Tahun 2175
Lautan Pasifik
Bumi Lama
“Bangun, anakku Hanomage...”
“Ya, Ayah?”
“Kita sudah sampai.”
“Tuan. Mikasa berada di koordinat
31 darjah utara, 178 darjah Barat,
kedalaman 16,800 kaki. Radar sonar menunjukkan objek keras di hadapan,” kata krew kapal selam Mikasa.
“Buka kanopi hidrostatik dan
pancarkan lampu sorot.”
“Kanopi hidrostatik diaktifkan!”
seru seorang krew kapal.
“Ayah! Cantiknya!” si anak kecil
yang baru bangun itu melihat selaput bendalir likat beransur-ansur membentuk satu
kubah kanopi lutsinar. Penutup kanopi daripada sebatian logam perlahan-lahan surut
dan kini mereka dapat melihat kegelapan dasar laut.
“Pancarkan lampu sorot!”
Beberapa lampu sorot memancar
sinar yang amat terang. Alur cahaya itu menunjuk ke arah sebuah objek besar.
Banyak teritip dan hidupan laut aneh yang tumbuh dan hidup di sekitarnya. Si
anak kecil itu terpegun melihat haiwan-haiwan laut yang mungkin tidak dapat
dilihat oleh orang di darat sana.
"Dapatkan gambaran visual objek itu!" arah orang itu lagi. Kemudian ia berkata, “Anakku. Inilah Hiryu!”
“Hiryu? Kapal induk Hiryu?”
“Ya, anakku. Ceritakan sedikit
apa yang engkau tahu tentang Hiryu.”
“Hiryu dalam bahasa Jepun adalah
Naga Air. Kapal ini merupakan kapal induk terakhir dalam armada Kido Butai yang dipimpin oleh Timbalan
Laksamana Nagumo Chuichi. Kapal yang agung ini karam ketika Pertempuran Midway pada 4 Jun 1942. Akagi,
Kaga dan Soryu karam terlebih dahulu apabila pesawat Imperialis bernasib baik kebetulan menjumpai Kido Butai. Bom-bom telah menghentam kapal-kapal itu dan tinggal
Hiryu yang masih berjuang.”
“Bagus... anakku. Usiamu 12 tahun
menyerap begitu banyak pengetahuan. Apa lagi yang terjadi, anakku?”
“Hiryu menyerang balas dan
menenggelamkan kapal induk imperialis, Yorktown. Akan tetapi, empat buah bom
mendarat di atas geladak Hiryu pada petang hari... dan cedera parah. Ia gagah belayar dan dimamah air pada
keesokan harinya...” si anak itu tunduk sambil teresak-esak. Titisan air mata
berjatuhan dari wajahnya si anak kecil itu.
“Anakku... sejak itu Imperialis
mengasak Empayar. Dan Nihon Kaigun, armada nenek moyang kita telah bersusah
payah mengekang kemaraan Imperialis. Dan akhirnya mereka berjuang dengan apa
yang ada. Kita belayar lagi... dan nanti ku tunjukkan pengorbanan teragung
nenek moyang kita yang taat kepada Maharaja.”
“Tukar haluan menghala ke bearing 30°42' Utara 128°4' Timur. Naik
kepada kedalaman 1000 kaki. Kelajuan dua pertiga!”
“Dorongan magnetohidrodinamik
diaktifkan. Kelajuan dua pertiga. Kedalaman kepada 1000 kaki!” kedengaran
tempik pengesahan krew kapal selam Mikasa. Terasa kapal selam gergasi itu mula condong
perlahan menghala ke permukaan. Tindak balas kimia daripada tangki ballast
menghasilkan udara. Injap bawah dibuka dan air laut dikeluarkan dengan tekanan
udara melalui injap. Pengurangan berat kapal selam menyebabkan ia mula
mengapung ke permukaan.
Dorongan magnetohidrodinamik adalah pacuan menggunakan aliran bendalir panas melalui aruhan elektromagnet. Berbeza dengan kebanyakan dorongan kapal selam abad lepas menggunakan kipas turbin, pacuan magnetohidrodinamik lebih senyap. Denyut medan magnet menyebabkan getaran simpatetik dalam ferobendalir justeru menghasilkan rambatan gelombang. Ini mengakibatkan air laut di dalam tiub terbuka dipam ke belakang, menghasilkan daya tujah ke hadapan Mikasa.
“Kita akan ke kepulauan Kyushu,
anakku. Melihat tinggalan gagah nenek moyang kita mempertahankan Maharaja...”
kanopi lutsinar masih lagi dibuka. Mereka melihat kapal selam gergasi itu
meredah gelap dan sejuknya Lautan Pasifik.
“Lihat apa lagi, Ayah?” si anak
memandang kepada idolanya. Temannya. Gurunya. Ayahnya. Terdapat kesan linangan
air mata di pipinya.
“Ke satu tempat yang berbaloi
untuk kita kenang.”
“Anakku Hanomage... simpanlah
tangismu ke dalam hati. Agar ia menjadi dendam yang membara mendorongmu
meneruskan cita-citamu. Usah engkau menangis lagi. Generasi perlukan kamu. Teguhnya
bercitra multak bagai Toyotomi Hideoyoshi menyatukan samurai buat sekian lama. Satunya kekuatan
seperti bulat tekad Tokugawa Ieyasu. Kencangnya bagai badai Mikasa Laksamana Togo memukul armada Baltik.
Dan teguhnya pendirian seperti Jeneral Kuriyabashi mempertahankan Iwo Jima.”
“Dalam dirimu ada mereka. Mengalir
dalam tubuhmu. Engkau adalah Generasi mereka.”
“Namun begitu, anakku... aku awal-awal
tunjukkan jalan untukmu.” Si Ayah mengeluarkan sebiji peranti berbentuk cakera.
Ia meletakkan di atas pemancar. Lantas, Si Ayah menekan pusatnya, dan
bercerailah cakera itu kepada beberapa sektor dan tembiring, terpancarlah imej
dan tulisan maya terapung-apung.”
“Apakah ini, Ayah?”
“Generasi perlukan kamu, anakku
Hanomage. Dalam cakera ini, adalah kunci kepada jalan untukmu. Aku mungkin
tiada lagi pada suatu hari kelak. Tapi engkaulah yang menyambung tugasan ini. Demi
Generasimu.”
Si Ayah terbatuk kuat dan menghela
nafas. Kedengaran bunyi berdehit berat nafasnya. Si anak mengusap-ngusap
belakang Si Ayah. “Baiklah, Hanomage,” katanya dengan perlahan.
“Dalam cakera ini ada tiga
komponen utama,” sinar merah yang memancar ke arah cakera itu terpantul
mengenai Hanomage. Matanya hanya memerhatikan cakera yang bercerai itu berputar
pada paksinya dengan perlahan.
“Satu bahagian adalah sektor
terlarang. Jika maklumat dalam sektor cakera ini bocor, koloni Generasimu akan
berpecah-belah.”
“Mengapa, Ayah?”
“Generasi Zenzaburo yang
diasaskan oleh Zenzaburo Shirane terdiri daripada banyak bangsa Timur. Jepun,
China, Korea dan Mongol. Pada masa lampau masing-masing mereka beradu kekuatan
dan ada sejarah yang tersendiri. Banyak darah yang tumpah semasa interaksi
mereka. Jika ada rakyatmu yang tahu, pasti ada ekstremis yang menggunakan
kesempatan itu untuk meruntuhkan Generasimu.”
“Tapi... ku pasti engkau akan
menggarap peluang itu kelak... tidak perlu aku beritahu. Engkau akan melihatnya
kelak.” Si Anak terkebil-kebil dengan kata-kata Si Ayah.
“Dua sektor utama lagi adalah
pelan kecemasan untuk engkau tegak menyatukan Generasi. Jika muncul golongan
revolusioner sesamamu yang mencabar wibawamu, lancarkan Operasi Shinsemgumi.”
“Jika ada penceroboh ganas yang
melangkaui perbatasan galaksimu, engkau lancarkan...”
“Maaf, Tuan. Kita sudah berada di
lokasi. Kedalaman 1,000 kaki.”
“Bagus, kapten. Anakku, sudahkah
engkau bersedia?” soalan itu dibalas angguk. Lampu sorot dipancarkan ke satu
objek gergasi.
“Anakku, cuba teka, apakah ini?”
“Yamato?”
“Benar. Yamato. Inilah pengorbanan
agung nenek moyang Generasi. Yamato adalah simbol kebebasan, kekuatan dan
penentangan terhadap penindasan Imperialis. Yamato dan beberapa kapal pengiring yang lain pergi ke medan juang membantu Okinawa yang terkepung oleh Imperialis.Ia karam kerana kehabisan peluru dan
banyaknya bom dan torpedo yang menghujani dan merobeknya.”
"Mungkin engkau sudah tahu, kapal tempur terbesar yang pernah manusia bina! Meriamnya tiada tolok banding. Tebal perisainya hanya melantun peledak Imperialis."
“Meriam-meriam gergasi Yamato masih lagi gah
bagai mereka masih hidup. Meriam penangkis pesawat masih lagi mendongak ke
atas, seakan-akan pertempuran masih berlangsung, ayah!”
“Ayah... adakah Generasi mampu
membina Yamato sebagaimana nenek moyang kita dahulu?”
“Sudah tentu, anakku. Engkaulah yang
akan membinanya! Engkaulah yang akan melunaskan tugasnya menghancurkan musuh,
membinasakan kezaliman Imperialis!” kenyataan nekad itu dibalas dengan
anggukan. Matanya bersinar mengharap ia dapat membentur masa hadapan.
“Jika engkau lemah sekarang,
Hanomage, nasib malang Generasimu akan menimpa generasi Maharaja yang lampau. Engkau
lihat ini!” Terpampang pancaran tayangan hologram di satu skrin.
Riak wajah Si Anak serta-merta
berubah. Matanya sekali lagi berlinangan air mata. Bibirnya tersorong ke
hadapan menahan sebak. Kepalanya tunduk disusuli badannya. Akhirnya ia melutut
dan menangis kuat. Si Ayah hanya terpaku berdiri sambil mengukir senyuman di
bibirnya.
“Inilah yang terjadi, Anakku. Apabila
dunia meninggalkanmu. Dunia yang mengkhianatimu. Imperialis telah menyebabkan
nenek moyangmu merana. Ia bakar Hiroshima dengan bom nuklear. Meranapkan ribuan
nyawa. Melenyapkan jiwa dalam beberapa saat sahaja. Saat itu seluruh dunia
hanya memerhatikan. Mereka telah membiarkan kita merempat berteleku di hadapan
Imperialis!”
Si Anak terus menangis. Tayangan di
hadapannya menunjukkan asap berbentuk cendawan berkepul-kepul mengisi ruang
udara. Dan sebuah kota yang sarat dengan penghuni lenyap begitu sahaja menjadi
padang jarak padang tekukur.
“Bangun anakku!” Si Ayah berseru.
“Ambil katana ini. Engkau simpan tangis itu. Tangis hanya memadam api dendam. Engkau
akan menyelamatkan Generasi, memimpin mereka dengan evolusi. Dengan galian kozakium Ayah pasti kamu mampu menguasai mereka. Dan engkau
sebarkan kesejahteraan agar malapetaka ini tak akan berulang lagi, anakku!”
Hanomage menyeka air matanya. Dan
mengambil pedang antik katana itu daripada tangan Si Ayah. Ia menarik sedikit
katana. Terpantul kilatan pedang di wajahnya. Wajahnya kelihatan di atas pedang
itu.
“Siapakah musuhku yang paling berbahaya
kepada kami?”
“Bangsa teroris. Bangsa fanatik dengan
kepercayaannya. Ia datang menjarah dan memaksa engkau menganut kepercayaannya. Engkau
tidak harus memberi belas kasihan kepadanya!”
“Empayar Sibernatik Cybrog, Ayah?”
“Tidak anakku. Sesuatu yang lebih
berbahaya. Ia bukan lagi lagenda. Tapi sudah berada di perbatasan Galaksi Zenzaburo. Orang-orang Ayah sentiasa mengawasi mereka. Dan suatu hari nanti pasti ada retak di kalangan mereka. Retak-retak itu, serahkan kepada orang-orang Ayah. Engkaulah yang akan menghunjam pukulan maut buat mereka.”
“Siapa, Ayah?”
“Galaksi Muhsinin. Mereka adalah satu-satunya
yang boleh menggugat engkau!”
“Kekuatan mereka adalah ilmu. Dan
kelemahan mereka adalah ilmu, anakku!”
Hanomage menyorongkan katana
kembali ke dalam sarungnya seraya berkata, “Apakah sektor terakhir yang berguna
untukku, Ayahku?” biji matanya tepat memandang Si Ayah.
“Sektor terakhir, anakku. Jika
engkau menjadi terdesak dan memerlukan keajaiban, engkau buka sektor terakhir
ini. Inilah jalan terakhir, yang digeruni oleh lawan sejak berzaman. Dengannya,
Mongol tidak menjarah bangsamu. Kemunculannya
menggegarkan hati musuh. Melunturkan semangatnya. Bahawa engkau bertekad menuju
kemenangan walau apapun korbannya.
“Apakah itu Ayah?” tanya Hanomage
dengan penuh semangat.
“Kamikaze...”
#GalaksiMuhsinin #FederasiGenerasi Zenzaburo #fiksyensains