Mukadimah
Dalam siri
animasi fiksyen sains Gundam 00, ada sejenis jentera perang robot gergasi
Mobile Suit MSER-04 yang diberi jolokan 'Anf' ataupun hidung dalam
Bahasa Arab. Biarpun Mobile Suit (MS) tersebut adalah versi ketinggalan zaman,
usang dan teknologi terkebelakang dan tidak memberikan peranan yang signifikan,
namun ada terselit mesej dan idea tersendiri kewujudannya. Dalam kajian ini didapati
bahawa serpihan fiksyen ini berlandaskan fakta yang ada perkaitan rapat dengan
negara Timur Tengah, iaitu dunia Arab.
'Anf' secara mendasar adalah manifestasi kepada
teknologi 'versi eksport' teknologi yang lebih murah dan dalam kuantiti banyak
yang diharapkan oleh negara pengguna. Sejak tahun 1950-an, negara-negara Arab
menerima pengaruh Kesatuan Sosiali Soviet Rusia (USSR) dalam mengimbangi
kekuatan Israel Zionis pasca penubuhan negara haram itu pada tahun 1948.
Perkara ini meonjolkan seperti yang tercermin kepada Kerajaan Azadistan yang
miskin dan mundur dalam Gundam 00.
Entri ini akan mengkaji secara ringkas tentang pengambilan idea dan
adaptasi sesuatu konsep teknologi dalam karya fiksyen sains.
Anf adalah
MS yang tidak popular, dan bukan tandingan dengan MS yang lain apatah lagi yang
berdorongan relau solar partikel GN seperti Gundam 00
Celestial Being.
Sungguhpun begitu, kewujudan
Anf dalam karya tersebut menampilkan
perkara yang agak signifikan berdasarkan sejarah dan isu semasa yang melanda
masakini, secara khusus di Timur Tengah.
‘Anf’ dalam
Gundam 00
Seperti yang dinyatakan dalam pengenalan, Anf adalah MS yang usang
dan ketinggalan zaman. Satu sumber yang terbaik setakat ini menyediakan
maklumat Anf adalah gundam.wikia.com. Mobile Suit tersebut bernama MSER-04 Anf disifatkan
sebagai jentera versi eksport yang diubahsuai daripada MSJ-04 Fanton.
Kedua-dua MS dikeluarkan oleh Human Reformed Legue (HRL) dan telah
digantikan dengan jentera yang lebih canggih, iaitu MSJ-0611-A Tieren
Jenis Darat.
Anf dilaporkan dijual kepada negara miskin dalam Gundam 00, seperti Afrika dan
Timur Tengah. Mari kita tinjau kedua-dua robot gergasi tersebut.
1.
MSJ-04 ‘Fanton’
Fanton adalah model MS lama HRL dan kemudian diubahsuai dan dijual kepada
negara ketiga sebagai MSER-04 Anf. Di kala pihak seperti Union of Solar
Energy and Free Nations (UNION) dan Advanced European Union (AEU)
merekabentuk MS yang lebih canggih, HRL memilih untuk menggunakan teknologi
yang terbukti berkesan, sekalipun kurang canggih. Fanton digunakan dalam
misi yang penting dalam mempertahankan Elevator Orbital HRL ketika masih dalam
pembinaan.
Fanton menggunakan pendorongan bahan api fosil
untuk menjana kuasa, bukan seperti model pengganti iaitu Tieren yang
menggunakan kuasa hidrogen. Pengudaraan di pek belakang adalah digunakan untuk
menyejukkan enjin dan membebaskan asap. ‘Fanton’ mempunyai pelbagai jenis
senjata, seperti meriam laras halus (smoothbore) 50mm dengan 155 butir peluru,
lembing karbon (untuk senjata jarak dekat) dan perisai besar.
Menjelang tahun 2301, Fanton digantikan dengan MSJ-0611 A Tieren
Jenis Darat yang lebih canggih.
2.
MSER-04 Anf
MS ini adalah hasil daripada modifikasi daripada kerangka asal iaitu MSJ-04
Fanton. Pendek kata, Anf adalah versi eksport bagi Fanton
dan dijual oleh HRL kepada bangsa-bangsa yang tidak mempunyai industri yang
kukuh dan banyak dihantar ke Timur Tengah. MS tersebut dianggap sebagai murah
dan amat sesuai dengan suasana negara miskin di rantau tersebut. Salah satu
sebab kemasyhuran Anf adalah mudah untuk diselenggara dan kadar
kegagalan atau kerosakan adalah rendah.
Anf diturun taraf teknologi berbanding Fanton dari segi pelbagai
spesifikasi. MS tersebut adalah kurang
canggih daripada versi asal. Persenjataan daripada Fanton disusut iaitu
perisai dan lembing karbon (senjata jarak dekat) ditanggalkan dan perisai armor
pada badan Mobile Suit itu dikurangkan. Senjata dan kelengkapan Anf
iaitu:
a.
Senjata utama :
meriam laras halus (smoothbore) 25mm dengan 200 butir peluru
b.
Senjata sekunder :
mesingan 30mm anti-personel
Dalam siri Gundam 00, Anf berperang dalam konflik Kerajaan Azadistan
melanggar Republik Krugis di Timur Tengah. Anf juga dilihat sebagai
jentera pertahanan utama negara Azadistan dalam pergolakan di negara itu.
Terdapat juga Anf di kancah konflik lain seperti di Sri Lanka, apabila
HRL masih lagi bergeser dengan puak pemisah di pulau kecil itu yang merupakan
unjuran daripada konflik Tamil Eelam pada masakini.
‘Anf’: Azadistan dan Perkaitan Situasi Negara Arab
Kerajaan Azadistan adalah negara yang miskin, berpecah-belah kerana
perbezaan aliran politik (parti reformis dan konservatif) dan terjerumus ke
kancah perang saudara. Negara tersebut mempunyai ketumbukan tentera dan Mobile
Suit MSER-04 Anf yang diimport daripada HRL. Insiden tambahan seperti
Azadistan mengharapkan bantuan UNION menunjukkan pergantungan total negara
tersebut terhadap kuasa luar. Hal ini sangat sinonim dengan negara Muslim,
dalam kes siri Gundam 00 adalah negara Arab Timur Tengah.
Keadaan ini begitu serupa terhadap situasi negara Arab dengan ketara sejak
era 1950-an. Terutama sejak negara haram Israel Zionis telah memenangi siri
peperangan 1948 sehingga 1949, dunia politik
Arab tercabar akan kehadiran ‘sepupu lama’ mereka di tanah Palestina.
Dengan pelbagai fahaman yang tertanam seperti nasionalisme, sosialisme dan Marxisme,
Muslim kehilangan arah kerana asas pegangan yang goyah. Tambahan pula,
kelemahan dalam jatidiri, apatah lagi dalam bidang sains dan teknologi
menambahkan lagi mendung nestapa kekuatan umat.
Negara Arab pada era itu, yang rata-rata sudah beralih kepada golongan kiri
seperti nasionalis dan sosialis. Justeru, mereka menjadi kawan rapat kepada
Kesatuan Sosialis Soviet Rusia dan menerima pengaruh negara komunis itu.
Lantas, dalam keadaan terdesak menyaingi Israel Zionis dalam perlumbaan
senjata, negara Arab mendapatkan pelbagai kelengkapan perang daripada adikuasa Kesatuan
Soviet. Lantas, bersama teknologi, mereka menerima ratusan bahkan mencecah
ribuan pegawai, penasihat, pelatih, kakitangan serta juruteknik dalam
memodenkan angkatan bersenjata negara Arab.
Negara Mesir yang dipimpin oleh Presiden Gamal Abdul Nasser dilihat lantang
menentang Israel dan melaungkan slogan retorik penyatuan negara Arab. Lantas,
timbul gagasan kesatuan negara Arab seperti Republik Kesatuan Arab (UAR –
United Arab Republic). Namun UAR tidak mendapat sambutan melainkan negara Syria.
Krisis Arab-Israel memuncak apabila tentera Zionis telah melancarkan serangan
mengejut atas tentera udara Arab dan menewaskan mereka dalam Perang Enam Hari
pada tahun 1967. Pasca perang itu berlanjutan dengan sehingga tercetus Perang
Oktober (1973) dan konflik Lubnan (1982).
Setelah itu, kekuatan demi kekuatan ketumbukan negara Arab mulai hilang dan
tiada ancaman serius buat Israel Zionis sehingga kini. Kita dapat lihat apabila
tercetus konflik Gaza 2014 (Ramadhan 1435H), tidak ada satu negara Arab pun
yang membantu negara berdaulat Palestina itu dari segi bantuan ketenteraan.
Bahkan polisi negara Mesir sendiri telah menyukarkan Gaza untuk dibantu oleh
masyarakat antarabangsa.
Mesir dan Syria pula telah menerima ribuan kelengkapan seperti pesawat dan
kereta kebal pada tahun 1960-an dan 1970-an. Manakala negara lain seperti Iraq
menyusul membentuk angkatan tentera yang dianggap kuat pro-Soviet di rantau
Teluk Parsi pada 1980-an dan 1990-an.
Kembali: Teknologi
Eksport
Setelah kita menyorot suasana geo-politik Timur Tengah pada era Perang
Dingin, kita kembali kepada pokok persoalan utama entri ini, iaitu penggunaan
teknologi eksport yang digunakan secara meluas khususnya di rantau tersebut.
Versi eksport dapat difahami dengan ‘teknologi jualan murah’ yang
dibangunkan oleh industri negara maju. Dalam kes ini, tumpuan kajian adalah
versi eksport Kesatuan Soviet yang menjadi tuan teknologi utama buat pelanggan
setia mereka negara Arab. Teknologi Kesatuan Soviet dikenal dengan kos yang
murah, tahan lasak dan boleh dikendalikan dalam kuantiti yang besar. Tambahan
pula, peralatan perang tersebut lebih mudah dikendalikan berbanding perkakasan
Barat yang lebih sofistikated. Terdapat juga pembelian senjata daripada negara
Barat seperti Perancis, tetapi sejarah telah mengatakan bahawa Kesatuan Soviet
mendominasi pasaran rantau itu.
Kebiasaannya, apabila industri pertahanan menjual persenjataan mereka
kepada negara pengguna, lazimnya produk versi tersebut adalah yang diturun
taraf. Ini mungkin melibatkan pengurangan spesifikasi tertentu seperti kekuatan
enjin, kecanggihan kawalan dan persenjataan.
Dalam kajian konflik di Timur Tengah, kita akan terlintas beberapa contoh
penggunaan teknologi eksport tersebut. Sebagaimana MSER-4 Anf, jentera
perang tersebut dikurangkan kecanggihan persenjataan dan kelengkapan lain.
Sekalipun negara pengeluar seperti Kesatuan Soviet menjual teknologi
eksport ini, terdapat negara yang mengambil inisiatif untuk menaiktaraf dan
membaiki mutu teknologi yang mereka terima seperti negara India yang meningkat
upaya pesawat yang mereka beli daripada Rusia melalui program pembangunan yang
dilaksanakan oleh Hindustan Aerospace Limited (HAL). Terdapat beberapa laporan
mengenai teknologi tertentu mengenai versi eksport ini.
Memandangkan keterbatasan ruang, kita sorot beberapa contoh sahaja tentang
persoalan kali ini:
a.
Pesawat:
MiG-23 ‘Flogger’
Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw banyak mengilangkan kelengkapan perang
seperti pesawat pejuang/pengebom untuk pelanggan mereka, khususnya di kalangan
negara Arab. Terdapat laporan prestasi mengenai pelbagai jenis pesawat yang
dihantar (seringkali dalam kuantiti yang banyak) seperti versi Mikoyan-Gurevich
(MiG) dan Sukhoi. Akan tetapi atas keterbatasan masa, hanya MiG-23 yang
dipaparkan kali ini, dengan prestasi dalam kombat di Timur Tengah.
Kemunculan MiG-23 buatan Kesatuan Soviet adalah untuk mengatasi masalah
kelemahan keupayaan terhad MiG-21 dari segi muatan beban senjata dan jarak
operasi yang terhad. Pesawat ini digunakan dalam beberapa konflik di rantau
Timur Tengah dan Afrika Utara seperti Perang Arab-Israel, Lubnan 1982 (Tentera
Udara Syria), Perang Iran-Iraq 1980-88 (Tentera Udara Iraq), Konflik Libya 1986
(Tentera Udara Libya) dan Perang Teluk 1991 (Tentera Udara Iraq). Terdapat juga
MiG-23 digunakan dalam perkhidmatan rantau lain.
|
Jet pejuang MiG-23MS milik tentera udara Libya |
Biro Mikoyan-Gurevich telah melahirkan banyak versi dan terdapat juga versi
eksport MiG-23BN/BM ‘Flogger-F’, MF ‘Flogger-E’ dan MS. Versi tersebut dengan
jelas dengan sengaja direka sebagai jenis yang telah diturun taraf dan
mempunyai kelengkapan piawaian MiG-23 yang digunakan oleh Kesatuan Soviet dan
Pakatan Warsaw. Perkara ini disebutkan dalam buku
The Encyclopedia of Modern
Warplanes(1995),
Modern Air Combat(2001)
dan juga laman web Air Combat Information Group
ataupun acig.org. Kita tinjau selanjutnya dalam beberapa perkara:
i. Pengurangan
Pendorongan
Menurut Gunston (1995) The Encyclopedia of Modern Warplanes, versi
eksport MiG-23MF ‘Flogger-E’ mengekalkan kerangka asal tetapi dikurangkan enjin
turbojet Tumanskii R-27F2M-300 dengan daya tujah pembakar lanjut 10,000 kg
(22,046 paun). Versi
asal, MiG-23 ML ‘Flogger-G’ berkekuatan daya tujah pembakar lanjut 13,000 kg
(28,660 paun).
ii. Pengurangan
Kelengkapan
Versi eksport MiG-23MF ‘Flogger-E’ menggunakan radar versi awal (lama)
iaitu radar ‘Jay Bird’, tidak mempunyai keupayaan pandang-bawah, tiada pandu
arah (navigation) Doppler, tiada pod penderia inframerah. Manakala versi
eksport lain iaitu MiG-23MS didapati dengan ketara menggunakan peralatan
berkebolehan (capable) sepertimana versi asal.
Jika kita membaca versi MiG-23 lain dalam perkhidmatan Kesatuan Soviet, kita
akan mendapati spesifikasi tersebut adalah berkeupayaan tinggi, tidak seperti
versi eksport yang dihantar kepada negara pengguna.
iii. MiG-23 Awal dan
SyAAF
Tentera Udara Syria (Syrian Air Force, SyAAF) menerima MiG-23MF pada
Oktober 1973, sebelum Mesir dan Iraq. Menurut acig.org, Cooper (2008)
menyatakan bahawa MiG-23MF merupakan versi eksport yang diturun taraf yang
pertama.
MiG-23MF tersebut mempunyai sistem persenjataan MiG-21MF dan enjin turbojet
R-27F2M-200.
Di sebalik kelemahan versi ini, MiG-23MF adalah pesawat termoden
yang diharapkan oleh SyAAF menghadapi Israel. Dalam konflik Lubnan pada tahun
1982, banyak MiG-23 dan MiG-21 telah dijatuhkan, terutama oleh F-15 Israel.
Namun dengan apa yang ada, juruterbang MiG-23MF berpengalaman menggunakan
taktik tersendiri bagi mengatasi masalah tersebut.
iv. Versi Eksport
MiG-23 dalam Perang Iraq-Iran 1980-88
|
MiG-23MS milik tentera udara Iraq |
Antara negara pengguna utama MiG-23 adalah Iraq. Juruterbang Iraq
meletakkan harapan yang tinggi pesawat jet pejuang yang mereka terima
berkemampuan menghadapi jet pejuang Iran F-14A Tomcat. Jet F-14A hakikatnya
jauh lebih unggul daripada MiG-23 dari segi avionik, sistem persenjataan, jarak
operasi, muatan senjata dan gaya laku manuver. Namun demikian, versi eksport
MiG-23MS dan NB nyata amat mengecewakan.
|
F-14A Tomcats milik tentera udara Iran |
Punca utama kekecewaan tersebut adalah kelemahan kelengkapan avionik MiG-23
yang juga berdasarkan MiG-21MF, yang hanya merangkum kelengkapan sederhana kelengkapan
penjarak omni-arah frekuensi amat tinggi
(VOR),
sistem instrumen pendaratan (ILS),
radio frekuensi ultra tinggi (UHF)
dan pengesanan kawan atau lawan (IFF)
SRO-2 seperti juga yang diterima tentera udara Mesir dan Syria yang tiada
penerima amaran radar (RWR).
Namun demikian, konflik yang berterusan Juga seperti di Syria, Iraq menggunakan taktik
tersendiri bagi menampung kekurangan tersebut.
b. Helikopter: Mil Mi-25
Helikopter yang kita kaji ini adalah salah sejenis
helikopter tempur-pengangkut yang terlibat dalam banyak konflik, iaitu Mil
Mi-24, dengan jolokan NATO ‘Hind.’ Kesatuan Soviet membina versi eksport yang
diturun taraf kelengkapan jentera tersebut, iaitu seperti Mil Mi-25 (era Perang
Dingin) dan kini Mil Mi-35. Kajian ringkas subtopik ini akan membicarakan versi
Mil Mi-25 yang dihantar kepada negara pelanggan yang kurang diharap kemampuan
dan dipercayai (less reliable), seperti negara Arab.
Menurut Cooper dan al-Abed (2003) dalam artikel Syrian
Tank Hunters in Lebanon, 1982; negara Arab pada mulanya mahukan Barat
membantu mereka, tambahan pula Kesatuan Soviet enggan untuk membekalkan
helikopter terkini iaitu Mil Mi-24 terutama kepada Syria. Pihak Soviet
mengutamakan peruntukan helikopter tersebut untuk kesiapsagaan di Jerman Timur
yang dijangka menjadi medan pertempuran Kesatuan Soviet dan sekutunya Pakatan
Warsaw berhadapan dengan NATO ketika era Perang Dingin.
Tambahan pula, Perang Afghanistan yang telah bermula sejak 1979 mendesak keperluan
helikopter tersebut di rantau tersebut.
i. Mil Mi-25 di Syria
Apabila Perancis menghantar helikopter tempur Aerospatiale SA.342 Gazelle
dan peluru berpandu anti-kereta kebal ke Syria, negara Soviet itu pun tidak
mahu ketinggalan. Akan tetapi mereka menghantar Mil Mi-25, yang dianggap versi
‘monyet’ yang diturun taraf. Bersama dengan helikopter itu juga, dibekalkan
persenjataan peluru berpandu usang dan primitif AT-2 ‘Swatter’ berbanding AT-6
‘Sagger’ terkini yang diguna pakai oleh Kesatuan Soviet.
Juruterbang Mi-25 Arab
menganggap bahawa misil usang itu tidak berguna kerana keupayaan yang rendah.
Oleh sebab kelengkapan yang serba lemah itu, maka tentera Syria mengalihkan
perhatian mereka membangunkan skuadron helikopter Gazelle. Skuadron tersebut
telah membentuk pasukan yang telah menggerunkan IDF (tentera Israel) dan telah
menimbulkan banyak tentangan terhadap ketumbukan musuh ketika konflik Lubnan
1982. Menurut catatan dengan kukuhnya skuadron Gazelle dan kelambatan
penyediaan dan kelemahan Mi-25, helikopter tersebut tidak digunakan dalam
konflik tersebut.
ii. Mil Mi-25 di Iraq
Iraq menerima helikopter eksport ini pada tahun 1977. Helikopter tersebut
terlibat dengan aktif ketika Perang Iran-Iraq (1980-88). Kesatuan Soviet yang
sedang berhadapan dengan Perang Afghanistan begitu lambat menghantar helikopter
ke rantau lain kerana keperluan yang mustahak. Juruterbang Iraq menyukai versi
ini kerana jarak operasi yang sesuai, beban muatan senjata, kelajuan, serba
boleh. Akan tetapi, masalah yang timbul adalah sistem persenjataan yang kurang
tepat dan keboleharapan yang rendah, saiz yang besar dan tiada kelincahan.
Mi-25 Iraq tidak pernah dilengkapi dengan peluru berpandu termaju seperti AT-6,
tetapi hanya dibekalkan dengan misil At-2B yang mempunyai kuasa penembusan yang
rendah.
c. Kereta Kebal: T-72M1
Menurut buku Osprey Duel 18: M1 Abrams vs T-72 Ural, Zaloga (2009)
telah mengkaji satu versi kereta kebal eksport Kesatuan Soviet ketika era
Perang Dingin. Pihak Soviet telah memutuskan pada tahun 1976, kereta kebal T-72
adalah versi eksport yang menggantikan kereta kebal T-62 oleh negara pelanggan
yang lain.
Secara umum, adalah menjadi kelaziman pihak Soviet untuk
mengutamakan kereta kebal tercanggih seperti T-64 dan T-80 yang ditempatkan di
Jerman Timur dalam bersiap siaga terhadap musuh Perang Dingin, iaitu NATO. Oleh
itu, versi tercanggih itu tidak dibekalkan keluar negara Soviet, sebaliknya
hanya versi diturun taraf dihantar ke negara pelanggan seperti negara Arab.
Menurut buku The Illustrated Dictionary of Tanks of the World: From
World War I to the Present Day, Miller (2003) mengatakan bahawa:
‘T-72 yang
dibina untuk Tentera Soviet/Rusia mempunyai versi eksport yang seiring,
walaubagaimanapun diketahui kemudiannya dan seringkali tidak mempunyai
kecanggihan kelengkapan dan perlindungan perisai armor daripada kereta kebal
Soviet yang setara. (p.
270)’
Berdasarkan polisi Kesatuan Soviet, negara pelanggan seperti Iraq tidak
menerima apa-apa yang sama taraf kualiti seperti kereta kebal terbaik Soviet.
Terdapat banyak versi T-72, versi terbaik adalah T-72M1 yang digunakan oleh
tentera Iraq ketika Perang Teluk 1991.
|
T-72M1 miik tentera Iraq |
Kesatuan Soviet untuk membenarkan negara klien membina versi T-72, yang
terkebelakang daripada kekuatan sebenar Soviet dalam rangka perlindungan
perisai (armor protection) dan sistem kawalan tembakan. Teknologi tersebut
ditetapkan piawaian terkebelakang beberapa tahun daripada teknologi terkini
Soviet.
Pihak Kesatuan Soviet tidak menghantar amunisi akreta kebal terbaik
kepada negara pelanggan, menyebabkan tentera Iraq terpaksa bergantung dengan
amunisi kelas kedua untuk kereta kebal T-72 mereka. Kekurangan yang mendesak
ini ditampung oleh Iraq yang mengeluarkan amunisi yang jauh kurang kualiti dan
terbukti tidak dapat memberikan ancaman serius kepada ketumbukan armor Amerika
Syarikat ketika merebut kembali Kuwait pada 1991 dan kejatuhan Baghdad pada
2003.
Sungguhpun negara Soviet mengenakan sekatan atas Iraq kerana konflik
Iran-Iraq pada 1980, tetapi negara tersebut telah menggalakkan sendiri sekutu
mereka iaitu negara Poland dan Czechoslovakia daripada Pakatan Warsaw untuk
dihantar ke Iraq. Sebaliknya, walaupun dibekalkan dengan jumlah yang banyak,
kereta kebal tersebut dibina dengan kit teknologi murahan daripada Poland.
Akhirnya terbukti teknologi tersebut tidak dapat mengekang ketumbukan
formasi tempur kereta kebal dan kenderaan perisai mekanis menggempur kedudukan
tentera Iraq. Oleh sebab terlalu bergantung harap dengan adikuasa lain (yang
sememangnya tidak telus membantu) dan kelemahan penguasaan ekonomi dan
teknologi, menatijahkan pelbagai kelemahan lain. Justeru, kita menyaksikan
tentera Iraq, walaupun ketumbukan elit seperti Pengawal Republikan tidak
terdaya menahan kemaraan musuh, kerana kemusnahan yang tinggi di pihak mereka
sendiri.
Babak Akhir Anf
di Republik Krugis
Dalam babak permulaan episod pertama musim pertama siri animasi fiksyen
sains Gundam 00, seorang budak pejuang KPSA, Soran Ibrahim
telah terkepung mempertahankan kota Republik Krugis. Gerombolan jentera gergasi
MSER-04 Anf milik tentera Kerajaan Azadistan mahu menjajah wilayah
bergolak itu. Puing-puing runtuhan rumah dan bangunan di ibukota negara itu
sudah tiada lagi dek kerana bahang api peperangan. Tiada yang dapat menahan
peluru 30mm Anf melainkan ditembusi. Anggota KPSA semakin berkurangan
meskipun diseru melalui ulangan rakaman dengan laungan ‘perang suci.’
Hanya beberapa saat Ibrahim Soran hampir sahaja dibidik dan dibedil oleh
meriam di dagu robot itu, tiba-tiba sahaja Mobile Suit usang tersebut telah
dipancar dengan alur senjata tenaga dari langit. Selepas itu menyusul kembali
beberapa
Anf telah ditembak dan langsung rebah.
Akhirnya Ibrahim mendongak ke langit, dan mendapati ada sebuah Mobile Suit
berwarna putih yang mengeluarkan zarah-zarah berkilauan kehijauan terapung di
udara. Itulah detik yang menjadi titik perubahan dirinya. Rupanya sebuah 0
Gundam, versi prototaip telah dihantar oleh Celestial Being untuk melaksanakan
misi pertama campur tangan atas konflik dan menghapuskan kedua-dua pihak.
Sepatutnya kesemua pihak bertelagah akan dibinasakan oleh Mobile Suit itu,
tetapi sebaliknya terjadi. Ia telah dipilih oleh Celestial Being untuk menjadi
Gundam Meister yang mengoperasikan Mobile Suit Gundam 00 Exia, konon untuk
tujuan keamanan. Tetapi dengan harga kebenciannya terhadap agama dan tuhan.
Kesimpulan
Satu nota kaki kecil dalam pengenalan buku Islam at the Crossroads
amat menarik perhatian kita dan begitu relevan dikaitkan dalam perbincangan
kali ini. Pengarang iaitu Muhammad Asad yang merupakan ahli fikir Muslim
mengungkapkan kata-kata seorang lagi pemikir dari Algeria, iaitu Malik Bennabi
mengenai kemunduran dan kemurungan Muslim yang tidak berdaya lagi memberikan
sumbangan yang penting buat dunia. Kata Malik Bennabi:
‘Dengan kehilangan kreativiti yang mereka miliki suatu masa dahulu, Muslim
bukan sahaja bergantung sepenuhnya dengan produk Barat, tetapi mereka juga
menjadi “pembeli” teknologi dan metod organisasi Barat dan juga gaya sosial
Barat dan juga konsep politik, tanpa menjadi “penjual” yang menyampaikan
apa-apa imbangan cetusan positif daripada mereka sendiri kepada Barat.’
Hakikatnya mendung nestapa yang menyelubungi umat Islam tidak keterlaluan jika
terlalu menggusarkan. Baik dari segi kegoncangan sosial, kelemahan ekonomi dan kegoyahan
politik yang tidak kunjung malap berbalah, permasalahan tersebut tampak rumit dan
sukar dirungkaikan. Malah, kemunduran akan teknologi dan kebergantungan sepenuhnya
kepada kuasa luar seperti yang disebut oleh tokoh Malik Bennabi tadi adalah satu
realiti yang merupakan salah satu kepada natijah kepada permasalahan.
Untuk kembali menempa kejayaan, umat Islam perlu melihat kepada permasalahan
yang lebih mustahak, iaitu mengatasi kejahilan dengan ilmu. Ilmu akan menerangi
kehidupan kita, lantas menjernihkan kekeliruan. Dengan kukuhnya ilmu yang mustahak
iaitu ilmu fardhu ain, maka terbinalah masyarakat yang mengamalkan Islam dalam kehidupannya.
Dan dengan itu, barulah mereka dapat melangkah lebih jauh dengan menceburi ilmu
fardhu kifayah (kejuruteraan, perniagaan, kedoktoran, dsb) dengan berpegang teguh
kepada asas agama Islam yang luhur.