Beberapa malam yang lepas ketika tadarus al-Quran, terlintas dalam juzuk kedua Surah al-Baqarah akan kisah Raja Thalut kaum Bani Israil yang soleh. Orang-orang Bani Israil meminta kepada Nabi Samuel seorang pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada kehinaan. Dan Allah telah mengangkat seorang yang soleh, beriman, berilmu dan kuat tubuhnya yang bernama
Thalut. Akan tetapi, pemuka Bani Israil mempertikaikan jawapan Allah lantaran kerana Thalut adalah bukan daripada keturunan raja-raja dan miskin pula.
Akan tetapi Allah menghendaki sebaliknya. Raja Thalut itu adalah pilihan-Nya yang akan membawa Bani Israil keluar daripada kehinaan. Maka apabila mereka dipanggil untuk berjihad, maka orang Israil berdolak-dalik memberikan alasan. Demi menjunjung perintah, maka Raja Thalut membawa tenteranya menghadapi tentera kafir Jalut.
Setibanya di sebatang sungai, tentera Bani Israil diuji. Sesiapa yang tidak minum ataupun minum secedok air sahaja yang akan menyertai jihad itu. Namun demikian, sifat degil yang terbuku di hati kaum itu, sebahagian besarnya ketinggalan kerana tidak larat kekenyangan dengan air.
Maka tentera yang kecil itu (dikatakan sekitar 300 orang) pun menghadapi tentera kafir Jalut yang ramai dan bertubuh sasa pula. Dalam pada itu, tentera Bani Israil teragak-agak apakah mereka dapat mengharungi cabaran di hadapan dan memenangi bagi pihak orang beriman. Raja Thalut tetap teguh bersama 'orang-orang yang percaya akan berjumpa dengan Allah' yang yakin pertolongan Allah akan tiba sepertimana kaum terdahulu yang pernah berperang dalam jumlah yang kecil.
Maka bertempur hebatlah antara pasukan yang beriman dan yang kuffar. Sampai waktu Allah telah memberikan kemenangan buat kaum beriman dengan anak muda yang melemparkan lastik ke arah Raja Jalut. Dan dikatakan pecah kepalanya, dan pemimpin kafir itu rebah. Lantas, tentera Jalut kucar-kacir dan akhirnya kemenangan menjadi milik orang beriman.
Anak muda itu adalah Nabi Daud alaihissalam yang diberikan hikmah dan kekuasaan pada kemudian hari. Baginda dan anaknya Nabi Sulaiman akan membawa Bani Israil kembali kepada Allah dan mengecapi zaman keemasan mereka.
Kisah inspirasi yang termaktub dalam al-Quran ini tentunya menjadi pembakar semangat kepada Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabatnya yang mulia. Bahawa golongan beriman meskipun segelintir cuma akan menempa kemenangan atas yakin mereka kepada pertolongan Allah sekalipun jumlah mereka sedikit sahaja. Hanya kepada Allah kita jadikan sandaran. Khabarnya kisah ini menjadi inspirasi kepada kemenangan umat Islam dalam Perang Badar (2 Hijrah).
Apabila terlintas kisah Raja Thalut dan Nabi Daud a.s ini, penulis terimbau kembali, bahawa kisah inilah yang menjadi teras kepada kisah-kisah dalam Galaksi Muhsinin, sebelum beranjak kepada himpunan kisah yang lain. Daripada kisah ini, berkembang kepada mengambil iktibar kepada kisah-kisah yang lain dalam Sirah Nabawiyah dan sejarah Islam.
Kisah Raja Thalut (dan Perang Badar) tertuang dalam kisah Planet Hadid Hd-57 / planet Ferum, iaitu pengepungan Flotila Peninjau Cyborg ke-73. Jeneral Furious gagal mengepung planet itu sepenuhnya kerana kegigihan Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 mempertahankan posisi terakhir di Bukit Uhud. Keteguhan mereka akan janji kemenangan daripada Allah terbalas juga, apabila pasukan mereka akhirnya diselamatkan oleh Detasmen Mujahidin Elit ke-15.
Ilustrasi: http:// conceptship.blogspot.com/
Rujukan:
1. al-Hafiz Abu al-Fida' Imad ad-Din Ismail bin Umar bin Kathir, Syeikh Safiur-Rahman al-Mubarakpuri (ed.), (2000). Tafsir ibn Kathir (adbridged) vol. 1, m/s 686-696. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.
2. Imam Imaduddin Abul-Fida Ismail ibn Kathir, Rashad Ahmad Azami, (pent.) (2003). Stories of the prophets [peace be upon them], m/s 477 - 482. Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh.