Cerpen Latar Saga Galaksi Muhsinin
Planet
Jasmium Odata. Planet indah berwarna biru. Kelihatan separuh hemisfera planet
diterangi sinar Bintang N’caq. Di hemisfera sebelah pula dilitupi kegelapan
malam. Sungguh agung ciptaan Tuhan. Tercermin Kebijaksanaan dan Kekuasaan-Nya.
Tinggi di orbit Planet Jasmium
Odata, sebuah pesawat tidak dikenali menyusup di celah kapal-kapal kapital
armada Empayar Sibernatik Cyborg. Ia bergerak semakin perlahan menghampiri
sebuah terowong. Baraan api biru ekzos enjin vektor mengalihkan pesawat itu
perlahan-lahan. Kehadiran mereka tidak disedari, meskipun pemintas armada
Empayar Vormund aktif membuat
rondaan.
“Kapten Huzaifah. Pesawat berjaya berpaut pada terowong
akses masuk bahagian bawah kapal induk raksasa Maharaja Legion, Konig. Krew kapal masih tidak menyedari
kehadiran kita,” kata Kapten Jaafar.
“Allahu
Akbar! Allah telah menutup deria mereka. Sistem penyerap gelombang radar
kosmik Ababil berkesan,” balas Kapten
Huzaifah.
Kapten Huzaifah memeriksa sut tempur
mujahidin Dirr-ECMnya. Sistem diperiksa. Pembantu Visual Elektronik mengumumkan
bahawa paparan hadapan, sistem panduan penstabilan tembakan, sistem simbiosis
tenaga, perisai plasma dan sundang ion berada dalam keadaan optimum. Ia menarik
perencak raifal tempur Nur-24. Raifal itu serta-merta aktif.
Kapten Jaafar mengaktifkan hologram tiga
dimensi taklimat, “Kapten Huzaifah, instrumen pengimbas struktur telah mengesan
sumber isyarat Doktor Hafsah. Beliau berada di dalam sel penjara stasis sektor
55-A kapal ini."
Meneliti hologram Kapten Huzaifah berkata, “Jarak antara
kita dengan sel penjara stasis agak jauh.”
“Kapten, beberapa robot lebah an-Nahl Nh-16 akan membantu untuk memantau
terowong-terowong ke sana nanti. Mereka akan mengemaskini data dan memuat turun
posisi musuh pada Kapten,” kata Kapten Jaafar.
“Kita hanya ada 15 minit. Sejurus
selepas virus dimuat turun, saya akan menceroboh penstoran data sistem
keselamatan kapal kapital. Musuh tidak dapat mengesan Kapten untuk beberapa
waktu.”
Sebelum pergi, Kapten Jaafar
mengingatkan, “Kapten Huzaifah, berhati-hati. Marin mekanikal dan cyborg
pengawal semakin licik. Mereka ramai. Mereka mampu melihat 360 darjah melalui
mata sintetik.”
“Terima kasih. Semoga Allah bersama
kita.” Kapten Huzaifah memasuki kapal melalui terowong akses bahagian bawah
kapal. “Ya Allah, hanya kepada-Mu kami bertawakal!” doa Kapten Jaafar.
Di dek pemerintah kapal Konig, Maharaja Legion bersama orang kanannya, Waizurai Dactylus. “Tuanku,
Doktor Hafsah telah dipindahkan ke sel penjara baru seperti yang diperintahkan.
Dia terlibat dalam misi kemanusiaan di planet ini dan enggan memberitahu identiti
sistem koloninya.”
Kedengaran bunyi berdengus, “Huh, kemanusiaan? Kemanusiaan telah lama aku tinggalkan. Tidak mengapa,
beta akan buat dia mengaku juga suatu masa nanti!”
Maharaja Legion.
Seorang cyborg. Paduan antara mesin dan manusia. Organ badan manusianya
distruktur semula dalam kerangka bio-mekanikal cyborg. Sistem saraf
disambungkan dengan saraf neuron fiber. Manakala seluruh badan dilindungi oleh
plat aloi waja emas dan platinum. Wajahnya ditopengi dengan kerangka tengkorak
cyborg. Hilang wajah asal sebagai seorang manusia yang dahulu punyai hati dan
perasaan. Tetapi tidak mungkin lagi sekarang...
“Waizurai Dactylus, beta mahu planet ini ditawan dengan
segera. Beta mahukan lelaki kanak-kanak dan dewasa ditangkap. Tukarkan kepada
cyborg dan menjadi hamba Empayar. Biarkan perempuan mereka hidup. Beta tidak
mahu golongan lelaki ini yang akan melancarkan pemberontakan kepada Empayar,”
perintah Maharaja Legion.
Sistem pernafasan Maharaja Legion dibantu dengan
respirator berpenapis. Begitu juga cyborg Empayar yang lain. Setiap kali ia
menarik nafasnya, bunyi berdengus akan kedengaran. Sistem respirasi
bio-mekanikal ini diperlukan bagi setiap cyborg untuk hidup.
“Beta tidak mahu Doktor Hafsah diapa-apakan. Biarkan ia
di dalam penjaranya. Berikan ia makanan dan minuman yang bersih!” perintah
Maharaja Legion.
“Bukankah protokol Empayar tidak membenarkan itu?” tanya
Waizurai Dactylus.
“Beranikah kamu mengingkari beta?” Waizurai Dactylus
terpaksa akur.
Kapten Huzaifah menggunakan radas
penyahkod pada panel pintu sel penjara stasis. Akses diterima. Pintu sel
terbuka luas. Di hadapannya seorang muslimah berjilbab labuh berwarna putih.
Muslimah itu mengenakan jubah doktor.
“Ya Allah, adakah ini bidadari ataupun manusia?” desis
Kapten Huzaifah dalam hati. Hatinya berdegup kencang. Nasib baik tidak berlaku
resonans.
“D-d-Doktor Hafsah, saya Kapten
Huzaifah daripada Detasmen Mujahidin Elit ke-13. Saya diarahkan oleh Khalifah
Ayyub Ansari untuk menyelamatkan Doktor dan kembali ke Galaksi Muhsinin, ”
Kapten Huzaifah tergagap. Berasa agak malu, sekalipun wajahnya ditutupi dengan
helmet sut. Doktor Hafsah jelas pada visor paparan hadapan Kapten Huzaifah.
“Alhamdulillah,
syukur pada Allah. Allah selamatkan saya,” mata Doktor Hafsah berkaca-kaca berbaur
rasa syukur dan harap.
“Doktor, kita hanya ada beberapa minit sahaja lagi untuk kembali
ke Ababil.”
Tiba-tiba, “Shh... shh.. Kapten
Huzaifah, ada unit musuh di entri Q-55-A! Peronda marin mekanikal dan warden
cyborg. ” Lapor Kapten Jaafar melalui radio interkom.
“Doktor, kita sudah tiada masa.
Warden cyborg penjara dan pengawal akan tiba bila-bila masa sahaja. Adakah
Doktor mempunyai sut survival?” Doktor
Hafsah menjawab, “Tidak, Kapten Huzaifah.” Kapten Huzaifah mengeluarkan sebuah
kapsul yang digalasnya. Ia mengaktifkan kapsul itu. Kapsul itu berubah menjadi
sut survival medik tempur Galaksi Muhsinin.
“Terima kasih. Saya tahu menggunakan sut ini ketika
latihan jihad di Planet Anfal An-8 dahulu, ” Doktor Hafsah memasuki bahagian
dalaman eksoskeleton sut tempurnya. “Doktor Hafsah, musuh semakin hampir!”
Kapten Huzaifah memberi amaran.
Sejurus helmetnya menutupi kepala, Doktor Hafsah berkata,
“Pembantu Visual Elektronik, aktifkan perisai plasma. Aktifkan juga paduan
tenaga simbiosis chakra badan dan sut
tempur.”
“Doktor Hafsah, kita ada tetamu!” Kapten Jaafar membidik
warden cyborg di kepalanya. Ia menarik picu Nur-24. Keluar alur-alur biru
daripada nozel raifal yang merupakan sinaran proton bertenaga tinggi. Sinaran
ini memadukan kedua-dua tenaga kinetik dan termal lalu menghasilkan kuasa
musnah yang tinggi. Tepat mengenai sasaran. Cyborg pegawai rebah. Marin
mekanikal pula memberikan tentangan.
“Doktor Hafsah, jangan berada jauh daripada saya.
Keselamatan Doktor adalah prioriti dalam misi ini,” kata Kapten Huzaifah.
Mereka berinteraksi melalui radio interkom. Perisai plasma berganda apabila
mereka berdekatan. Namun mereka menjaga jarak supaya tidak berlaku pertembungan
antara mereka. Marin mekanikal berhempas-pulas memberikan tentangan. Namun,
perisai plasma mereka berdua melencongkan rambatan balistik peluru
anti-material musuh.
Sistem penggera kapal kapital berbunyi. “Kecemasan
dikesan di sel 55-A!” kata krew cyborg operasi kapal. Berang, Maharaja Legion
mengarahkan, “Beta mahu semua unit berjaga-jaga. Musuh cuba menyelamatkan
Doktor Hafsah! Tutup semua entri!”
Maharaja Legion bergerak ke elevator, “Leftenan Exciton,
ikut beta. Beta mahu musuh itu ditangkap hidup-hidup.”
“Menjunjung perintah, tuanku, ” beberapa marin mekanikal mengekorinya.
“Doktor Hafsah, kita ikut jalan ini. Lorong di hadapan
dipenuhi musuh,” Kapten Huzaifah membaling grenad proton ke arah musuh.
“Ayuh, lari!” lorong Q-54-A bergegar dengan letupan.
“Kapten Jaafar, saya telah menemui Doktor Hafsah. Muat
turun data jalan singkat,” kata Kapten Huzaifah. “Baik. Kapten Huzaifah, kita
hanya ada beberapa minit sahaja lagi! Kita mesti tinggalkan kapal ini!”
“Bersabar, Kapten Jaafar. Doktor Hafsah, maksimakan
paduan simbiosis tenaga,” kata Kapten Huzaifah. Titik chakra badan berpadu dengan kuasa dibekal sel tenaga sut. Penghasilan
asid laktik yang memenatkan terkawal. Larian mereka semakin mantap tanpa merasa
letih.
Kedengaran bunyi berdengus, “Oh, rupanya inilah wira yang
menyelamatkan tuan puteri,” Maharaja Legion berada di hadapan pintu terowong akses
kepada Ababil bersama tentera
mekanikalnya.
“Siapakah kamu? Serahkan Doktor Hafsah. Kamu akan
selamat.”
Tanpa membuang masa, “Minta maaf, Maharaja, tempat Doktor
Hafsah bukan di sini,” seru Kapten Huzaifah.
“Saya datang untuk membebaskan seorang manusia daripada
diperhambakan oleh hamba Tuhan. Kebenaran telah datang dan kebatilan telah
lenyap! Sesungguhnya yang batil itu akan lenyap!”
Kapten Huzaifah berlari dan menyerbu ke arah terowong
akses Ababil. Doktor Hafsah turut
berlari mengekori. “Musnahkan dia!” perintah Maharaja Legion. Marin mekanikal
melepaskan tembakan. Perluru dilencong oleh perisai plasma.
Kapten Huzaifah menggempur. Ia menembak dengan raifal
Nur-24. Pedang ion pada kedua belah tangan Kapten Huzaifah diaktifkan.
“Berikan saya raifal itu!” Kapten Huzaifah lantas membaling
raifal Nur-24 kepada Doktor Hafsah.
Kapten Huzaifah bertempur dengan jarak dekat dengan
pedang ion. Doktor Hafsah pula
melindungi Kapten Huzaifah sehingga ke terowong akses. Beberapa marin mekanikal
rebah.
“Doktor Hafsah, masuk!” Maharaja Legion mengeluarkan
senjatanya elektrolembing yang begemerlapan dengan medan tenaga berwarna jingga.
Maharaja Legion melibaskan elektrolembing.
“Sayalah
mujahidin, pejuang Galaksi Muhsinin. Pejuang kebenaran dan keadilan,” kata
Kapten Huzaifah sebelum sempat terjun ke dalam Ababil.
Hac Ababil
dikunci dan dikedap udara. Ababil berlepas
daripada terowong akses. “Koordinat ditetapkan. Terowong empat dimensi x-53,
y-10, z-79 pada sudut gamma-42. Pacuan anjakan ruang relativiti akan diaktifkan
dalam beberapa saat sahaja lagi. Destinasi: Planet Ihsan H-2 di Sistem Solar
an-Najm Nj-53 Galaksi Muhsinin. Bersedia.”
Meredah tembakan laser orbital armada Empayar, pesawat
pejuang angkasa Ababil berlepas
dengan pantas pada kelajuan cahaya. Pemintas lincah Vormund armada Empayar cuba memburu, tetapi terlambat. Ababil hilang jejak daripada armada.
Kecewa. Ababil
terlepas bersama Doktor Hafsah, bersama wira yang menyelamatkannya. Tika
perasaan aneh menguasainya, Maharaja Legion merintih, “Aku akan nantikan
engkau, kekasihku! Sampai masa kita akan bertemu lagi. Tika cinta mula terbit
pada hatiku, datanglah si durjana yang merampas segala-galanya!
Aku miliki segalanya,
Tapi tidak punya cinta,
Aku miliki Empayar,
Tapi ke manakah hilangnya juwita?
Biar merana tanpa cinta,
Biar merana kemarahan dinyala,
Biar merana kebencian membara,
Biar merana asal dendam terlaksana!
Di mana perginya cahaya,
Inginku padam ia selama,
Kerana lantera pemusnah cita,
Kerana lantera perampas cinta!
“Aku berjanji besok tiada lagi sinar cahaya. Kegelapan
menyelubungi segala-gala... dan senja bagi kemanusiaan!”
“Aku akan laksana sumpah warisan Maharaja. Maharaja
Empayar Sibernatik Cyborg!” Tinggallah si maharaja cyborg mengenang nasib
dirinya di kala kegelapan semesta...
* Gambar-gambar adalah hiasan, daripada internet dan laman web conceptship.blogspot.com.