalam zon atmosfera. Empat minit lagi mereka akan berada di orbit. Haspodar sedang bergerak di titik persilangan trajektori. Tuan boleh lihat visual sekarang.” Mejar Gros melihat ikon musuhnya itu di paparan taktikal maya. Ikon berwarna merah yang sedang memecut ke angkasa itu beriring dengannya nombor-nombor digital yang berputar ligat menunjukkan peningkatan altitud ketinggian, lengkungan trajektori dan halaju pelepasan.

Arah Mejar Gros, “Bersedia untuk tembakan. Sediakan juga skuadron pejuang Auge dan Vormund untuk memintas mereka. Jangan musnahkan. Pintas dan tawan sahaja. Mereka ada kargo yang akan memuliakan Maharaja Empayar kita!”

“Jenis apakah kapal angkasa ini?” tanya Mejar Gros.

Dengan tangkas pegawai itu berkata, “Sebuah kapal angkasa klasik kombinasi shuttle dan pejuang. Dilengkapi dengan persenjataan. Dipercayaai boleh memuatkan sebilangan dan kargo terhad.” Apabila visual yang kabur itu semakin jelas, penderia pintar pada kapal Haspodar mula memfokuskan jejaknya.

“Tuan, kapal angkasa musuh seperti model yang lama. Mereka masih menggunakan dorongan roket bahan api bakar. Menurut pangkalan data Empayar, dorongan jenis ini kali terakhir digunakan meluas sekitar lebih 100 tahun yang lepas. Pada zaman itu mereka menggunakan layar solar apabila berada di angkasa lepas.”

                               

Mejar Gros ketawa kecil, lalu berkata, “Kapal usang. Tiada tandingan dengan Haspodar. Mereka tidak akan pergi jauh. Bagaimanakah status bedilan kita?”

“Tuan, bidikan bedilan turet meriam kita sudah berada di posisi. Kiraan trajektori dua minit tiga puluh tiga saat.”

Tiba-tiba penggera dek pemerintah berbunyi. Lampu kecemasan merah memenuhi segenap ruang bahagian terpenting kapal gergasi itu.

Berkata seorang pegawai penderia kapal, “Amaran. Meriam orbital stesen musuh telah mengecas. Turet meriam mereka sedang memposisi dan menjejak ke arah kita! Cas kapasitor menjadi aktif dan telah mencapai tahap 80 peratus. Fasa induksi generator telah dimaksimumkan.”

Mejar Gros terpinga-pinga, “Apa? Bagaimana mungkin! Seratus tahun ditinggalkan, masih beroperasi?”

“Mungkin mereka sudah mengecas dalam masa yang lama, tetapi penderia Haspodar tidak dapat mengesan!”

“Arahkan Leftenan Yofel untuk musnahkannya!”


Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Marin mekanikal daripada kompeni lain berada di mana-mana melakukan penggeledahan dan pemeriksaan. Leftenan Yofel masih berada di hangar vertikal. Sejurus ia menerima arahan kecemasan Mejar Gros, lantas ia keluar daripada hangar dan memecut lari ke arah bebola gergasi meriam orbital. Beberapa marin mekanikal turut mengirinya.

“Tidak guna, pengecasan kapasitor sudah hampir sempurna. Nampaknya sudah terlambat.” Ia terus berlari dan berlari.

“Marin mekanikal, persiapkan diri untuk taktik lompatan trajektori. Kita mesti musnahkan meriam orbital ini!” Sistem taktikal yang tertanam dalam telah memplot laluan dan trajektori untuk lompatan jauh tersebut.



Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105

“Anggaran cas kapasitor, 90 peratus. Aruhan induktor generator hampir sempurna. Kita mesti melalukan evasi mengelak, Tuan!”

Arah Mejar Gros, “Aktifkan roket retro penggalak kecemasan, evasi mengelak! Sekarang!”



Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105


Muncul bibit-bibit cahaya biru semakin kuat keamatannya di nozel meriam orbital yang berupa meriam gergasi. Bunyi dengungan cas kapasitor semakin kuat. Aruhan induksi elektromagnet generator kian menarik objek-objek besi. Sistem visual Leftenan Yofel seakan-akan diserak kerana gangguan gelombang elektromagnet yang kian meluas cakupannya.

“Kalau aku teruskan, pasti akan gagal kerana akan ditarik oleh magnet yang teraruh oleh elektromagnet meriam. Pasti akan hancur badannya daripada besi kerana ditarik dan terhentak kuat.” Lantas Leftenan Yofel berhenti secara kecemasan dan berpaut pada bangunan.

Dua marin mekanikal tadi sudah melompat dan terhumban kepada magnet gergasi yang teraruh daripada generator tersebut. Bedilan dilepaskan. Gelombang horizontal menggegarkan di sekitar stesen para mujahidin. Sekali lagi Leftenan Yofel hanya mampu mendongak.




Ababil,
Atmosfera Tinggi,
Planet Nasr Ns-105

Ababil telah melepaskan kesemua roket penggalak. Beberapa minit tadi dilepaskan roket penggalak utama yang membantu tujahan melepasi graviti. “Dorongan enjin ion telah diaktifkan. Pengecasan kapasitan masih dilaksanakan. Sebentar lagi dorongan enjin ion dimanfaat sepenuhnya.”

Penggera amaran berbunyi. Markov dan mujahidin tua bersamanya masih sibuk dengan instrumen kawalan mereka. Lantas mereka melihat ke hadapan kokpit, dan melihat visual video. Kapal kapital Verwusten milik Mejar Gros berada di hadapan mereka!

Haspodar rupanya sedang melakukan evasi mengelak. Skuadron pejuangnya tidak dihantar dan turet terpaksa dinyahaktif bagi menyalurkan kuasa kepada enjin dorongan kapal gergasi itu. Roket-roket retro kecemasan marak dengan sepenuhnya demi menyelamatkan diri mereka. Dorongan penggalak berkuasa nuklear terpaksa dihidupkan juga pada saat genting ini untuk menaikkan Haspodar ke orbit lepas. Jika tidak, tarikan graviti planet akan membinasakan kapal tersebut.

“Tuan Qutuz, trajektori destinasi kita telah diplotkan. Sejurus pengecasan enjin ion beroperasi sepenuhnya, insya-Allah kita akan memasuki Terowong Anjakan Relativiti. Sebentar sahaja lagi!”

Panel solar fotovoltaik telah menyelubungi sebahagian besar fiuslaj Ababil. Panel solar itu mengumpulkan semaksima mungkin tenaga sinar bintang dan disepadukan dengan tabung kuasa solar kapal serta dorongan Anjakan Relativiti. Ini kerana kemasukan kapal angkasa seperti Ababil dalam Terowong empat dimensi tersebut memerlukan kuasa yang tinggi dan ditujahkan pada titik fokus tertentu. Belum termasuk risiko dengan objek-objek jasadi di jagat raya yang maha luas ini.


 Coret-coret cahaya mula kelihatan di luar kokpit Ababil. Tenaga sel bahan api yang dituai daripada sinaran cahaya bintang terhampir disalurkan secara padu kepada enjin dorongan ion dan generator Anjakan Relativiti. Oleh sebab  Coret itu diiringi dengan jutaan coret yang selari dan akhirnya bercantum. Mereka telah memasuki terowong dimensi yang akan menyingkatkan perjalanan jutaan tahun cahaya kepada kiraan jam ataupun hari sahaja. Imbangan tenaga positif dan negatif menolak kapal angkasa tersebut akan menujahkan mereka dalam dimensi yang empat. Tenaga tersebut membentuk perisai yang melingkungi serta melindungi daripada objek-objek jasadi yang mungkin menghentam sewaktu perjalanan.


Hangar,               
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

“Mejar Gros, melaporkan stesen musuh telah ditawan.” Ia menutup aerial transmisinya. Lebih baik mengelak bebelan ketuanya daripada telinga sintetiknya terpaksa berganti lagi. “Aku ini bukan pekak. Sekalipun aku ini besi, aku pun ada perasaan,” keluhnya.

Leftenan Yofel melihat ke angkasa dengan pajera berkuasa tinggi. Kedengaran lagi bunyi dengus keluhan manusia, yang ia telah tinggalkan sekian lama. Kini ia adalah seorang mesin yang boleh hidup lamadan lebih berkuasa, kononnya. “Ejen Muhsinin terlepas lagi.”

 Tiba-tiba penderianya mengesan gerakan, tetapi tidak kelihatan dengan pajera normal. Hembusan angin yang begitu hampir dengannya. “Misi unit 101 berjaya, Leftenan Yofel,” berbunyi di deria telinga sintetik.

Hembusan angin terasa di penderia kepalanya, kemudian mata sintetiknya itu mengesan objek-objek berupa jasad manusia. Mulanya seperti muncul tubuh yang memantulkan cahaya kerana nano-cermin, kemudian itu muncul rupa Komando Bayangan yang sebenar.



“Unit 101, syabas! Mereka tidak akan aman pergi ke mana-mana. Sampai ke lohong hitam pun kami akan cari!” katanya dengan angkuh.


Ababil,
Terowong Anjakan Relativiti.
Destinasi: RAHSIA

Ababil masih meluncur ke destinasinya. Plot trajektori diserahkan kepada komputer kawalan. Markov segera ke ruang kargo penumpang. Dilihatnya Tuan Qutuz terlentang. Darah masih mengalir daripada tubuhnya. Biji-biji tasbih masih terlentang di atas dadanya.

 Sebuah robot medik yang usang sedang merawat di sisinya berbunyi, “Tuan Qutuz, minta maaf kita sudah kehabisan barang perubatan. Saya hanya dapat membalut luka tuan sahaja.” Kamal sedang tunduk teresak-esak di hadapan Tuan Qutuz, begitu bersalah kerana kelakuan pengecutnya itu mengatasi beraninya. Si tua bangka pula yang berjuang untuk mati mulia. Markov pula menahan hatinya supaya tidak dikuasai emosi.

Tuan Qutuz berkata kepada sang robot dengan suara perlahan, terketar-ketar, “Terima kasih wahai makhluk Allah. Apabila sudah tiba masanya, aku akan dijemput pulang oleh Tuhan. Harapnya engkau dan zarah-zarah pada badanmu menjadi saksi kepadaku kelak pada Hari Kiamat.”

 Di raut wajah si mujahid tua Ahmad kelihatan keletihan. Ia duduk bersandar, masih dengan sut klasiknya. Ia berkata, “Anakku... kapal angkasa ini ini adalah prototaip lima krew, lima penumpang dan kargo. Engkau telah pun tahu, Ababil namanya. Telah kami sembunyikan... Kami telah mencipta enjin ion yang lebih berkesan, kompak dan berkuasa tinggi. Kebanyakan teknologi ketika itu didominasi dengan pacuan bahan api, layar solar & tenaga nuklear... Enjin ion masih dalam peringkat eksperimen. Tetapi... koloni kami telah mendahului yang lain.”

Skrin denyut nadi robot medik menunjukkan bahawa rentak graf Tuan Qutuz semakin menurun. Menyedari hakikat nyawanya sudah berada di hujung, dia menekan sebuah punat di sebelah kanan dadanya. Satu ruang terbuka, dan keluar sebuah kontenar yang mengandungi sebuah objek empat segi tidak simetri.

“Anakku... engkau simpan ini baik-baik. Ejen Zion.... akan tetap mencarinya. Bersumpahlah dan... jagalah ia dengan nyawa kamu. Bawalah ia... kepada Khalifah. Jika musuh... mendapatkannya, Galaksi Muhsinin di ambang bahaya.”

“Adakah ini cakera artifak ini, wahai Tuan?”

Datuk menjawab dengan lemah dan perlahan, “Cakera Input Manuskrip...”

“Hanya dengan cantuman kesemua bahagiannya, akan merungkai misteri kewujudannya. Dan juga misteri mengapakah mereka mencari-cari cakera ini.”

“Profesor Mukmin... telah menggabungkan kedua-dua Cip Input Manuskrip menjadi satu, tetapi mencerai-ceraikannya agar rahsianya kekal terpelihara sehinggalah tiba masanya.”

“Akan tetapi... setiap satu bahagian akan merungkaikan... sebahagian rahsia terpendam dalamnya.”

“Dalam... cakera ini... terkandung cetakan biru yang asal Dwi-Cyborg awal Generasi Muhsinin. Sut yang aku gunakan adalah prototaip generasi ketiga.”

“Anakku... nyawaku... sudah berada di penghujung. Jagalah amanatku ini... apabila kesemua cakera ini dicantum, inilah kunci utamanya.” Tuan Qutuz hendak menggerak-gerakkan tangannya, tetapi tidak beradaya.
“Tuan mahu buat apa?”

“Anakku... engkau pulas punat di bahagian tengah hati ini...” Markov membuat seperti yang diminta. Keluarlah satu kapsul silinder bersaiz poket dari sut Tuan Qutuz. Kapsul itu mengeluarkan cahaya. Markov mengamati. Zarah-zarah berwarna biru dan putih bergerak dengan rawak.

“Apakah kapsul ini, Tuan?”

“Carilah orang yang bernama Junaid Bar...barossa... ia adalah seorang yang mencari cahaya. Ia juga akan membawa bahagian Cakera yang lain. Dialah yang membantumu kelak. Jika engkau bertemu Syeikh Syamsuddin, maka sampaikanlah salamku kepadanya. Engkau khabarkanlah bahawa kami syahid... mempertahankan amanah kami.”


 Tuan Qutuz berkata lagi, "Anakku... 

"Jalanilah hidup ini dengan takdir-Nya... Bersangka baiklah kepada-Nya atas apa yang Allah telah aturkan untukmu... Engkau jadikanlah ilmu itu daripada suluh. Ambillah ilmu itu daripada ahlinya, iaitu para ulama... Engkau usah pedulikan manusia yang jahil, jangan buang masa debat dengan mereka, kerana engkau dan generasimu ada banyak tanggungjawab... dan musuhmu terlalu ramai. Itulah fenomena yang lama membelenggu kita..."

Katanya lagi, “Janganlah... engkau golongkan dirimu sepertimana golongan yang memperlekehkan ulama jika tiada sependapat denganmu. Mereka itulah pewaris... Sayyiduna Rasulullah s.a.w yang benar. Mereka telah berkorban nyawa, seluruh hidup mereka menjaga agama... akhlak budi mereka yang menawan dan juga taqwa mereka kepada Tuhan begitu hebat."

                                

"Jagalah adabmu kepada... Tuhan, dan juga adabmu... kepada sesama makhluk.  Engkau keluarlah daripada... perselisihan yang remeh, yang sudah dibual bicara oleh para ulama sebelummu. Jadikanlah teknologi itu sebagai alat, bukan matlamat. Jangalah terpukau dengan kilauannya yang menipu...

“Genggamlah dunia di tanganmu... bukan di hatimu...”

Markov tidak dapat menahan linangan air matanya. Ia hanya bisa menunduk dan mengangguk sahaja. Bisik hatinya, “Sejauh-jauh beliau di sini, beliau kenal juga Syeikh Abu Hassan as-Syazili...”

"Teruskan perjuangan... anakku... teruskan perjuanganmu sehingga engkau bahagia bertemu Tuhanmu... Sabarlah dalam setiap dugaan, kerana ketabahan itu adalah ibadah mendekatkan diri kepada Penciptamu."


 “Pergilah... anakku... teruskan hijrahmu... perjalananku akan berakhir di sini. tidak lama lagi aku akan menemui kekasih-kekasihku di syurga, sebentar sahaja lagi...” 

Tuan Qutuz mengangkat sedikit tangannya seraya berdoa, “Ya Allah... apalah kiranya engkau ampunkan hamba-Mu ini. Engkau himpunkanlah kami bersama orang-orang yang mati dalam husnul khatimah. Engkau terimalah segala amalan kami. Engkau bantulah anak-anak kami ini dalam mempertahankan agamanya. Engkau hubungkanlah mereka dengan pecinta-pecinta Sayyiduna Rasulullah s.a.w. Engkau himpunkanlah kami kepada kekasih-Mu... Sayyiduna Rasulullah s.a.w...”

Ya Allah... saksikanlah... “Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan selain Allah. Dan Nabi Muhammad s.a.w itu Pesuruh Allah.”


Bacaan nadi robot medik mendatar. Munculnya bauan wangi aneh yang datang entah dari mana. Markov mengetap giginya kerana kesedihan. Dilihatnya kepada mujahidin tua yang lain. Mereka juga sudah kaku, sudah menang syahid dijemput Tuhan. Sinar keimanan yang gemilang dalam hati-hati mereka menjadi keazamannya untuk meneruskan perjuangan.

Markov beroda, “Ya Allah, permudahkan hijrahku ini!”




*Penulis ingin memohon berbanyak-banyak kemaafan kerana cerpen latar Galaksi Muhsinin ini telah lama tertanggguh sejak Julai 2012. Terima kasih atas sokongan anda!


Alhamdulillah telah disiapkan pada:
1 Rejab 1435H / 1 Mei 2014
6.58 pagi, Miri