Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, July 18, 2012

Hologram Hijrah (2.3): Cahaya Cinta

Bahagian terdahulu Episod 2:
Hologram Hijrah 2.1: Menjejak Artifak Cakera
Hologram Hijrah 2.2: Berada dalam Stesen


Perimeter Hadapan,
Stesen Syuhada,
Planet Nasr Ns-105.

“Anakku...”

Sayup-sayup kedengaran suara itu di radio interkom Markov. Ia tidak menyedari suara itu ditujukan kepadanya. Bisiknya, “Musuh berkekuatan satu kompeni. Bijak. Mereka berpecah kepada beberapa seksyen. Tetapi mereka mendarat di arah selatan, tempat terhempasnya shuttle.” Markov meneliti daripada visor helmet sut tempurnya. Senjata masih kemas tersisip di pinggangnya.

Desis Markov dalam hati, “Marin mekanikal ini agak berbeza. Mungkin ini adalah versi yang ditingkat upaya. Terdapat bacaan radioaktif pada jasad mereka.”

Katanya lagi dalam hati, “Mungkin juga model baru ini menggunakan sisa nuklear dalam memantapkan aloi balistik armor dan raifal tempur marin mekanikal?”

“Anakku Markov...”

Markov tersedar, “Maaf, Tuan Qutuz. Saya sedang memerhati pergerakan musuh. Pasti mereka mempunyai marin mekanikal tambahan. Biasanya sebuah kapal kapital Verwusten membawa tentera mekanikal sehingga bersaiz rejimen. Kita tidak mampu bertahan lama jika mereka menghantar kesemuanya.”

Angin planet Nasr Ns-105 menghembus deras. Mereka tidak merasakan akan deruannya. Tetapi terukur di tolok tekanan udara pada sut masing-masing. Markov, Kamal, dan mujahidin-mujahidin tua itu berbaris dalam jarak yang jarang-jarang di perimeter hadapan benteng stesen.
Di belakang mereka, Markov meletakkan satu alat mini di atas lantai. Markov menekan punat pada gajet hologram yang dibawanya ketika bermula hijrah dari bulan Curie, Planet Bavatros di salah satu wilayah Empayar Sibernatik Cyborg. Zarah-zarah biru bergerak semula dari titik pemancarnya. Zarah-zarah yang pada mulanya bergerak secara rawak kemudian mengemaskini susunan imej maya. Zarah-zarah lebih jelas lagi dengan pemancaran sinar biru.

Gajet itu memancarkan peta taktikal tiga dimensi yang memaparkan kedudukan stesen, topografi, jarak dan pergerakan musuh. Data gajet disambungkan kepada turet meriam berkaliber tinggi mengawasi stesen. Musuh bergerak perlahan dalam kumpulan-kumpulan mengikut seksyen platun, merapati stesen yang menjadi perlindungan suspek mereka.

“Ingat, wahai anakku. Kemenangan tidak datang dengan bilangan yang banyak. Tetapi dengan pengharapan yang tinggi kepada Allah, Tuhan Rabbul Jalil.” Tuan Qutuz menoleh kepada Markov, sambil itu mengacukan senjata ‘antik’ pada pandangan Markov.

Markov tersentak, “Faham, Tuan.” Matanya masih lagi mengunci pergerakan musuh.

“Saya kehairanan, mengapa Serdadu ini banyak berkaki dua? ”
                           

Serdadu? Maksud tuan, marin mekanikal ada jenis yang banyak kaki? ” Pergerakan musuh masih dipantau. Mereka masih bergerak dengan perlahan-lahan, menunjukkan komander ini sangat berhati-hati supaya elemen kejutan tidak hilang. Itulah doktrin tempur marin mekanikal yang sudah masak dihadam oleh Ejen Muhsinin seperti Markov.

Qutuz berkata dengan nada yang rendah, “Kira-kira seratus tahun lampau, stesen ini adalah stesen terakhir yang melindungi konvoi terakhir Amir Koloni Muhsinin. Pertempuran dahsyat berlaku di sini. Sejurus selepas pengkhianatan Revanche, semua serdadu Kompeni VOCAD menjadi miliknya. Serdadu Maharaja Revanche yang berkaki empat menyerbu dengan bilangan seluas mata memandang.”

Qutuz berhenti sejenak, kedengaran suaranya tersekat-sekat kerana air mata kesedihan berlinangan di matanya. “Dan kami adalah Batalion Syuhada yang hanya menginginkan syahid demi generasi mendatang...”

Markov menoleh, “Batalion Syuhada? Kompeni VOCAD? Bukankah sebelum Empayar Sibernatik Cyborg, koloni-koloni dinaungi oleh Kompeni ILUMINATI? Langsung tidak termaktub dalam sejarah Galaksi Muhsinin! Sejarah sebenar Galaksi Muhsinin tiada siapa yang tahu. Kami masih tercari-cari dari manakah asal-usul kami. Tentunya tuan ketika itu adalah seorang anak kecil.”

“Kami adalah para pendamba syahid yang paling muda. Namun Tuhan mentakdirkan sebaliknya. Nampaknya, sejarah Galaksi Muhsinin harus ditulis kembali. Saya bimbang, sejarah generasimu sudah terpesong. Lebih membimbangkan, cerita ini dilitupkan oleh Ejen Zion yang licik.”

“Ceritakan lagi, Tuan Qutuz, saya ingin mengetahui!” Penggera berbunyi di radio interkom masing-masing. Gajet hologram peta taktikal Markov berbunyi.

“Tuan, musuh sudah dalam jarak bidikan semua senjata kita.” Markov mengaktifkan subrevolver, subNur-24Enya. Magazin katrij caj dimasukkan. Subrevolver bersaiz pistol laser dipasangkan kepada perumah, rahang mencengkam senjata itu. Kini senjatanya berfungsi seperti submesingan. Kaliber dan jarak tenangan bertambah menghampiri jarak tenangan raifai Nur-24. 

Seru Tuan Qutuz, “Semua mujahidin sekalian, bersedia! Semoga Allah bersama kita!” Semuanya bersemangat menghadapi musuh, kecuali seorang. Kamal, di sisinya sepucuk senjata diberikan Markov. Tetapi ia duduk terketar-ketar di belakang benteng perimeter, seperti menunggu nasib dijatuhi hukuman mati.


Kapal Kapital Kruis Verwusten, ‘Hospodar’
Orbit tinggi Planet Nasr Ns-105

“Saya mahukan status kompeni marin mekanikal,” arah Mejar Gros.

“Kesemua unit telah mendarat persis dua kilometer, ralat 10 meter setiap unit. Kesemua sistem dalam keadaan normal. Pek tenaga tambahan masih maksimum setelah pendaratan. Shuttle yang terhempas telah kosong. Mereka disahkan dalam stesen.”

“Bergerak dengan berhati-hati. Beruntung musuh kita kali ini, sengaja mendarat di hemisfera bintang hampir terbenam. Serangan pada waktu malam akan memaksa marin mekanikal menggunakan penderia malam, gajet tersebut akan menggunakan lebih banyak tenaga. Adakah Unit 101 telah mendarat?”
“Belum, Tuan. Mereka menunggu arahan. Bagaimana jika ALGORITMA ta -”

Sampuk Mejar Gros, “Tahu? Selamanya mereka tidak akan tahu. Ini adalah misi rahsia. Ejen kita telah menghilangkan data, unit ini telah diwartakan musnah ketika Perang Galaksi Muhsinin 2205.”

Mejar Gros tersengih, “Itu amat mudah bagi kami Ejen Navarino. Sekadar menghilangkan data ringkas, mudah macam buang sampah sahaja!” Ujarnya dengan angkuh.

Di hadapan Mejar Gros terdapat hamparan visual taktikal yang menunjukkan setiap seksyen-seksyen platun kompeni marin mekanikal yang diturunkan. Topografi; bentuk muka bumi planet jelas sekali. Setiap pergerakan unit dilihatnya.

“Arahkan semua unit untuk bersedia menyerbu. Kita sedang mengejar Ejen Muhsinin. Boleh jadi ia berbahaya. Hanya baru-baru ini kita sedar rupanya mereka banyak menyusahkan kita... dan tidak kurang licik juga! Pastikan ia tidak terlepas lagi!”


Perimeter Hadapan,
Stesen Syuhada,
Planet Nasr Ns-105.

“Tuan Qutuz, ada bacaan seismik menunjukkan ada beberapa gegaran susulan di utara stesen. Anehnya tidak ada coret api yang lain selain kompeni musuh di hadapan kita ini,” lapor Markov.

“Aneh. Tidak pernah berlaku gegaran gempa bumi di planet ini. Kita harus lebih berhati-hati. Ahmad, periksa perimeter tersebut,” Qutuz mengarahkan salah seorang temannya ke bahagian utara stesen. Pertahanan perimeter selatan berkurangan seorang.

Tuan Qutuz menyambung kisahnya, “Setelah Koloni Muhsinin berhijrah, seluruh keluarga Kompeni VOCAD telah dihapuskan oleh Maharaja Revanche ketika penubuhan Empayar Sibernatik Cyborg dahulu. Setelah beberapa ketika, tidak ada yang menyangka stesen ini masih ada manusia bernyawa, kerana begitu dahsyat gempuran serdadu Empayar. Dan satu lagi, lantaran bencinya mereka kepada Koloni Muhsinin, bandar-bandar planet ini dibedil dengan senjata termonuklear dengan meriam angkasa gergasi tinggalan VOCAD.”
“Kami bersembunyi di kawasan pergunungan, sehinggalah saki-baki marin mekanikal pergi. Mereka tidak merasakan ada nilaian strategik di sini. Syukur kepada Allah, kami masih dapat bergerak meredah radiasi dengan perlindungan sut ini. Tetapi hairan, mereka kembali lagi ke sini. Pasti ada sesuatu yang mereka cari.”

Ikon-ikon musuh merapati, tertera pada gajet hologram. Tuan Qutuz diam, lalu menumpukan perhatiannya semula kepada musuh, “Mereka sedang memasuki barisan pertama turet. Biarkan mereka menceroboh.”

Perimeter 1,
Luar Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Seunit pegawai cyborg menggenggam jari-jemari logamnya. Di tangan kirinya tersemat senjata Oto-Gauss(N) yang dipaut dengan jemari gelungan elektromagnet. Genggam bermaksud berhenti. Pegawai itu mengubahsuai fokus pajera laser mata kirinya. Manakala mata-mata sintetiknya yang lain berperanan mengumpul maklumat persekitaran. Ia melihat dengan jelas ‘Stesen X’ berada di medan hadapan. 

Gambar hiasan

Seorang pegawai cyborg bertanya kepadanya, “Mengapakah Mejar Gros tidak membedil sahaja stesen ini? Kalau mereka mati, kita sudah menang!”

“Mejar Gros sedang memburu seorang suspek perisik musuh Empayar, iaitu Ejen Muhsinin Markov. Ejen itu membawa maklumat tentang kita. Dan... ia mempunyai sesuatu yang tidak ternilai harganya kepada Empayar.”

Menggunakan respirator berpenapis, Leftenan Yofel berkata kepada salah seorang pegawai cyborgnya, “Terlalu senyap. Mara.” Kesemua unit marin mekanikal mara ke hadapan.

Tiba-tiba bacaan seismik penderia Leftenan Yofel meingkat dengan mendadak, “Apa?” Serta-merta tanah bergoncang. Tanah yang bergetar merekah dan keluarlah turet bawah tanah yang membedil dengan deras.

Turet-turet sebarisan menyusul memuntahkan peluru-peluru berkaliber tinggi. Dalam sekelip   mata, banyak marin mekanikal rebah mengalami kerosakan maksima.


Benteng Perimeter,      
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Seorang mujahidin tua menembak ke arah sarjan cyborg, seraya bertempik,“Allahu Akbar! Senjata antik ini tidak dapat menembusi badan serdadu.” Raifal pada awal Era Empayar itu tidak dapat menyekat musuh dengan efektif. Satu demi satu turet di hadapan dimusnahkan oleh marin mekanikal. Musuh semakin mara ke hadapan.

Dalam keadaan genting itu, Kamal merangkul badannya, menjerit-jerit di belakang perimenter.                Mujahidin tua tadi melihat Kamal, lantas mengambil Sub-Nur-24E yang diberikan oleh Markov.        Perencak ditarik lalu mengaktifkan senjata tersebut. Mujahidin itu meneruskan bedilannya.

Bisik Markov, “Allah, Allah, bantulah kami!” Kiraan pembilang katrij caj SubNur-24E menunjukkan bilangan pelurunya semakin berkurang.

“Allahu Akbar!” Para mujahidin di perimeter hadapan membidik dengan tepat. Markov menarik               picu lantas katrij caj mengecas subNur-24E. Terpancarlah sinaran proton yang bertenaga tinggi. Sinaran ini memadukan kedua-dua tenaga kinetik dan termal. Paduan ini menghasilkan kuasa memusnah.

Gajet hologran Markov berbunyi lagi. Muncul imej tiga dimensi, kali ini seolah-olah hujan api menimpa mereka. Markov tergamam. Tuan Qutuz juga melihat alamat musibah itu.
                
“Apakah strategi kita, Tuan Qutuz?”
                
Tuan Qutuz menjawab dengan tenang, “Allah bersama kita. Jangan risau, kita akan berangkat    sebentar sahaja lagi. Ahmad sedang mengaktifkannya. Bersabarlah!”
               

Luar Perimeter 2,
Stesen Syuhada,
Planet Nasr Ns-105

Di sebalik simpang-siur berbalas tembakan, sayup-sayup kedengaran suara Mejar Gros terputus-putus di telinga sintetik komander kompei, “Leftenan Yofel, saya daratkan satu batalion. Satu kompeni mengandungi elemen Marin Mekanikal IV.”

Gambar hiasan
"Baik, tuan! Kami perlukan bedilan senjata berat mereka. Senjata mereka gagal menembusi armor kami, kecuali turet dan senjata tenaga Galaksi Muhsinin. Kami mengalami kerosakan maksima pada awalnya, tetapi jurutera mekanikal begitu tangkas membaiki keadaan.Nampaknya Ejen Muhsinin tidak keseorangan.”
                
Leftenan Yofel duduk membongkok. Desir peluru mengenai armor depan badannya. Peluru itu melantun dan jatuh ke tanah. Tiba-tiba alur sinaran biru hampir tepat mengenainya. Ia mengelak, tetapi terkena jurutera mekanikal yang mengiringinya.

Kaki unit itu hancur. Seunit jurutera mekanikal lain bergegas membaiki ‘rakan’nya yang gugur sementara. Cyborg yang tempang itu diganti dan dikimpal kakinya. Kemudian ia bangkit kembali.

“Teruskan tembakan! Mara, demi Maharaja!” seru Leftenan Yofel. Seruan itu hanya kepura-puraan.

Mejar Gros menukar saluran berkod rahsia kepada Leftenan Yofel daripada kapal kapitalnya, katanya, "Gempur, Ejen Navarino. Engkau adalah patriot Neo-Konstatinopel, ejen berganda Zion. Cakera itu adalah segalanya. Jangan ada yang terlepas.”

“Demi Fajar Renaisans!” balas Leftenan Yofel.  “Semua platun, bersedia untuk melakukan taktik loncatan trajektori!”


Benteng Perimeter,      
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

“Anakku, mereka berundur!”

Kamal yang menggigil mendongak melihat panorama di perimeter hadapan. Jeritnya dengan gembira, “Wah, mereka sudah berundur! Banyaknya bangkai robot! Kita menang!” Matanya bercahaya, dadanya terjungkit gembira melepas kelegaan.

“Tidak, Tuan Qutuz. Mereka cuba memperdaya kita. Nampaknya mereka akan menyerang dengan taktik lompatan trajektori. Sambung Markov, “Kita mesti berundur. Turet kita tidak dapat mendongak ke atas.”

Kata Tuan Qutuz, “Tentu mereka akan melompat tinggi untuk memasuki perimeter ini. Jika  mereka berjaya, terlalu ramai musuh akan menyukarkan kita. Satu-satunya cara menghalang adalah mengganggu larian mereka sebelum lompatan trajektori.”

Tiba-tiba Ahmad, mujahidin tua yang mengaktifkan pengangkutan mereka melaporkan, “Tuan Qutuz, enjin ion perlukan masa lagi untuk diaktifkan.” Kelihatan debu-debu yang berterbangan seolah-olah selubung kabus terhasil oleh larian gerombolan musuh di hadapan perimeter.
             
Kata Tuan Qutuz, “Kita perlukan sedikit masa sahaja lagi. Saya minta kamu memberikan           tembakan perlindungan kepada saya.”
               
 “Apa, Tuan Qutuz? Tuan mahu melewatkan mereka dengan menyerbu seorang diri?”

“Kami dengar dan kami taat!” balas para mujahidin tua. Peta hologram menunjukkan gerombolan musuh berhenti berundur hampir satu kilometer dari stesen. 

“Sepatutnya perjuangan ini adalah bebanan kami orang-orang muda! Biar saya yang gempur!”

Penggera gajet hologram Markov berbunyi lagi. Objek-objek bak api dari langit mendarat            menghempas sasaran serentak. Seolah-olah gempa bumi berlaku. Tanah terbungkas. Debu-debu        berterbangan. Gegaran  seismik dilaporkan dari semua arah melingkungi Stesen Syuhada. Kini musuh sudah berkekuatan satu batalion.

“Masa kami hampir tamat. Kalian adalah penerus generasi. Pewaris kepada misi yang mulia, Misi Rahmatan llil 'Alamiin. Kita tiada masa, anakku.”


Luar Stesen Syuhada
Radius 1 kilometer
Planet Nasr Ns-105

“Semua unit, Demi Empayar, serang!” Bisik Leftenan Yofel, “Engkau tidak akan terlepas kali ini, Ejen Muhsinin!”
Gambar hiasan

Unit-unit mekanikal mula memecut dari halaju sifar. Debuan berterbangan, memukul pasir menerbitkan aura bak badai melanda. Gerombolan marin mekanikal berlari dengan halaju tinggi untuk meraih tenaga kinetik yang maksima. Mereka menuju ke sasaran yang telah ditetapkan.

Leftenan Yofel menukar mod penglihatan kepada penderia infra merah dan pandangan malam.  Visualnya jelas walaupun di hadapannya awanan debu daripada larian unit hadapan. Tiba-tiba visualnya terganggu.

Alur-alur cahaya terbit daripada senjata tenaga Ejen Muhsinin mula menghujani gerombolan marin mekanikal. Beberapa unit marin di hadapannya rebah, lantas pegawai cyborg itu sempat menukar haluannya, tetapi mengganggu pecutan taktik trajektori.

Sekali lagi visualnya terganggu. Pajera laser di mata kirinya terfokus kepada sesuatu di benteng musuh. Sempat terdetik di fikirannya, “Apakah cahaya terang di sana?” Tiada siapa yang dapat menghalang mereka kali ini.

Benteng Perimeter,      
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Markov tidak dapat berkata apa-apa lagi. Tiada yang dapat menghalang mujahidin tua itu untuk mencapai cita diimpinya. Ia hanya mampu berserah, dan berusaha sedaya mungkin menghalang kemaraan musuh. Setiap bidikan menjatuhkan unit marin mekanikal.

Gajet hologram sudah dipaut di pek belakang sutnya. Namun kadang-kadang matanya terpaku kepada sebentuk jiwa yang bercahaya dengan cita-cita tertinggi bagi seorang yang mabuk cinta. Jiwa tua yang bercahaya itu menggempur bak ombak ganas menghempas pantai. Terdengar ia dalam interkom:

Terlalu lama aku merindu,                                  Wahai cahaya alam yang indah!

Seiring itu, Markov mendengar sayup-sayup bacaan zikir yang tiada terputus-putus. Tanpa disedari, matanya dilinangi air mata. Mengapa begitu lama ia sudah tidak mendengar madah indah ini? Mungkin itulah cahaya cinta yang membuatnya menyerah jiwa tanpa berkira!


Luar Benteng Perimeter,             
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Si mujahidin tua Tuan Qutuz berlari menggempur, menghunuskan keris neutron sundang 7 lok di tangan kanan. Manakala badik netron sebelah kiri. Seunit marin mekanikal yang sedang berlari ditetaknya, tercabutlah kepala marin itu, melayang ke udara.

Seunit pegawai cyborg memesong lompatan trajektori, ke arah mujahidin tua. Lantaran itu ia disambut libasan keris neutron, terbelah dua dan terlentang di medan pertempuran. Tuan Qutuz menikam dengan badik neutron torso tentera mekannikal tersebut. Justeru mujahidin itu bermadah,
Engkau di negeri Abadi,                                                                                           Sedangkan aku di sini,
Apalah erti hidup ini lagi,
Aku hanya ingin bertemu,
Wahai sebaik-baik,
Wahai semulia-mulia,
Wahai seagung-agung insan!
Getaran runtunan syair cinta dilafazkan menambahkan keamatan cahaya yang terbit daripada sut si mujahidin tua. Melihat banyak lagi marin mekanikal yang sedang mara, Tuan Qutuz memusnahkan unit demi unit marin mekanikal. Ia menyerbu dengan kepantasan luar baiasa menerkam mangsanya bak singa yang lapar.

Tanpa Tuan Qutuz sedari, seunit Skuad Tangan Hitam menaiki cerun berdekatan dan cuba memerangkap si mujahidin tua itu dari belakang. Seorang pegawai cyborg longlai setelah bilahan cahaya keris neutron itu menembusi rusuknya. Sasaran di hadapan. Sut mujahidin Tuan Qutuz  mengesan musuh, lalu menoleh ke belakang.
Gambar hiasan

Ujar unit Skuad Tangan Hitam, “Pernah dengar lagu ‘Anak Kecil Main Api’?” Lantas ia melepaskan lontaran jet api yang deras. Skuad Tangan Hitam itu melakukan simulasi ketawa, sambil berkata, “Aku akan masak otak engkau sampai garing.”

Alangkah terkejutnya musuh separuh mesin itu, sebuah lembaga pantas muncul dan keluar dari naungan api dan menetak tangannya dan memancung kepalanya.

Tuan Qutuz pantas menerkam, melibas, memancung dengan tangkas tentera-tentera mekanikal, sambil bermadah,
Terlalu lama aku merindu,             Wahai cahaya alam yang indah!
Tuan Qutuz mahu meneruskan langkahnya, tetapi kedengaran suara sahabatnya Ahmad di interkom, “Tuan Qutuz, melaporkan gerbang hangar telah diletupkan. Tetapi tidak ada tanda musuh! Kita sudah hampir siap berlepas. Masanya untuk berangkat.”

“Baiklah Tuan Ahmad!”


Benteng Perimeter,      
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

“Tuan Qutuz sedang berlari menuju ke arah benteng perimeter. Teruskan tembakan perlindungan!” kata seorang lagi mujahidin tua. Di tangannya memegang senjata tenaga subNur-24E milik Ejen Markov. “Allahu Akbar, tinggal magazin terakhir.” Sebutir peluru sesat mendarat di bahunya, menyebabkan mujahidin tua itu terjatuh di hadapan Kamal bersama senjatanya. Mujahidin tua itu mengerang dengan suara yang perlahan menahan kesakitan.

Kamal tersentak. Ia yang masih meringkuk di belakang benteng melihat, di manakah Tuan Qutuz berada. Terbeliak matanya melihat seorang mujahidin tua sedang berlari pantas menujut benteng pertahanan. Ia hairan, cahaya putih yang melingkari sut mujahidin tua itu semakin bercahaya. “Ah, malunya aku! Mereka yang sudah tua bangka ini masih menginginkan kematian yang mulia. Aku pula pengecut tidak berbuat apa-apa.”
Tiba-tiba Markov muncul. “Tuan Qutuz, kemari!” Markov menghulurkan tangannya, disambut dan naik ke benteng. Beberapa unit marin mekanikal mendarat berdekatan, tetapi dilibas dengan saifion Markov.

“Allah!” Seru Tuan Qutuz. Beberapa peluru sesat menembusi sut mujahidinnya dan mengalirkan cairan darah yang pekat. Pada saat terkepung sebegini, Tuan Qutuz menunjukkan jalan-jalan rahsia menuju ke hangar. Manakala, sektor demi sektor benteng perimeter telah ditembusi oleh marin mekanikal.



Benteng Perimeter,      
Stesen Syuhada
Planet Nasr Ns-105

Seunit sarjan cyborg melaporkan, “Leftenan Yofel, gegaran kuat dilaporkan di hangar, sebelah Barat stesen. Verwusten melaporkan atap hangar telah terbuka, mungkin musuh akan berlepas ke angkasa tidak lama lagi!”

“Ayuh cari mereka, Heil Maharaja!”

Insya-Allah bersambung dengan bahagian akhir dalam kadar yang segera sebelum Ramadhan 1433H, insya-Allah....


Friday, June 8, 2012

Lontaran Idea ke Coret Karya


Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, ahli keluarga Baginda, para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti mereka sehingga Hari Kiamat.

Baru-baru ini, ada seorang pembaca melontarkan satu soalan di blog ini. Sebelum itu, terima kasih sekalung budi atas komen positif tentang novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin. Pada mulanya saya ingin membalas secara komen sahaja. Akan tetapi menyedari jawapan tersebut memerlukan maklum balas yang khas, maka saya memberikan penghargaan kepada beliau dengan menjawab, paling tidak sebagai mukadimah dalam entri ini. Berikut adalah pertanyaan beliau dalam posting Laman Rasmi fb SAGA Galaksi Muhsinin:
                      

Assalammualaikum..saya telah mengkhatam buku galaksi muhsini..bagus ceritanya..jalan ceritanya amat menarik..saya juga ingin menghasilkan sebuah novel..saya mempunyai dua sinopsis cerita dalam simpanan saya..cuma saya tidak pandai menukarkan sesuatu gambaran situasi dalam bentuk ayat naratif..bolehkah saudara memberi sedikit tip untuk itu..


Jawapan saya:

Assalamualaikum w.b.t...

Terima kasih atas sokongan anda. Mungkin kita boleh berhubungan melalui fan page fb SAGA Galaksi Muhsinin.

Tahniah kerana anda mempunyai idea dan ingin berusaha menghasilkan karya anda. Teruskan usaha anda. Tentang persoalan yang diberikan, pada andaian saya, anda bertanyakan bagaimanakah untuk menterjemahkan gambaran idea tersebut dalam penceritaan (naratif)  dalam genre fiksyen sains. Maafkan saya jika tersilap.


Pertanyaan anda memerlukan penjelasan yang agak panjang. Fiksyen sains adalah aliran penulisan yang agak berbeza dengan aliran konvensional, kerana mempunyai ciri istimewa terdapatnya huraian sains dalam menjustifikasikan perkara yang berlaku dalam cerita tersebut.

Dunianya kadang-kala aneh, wataknya juga aneh, ceritanya lagi aneh. Meskipun begitu, fiksyen sains (dan fantasi) sifatnya amat dinamik. Jika seseorang penulis itu seorang yang kritikal dalam kritikannya dalam permasalahan sosial semasa, fiksyen sains menyediakan platform yang ampuh menyampaikan sesuatu mesej. Genre ini juga dapat menyelitkan suatu pandangan, fahaman atau ideologi sekalipun, biasanya tanpa kita sedari! Hal ini pernah saya sentuh dalam isu Membongkar Ideologi Filem Fiksyen Sains & Fantasi: Mukaddimah.

Baiklah, berbalik kepada persoalan tersebut, saya ada menyusun tatacara penulisan khususnya dalam fiksyen sains berdasarkan pengalaman dan penulis-penulis berjaya dalam genre ini. Insya-Allah saya usahakan sedikit demi sedikit. Cuma, elemen-elemen tersebut sudah diterapkan melalui posting blog Saifai Islami, kebanyakan dalam ruangan 'Tips Saifai'.


1. Menterjemahkan Idea


Saya juga pernah mengalami keadaan yang sama seperti anda. Antara cabaran yang dihadapi adalah persoalan bagaimanakah menterjemahkan gambaran idea dalam bentuk perkataan ataupun ayat-ayat naratif.

Tips untuk anda:

1.1 'Terjemahkan' sejauh mana idea dalam bentuk fizikal, supaya idea tidak hilang.  Anda boleh melakar idea tersebut atas kertas. Simpan elok-elok. Mungkin ada kegunaan pada kemudian hari, ilustrasi boleh diselitkan dalam buku, ataupun menyediakan gambaran idea pada kulit buku.

1.2 Ingat, idea sangat berharga! Idea ataupun ilham yang berkualiti kadang-kadang tiba dalam benak fikiran kita tanpa diduga. Lakarkan, ataupun catitkan segala yang penting dalam buku nota yang anda sering bawa. Tips untuk ini anda boleh tekuni di entri blog 'Tips Saifai: Halilintar Idea.'

1.3 Dalam menghasilkan novel Galaksi Muhsinin, saya tidak begitu mahir melakarkan konsep, terutamanya yang melibatkan manusia. Akan tetapi, saya usahakan juga mana yang mampu. Untuk kapal-kapal angkasa, robot, jentera, bangunan ataupun apa-apa idea tersebut tercantum berdasarkan konsep, ideologi dan doktrin dan digabungkan dengan pengetahuan melalui pembacaan digabungkan melalui blok-blok LEGO. Anda boleh baca pembikinan idea tersebut dalam entri blog 'Belakang Tabir: Khas Sempena Ulangtahun Pertama Galaksi Muhsinin.'



2. Ikuti Contoh yang Baik


Saya teringat akan kata-kata Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam buku Tips Menjadi Penulis Best Seller oleh Tuan Zamri Mohamad, beliau mengatakan yang kira-kira bermaksud:

'Jika mahu menghasilkan karya yang baik, bacalah karya yang baik'

Satu kesepakatan di kalangan penulis-penulis berjaya adalah mereka menyarankan banyak membaca karya-karya yang baik. Mengapa? Saya berpendapat, membaca karya yang baik akan membuka ruang mencambah idea bagaimanakah sesuatu idea tersebut diperoleh, diolah dan disusun dengan gaya bahasa yang indah sekali. Melalui karya yang baik, kita dapat mengamati sudut-sudut penceritaan yang sangat menarik, asli dan 'evergreen.'

Tips untuk anda:


2.1 Genre fiksyen sains melalui sejarah yang panjang. Pelbagai era dan zaman ditempuh melahirkan karya yang berbeza-beza kualiti dan penerimaan di kalangan masyarakat. Antara penulis fiksyen sains diiktiraf berjaya yang boleh kita tekuni karya mereka adalah seperti Isaac Asimov (I, Robot), Frank Herbert (DUNE), J. R. R. Tolkien (Lord of the Rings), Ben Bova (lebih 100 karya) dan Orson Scott Card (Ender's Game).

2.2 Namun begitu, pada pandangan saya konteks 'fiksyen sains diikiraf berjaya' yang saya sebutkan tadi adalah dari segi idea pengolahan watak, latar dan teknologi yang dikaitkan sahaja. Kadang-kadang penangan ideologi mereka bertentangan dengan norma fitrah agama, naluri serta sensitiviti etika kemanusiaan haruslah disaring.

2.3 Laburkan masa dan wang untuk anda menelaah tips daripada penulis tersebut, sama ada melalui buku panduan menulis ataupun di laman web. Sebagai contoh Orson Scott Card dan Ben Bova ada menulis buku-buku panduan mereka yang menyajikan konsep dan praktikal penulisan fiksyen sains:

Kiri: "How to Write Science Fiction & Fantasy"

Orson Scott Card merupakan perangkul dua anugerah tertinggi fiksyen sains iaitu Anugerah Hugo dan Nebula melalui karya beliau Ender's Game. Laman web beliau boleh dilayari di pautan http://www.hatrack.com/. Beliau berkongsi pengalaman dan ilmu penulisan fiksyen sains di laman Uncle Orson's Writing Class.

Kanan: "The Craft of Writing Scienc Fiction That Sells"

Manakala Ben Nova merupakan penulis yang menulis lebih daripada 100 judul novel futuristik. Beliau merupakan mantan editor majalah Omni dan Analog. Beliau merupakan pemenang anugerah enam kali Anugerah Nebula untuk Editor Profesional Terbaik dalam majalah Analog. Laman sawang beliau boleh didapati di pautan www.benbova.net.









3. Membiasakan Diri dengan Ayat Sains

Biasakan diri anda membaca karya sains (yang berbahasa teknikal / huraian saintifik). Dengan ini, anda dapat menambah istilah dan membentuk 'lenggok' bahasa saintifik anda. Mungkin agak jarang didapati bahan bacaan begini, kerana di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi lebih mengutamakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu. Akan tetapi, pengajaran dan pembelajaran sekolah sudahpun berayun semula kepada bahasa asal, iaitu Bahasa Melayu.


Karya fiksyen sains masih janggal dalam pembacaan masyarakat tempatan. Berbeza dengan masyarakat Barat, genre ini sudah mendarah daging dalam kehidupan mereka, tidak keterlaluan sudah tertanam sejak abad ke-19, ketika Revolusi Perindustrian rancak sekali. Pada zaman tersebut, muncul penulis-penulis fiksyen sains seperti Jules Verne dan H. G. Wells yang menganjakkan karya tersebut. Sehingga kini, genre ini agak dominan di Barat.

Pernah suatu ketika dahulu, karya fiksyen sains mendapat perhatian yang baik di kalangan masyarakat dengan banyaknya novel diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun khabarnya dihentikan dan sejak itu fiksyen sains dalam keadaan yang mundur. Meskipun begitu, saya sempat mendapatkan sejumlah naskhah novel-novel fiksyen sains tempatan, tetapi belum sempat mengamati dengan mendalam.

Tips untuk anda:

3.1 Anda boleh menelaah karya-karya mutakhir fiksyen sains melalui ruangan genre tersebut dalam Majalah Kosmik yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka secara bulanan. Banyak di antara cerpen tersebut berkualiti dan memiliki idea yang unik dan tersendiri.

3.2 Saya yakin, buku-buku rujukan universiti seperti terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) boleh dipinjam daripada perpustakaan terdekat. Anda juga boleh memuat turun artikel-artikel jurnal saintifik terbitan universiti tersebut.

4. Penterjemahan Istilah


Kebanyakan rujukan saintifik adalah dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan anda mahu menulis dalam Bahasa Melayu.

Tips untuk anda:

Biasakan diri menterjemahkan istilah tersebut daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Sebagai permulaan - ya, memang banyak kerjanya! Ingatlah, kerja yang memerlukan kesungguhan dan kesabaran akan terbayar dengan kemanisan nanti!


5. Alah Bisa Tegal Biasa!


Latihkan diri menulis. Permulaan memang agak sukar. Anda akan selalu merujuk kamus ataupun kamus istilah. Terkadang bunyinya pelik, kembalilah merujuk kepada tulisan saintifik buku rujukan ataupun jurnal tentang penggunaannya dalam Bahasa Melayu. Jika lupa apakah maksud istilah tersebut dalam Bahasa

Inggeris, tulis dahulu di buku nota anda. Apabila ada kelapangan, carilah terjemahan istilah tersebut.

Latih, berlatih dan berlatih, insya-Allah berhasil kelak!


Terima kasih buat diri yang bertanya!

Wassalam...