Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, January 18, 2017

EJEN ALI: ANIMASI CEMERLANG TEMPATAN


Segala puji bagi Allah Tuhan Sekalian Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Nabi Muhammad , ahli keluarganya (Ahli Bait) dan para Sahabat Baginda. Semoga Allah melimpahi rahmat atas ulama yang Haq (Benar) dan orang-orang yang meniti jalan Baginda sehingga Hari Kiamat.

EJEN ALI

Sejak awal-awal disiarkan pada 2016, siri animasi fiksyen sains, aksi dan penyiasatan terkini Malaysia, Ejen Ali begitu mengujakan, termasuk diri saya dan anak-anak. Ejen Ali yang dihasilkan bermutu tinggi  baik dari segi seni grafik, jalan cerita, perwatakan, keaslian dan ciri kehidupan masyarakat Malaysia. Meskipun masih Musim Pertama dan belum sampai setahun, Ejen Ali dirasakan boleh berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan Boboiboy yang sudah menjengah Musim Boboiboy Galaxy (mereka kanak-kanak yang dah naik remaja).

Ejen Ali merupakan watak utama sebuah agensi keselamatan negara, iaitu M.A.T.A. Agensi ini merupakan agensi rahsia yang menjalankan tugas sulit mengekalkan keselamatan. Ejen dalam M.A.T.A terbahagi kepada beberapa kategori. Mereka dilengkapi dengan peralatan tercanggih dan disiapkan dengan tahap latihan kemahiran perisikan tertinggi. Ejen Ali merupakan ejen yang secara ‘tidak sengaja’ termasuk dalam organisasi ini. Beliau dilengkapi dengan satu gajet yang bersaiz buah dam yang digelar IRIS. IRIS ini secara tidak sengaja diaktifkan oleh Ali dan akhirnya disinkronisasikan dengan badan beliau. Lantas, melalui IRIS terpancarlah gajet seperti gogal dan sut ejen yang canggih. Pendek kata, hanya beliau yang boleh mengaktifkan dan menggunakan IRIS.

Sejak episod pertama, Ejen Ali menempuh pelbagai pengalaman yang semakin mendewasakannya. M.A.TA menghadapi ancaman yang getir kerana ada organisasi durjana yang selangkah lebih ke hadapan dalam memusnahkannya.

EPISOD 12: UNO


Penulis dan anak-anak merupakan peminat setia Ejen Ali. Anak-anak suka akan telatah dan kelucuan Ejen Ali. Tetapi saya pula suka untuk mengkaji elemen fiksyen sains dan imbangan nilai yang ada dalamnya. Meskipun begitu, oleh sebab selalu balik lewat kerja ataupun adanya aktiviti hujung minggu, saya terlepas beberapa episod. Syukur juga pada minggu lepas sempat menonton bersama anak-anak dalam EPISOD 12: UNO.

Sungguhpun sudah berada di episod ke-12, satu kelebihan dalam hampir setiap episod Ejen Ali adalah mempunyai jalan cerita imbas kembali. Ini membolehkan penonton seperti saya yang terlepas beberapa episod penting dapat menggarap apakah perkaitan jalan cerita episod itu dengan episod lalu. 

Bahagian ini mengandungi spoiler bagi sesiapa yang belum menonton episod ini. Tentu sudah kan...

Episod ini mula merungkaikan siapakah dalang yang menentang M.A.T.A selama ini yang dikenal sebagai UNO. Dalam kekalutan markas M.A.T.A digempur oleh pasukan UNO, Ejen Rizwan menghadapinya seorang dan Ejen Ali serta Ejen Jenny berlindung di dalam bilik kebal. Segala pertahanan automatik M.A.T.A termasuk robot penggempur berjalan ditembusi dengan mudah. Akhirnya bertemulah Ejen Rizwan dengan UNO, yang kesudahannya dalam pertarungan itu helmet UNO berkecai – rupanya guru beliau yang bernama Jinn dalam Ketua Teras INVISO (wujud sebelum M.A.T.A).


Di sini, imbas kembali muncul dalam kenangan Ejen Rizwan yang menyangka gurunya itu telah terkorban demi melaksanakan Protokol GEGAS. Protokol itu memaksa pengorbanan ejen demi menyelamatkan ejen yang lain. Kisahnya adalah, Jinn merupakan lagenda yang telah mengorbankan dirinya untuk keselamatan Cyberaya. Namun demikian, dalam dialog Jinn dengan Ejen Rizwan, kisah yang didengarinya itu konon hanyalah mitos yang digembar-gemburkan oleh orang yang dianggap telah mengkhianatinya.


Jalan cerita menuju puncaknya apabila adanya ‘orang dalam’ dalam M.A.T.A, iaitu Ejen Jenny yang selama ini menjejaskan operasi M.A.T.A dan membekalkan maklumat kepada perisik musuh. Ejen Ali jelas menjadi sasaran kerana IRISnya telahpun tumbang kerana pengkhianatan itu dan ishhhh... episod pun habis! Haha... terpaksalah tunggu lagi!

UNO DAN HERO ANARKIS


UNO atau Jinn mengingatkan penulis akan konsep ‘Hero Anarkis’ yang pernah dibicarakan dalam blog ini suatu ketika dahulu. Hero Anarkis disifatkan sebagai seorang watak protagonis yang dahulunya berperwatakan baik, tetapi atas sebab-sebab tertentu seperti tertipu dengan diri sendiri, beliau pula yang terjerumus kepada kejahatan (antagonis). Inilah yang berlaku kepada UNO yang sebab atau motifnya menentang M.A.T.A mungkin bukan hanya semata-mata membalas dendam atas pengkhianatan mereka. Punca berlaku itu belum sepenuhnya diteroka dalam siri Ejen Ali.                          

Namun begitu, konsep Hero Anarkis ini menyediakan cabaran yang baik dalam jalan cerita fiksyen sains ataupun fantasi yang dibincangkan sebelum ini. Hero Anarkis melakukan kejahatan yang lebih berbahaya kerana ia tahu setiap selok-belok pihak protagonis dan menyerangnya dengan sangkaan, dugaan dan adakala fitnah. Tentunya episod yang akan datang ini lebih mencabar minda peminat apakah yang dasarnya berlaku sebenarnya.

Penulis mengambil sumber konsep Hero Anarkis ini akan kisah Iblis yang merupakan seorang hamba Allah daripada bangsa jin yang amat taat. Disebutkan bahawa tidak ada tempat di langit dan bumi yang tidak ada dia sujud kepada Tuhan di sana. Lantaran itu, Iblis ditempatkan dengan darjat yang istimewa bersama para malaikat. Namun begitu, ketika Allah, Tuhan
yang Maha Esa memerintahkan Iblis sujud (hormat, bukan sembah) kepada manusia Nabi Adam a.s, ia membangkang kerana merasakan lebih baik. Oleh itu, ia dilaknat dan diusir. Tetapi ia bersumpah kepada Tuhan untuk menyesatkan anak-anak keturunan Nabi Adam (kita manusia) sehinggalah Hari Kiamat kelak. Permintaannya dipanjangkan usia sehingga Hari Pembalasan ditunaikan, dan sehingga hari ini ia dan tenteranya tidak akan jemu menarik kita ke jalan neraka.



EJEN ALI DAN PENGARUH IDEA LUAR

Adalah normal sesuatu karya dipengaruhi oleh idea karya-karya yang lain. Melalui idea ini berlaku sintesis (percantuman atau melahirkan konsep baru) atau diadaptasi dalam karya. Sebagai contoh, karya yang besar seperti saga STARWARS dipengaruhi oleh Flash Gordon, The Seven Samurai. Terdapat beberapa pengaruh dalam Ejen Ali yang dikesan (mungkin ada lagi):

1.    Sinkronisasi IRIS

Sinkronisasi gajet kepada pengguna adalah kelaziman pada era ini. Bahkan gajet atau telefon pintar kita sendiri pun terdapat proses sinkronisasi atau keserasian gajet. Sinkronisasi IRIS dalam Ejen Ali menjadikan Ali sebagai pengguna tunggal yang dapat mengaktifkan dan menggunakan IRIS. Umpama kunci, hanya kunci khusus dapat digunakan untuk membuka pintu.

Tetapi IRIS merupakan kekunci yang lebih kompleks, umpama seorang watak budak Banagher Links dengan robot tempur gergasi Gundam Unicorn dalam siri animasi Gundam Unicorn. Oleh sebab hanya Banagher Links sudah disinkronisasi dengan robot itu, ia menjadi buruan pihak Neo-Zeon dan Persekutuan Bumi (Earth Federation). Robot itu amat berharga kerana dianggap merupakan kunci kepada ‘Kotak Laplace’ yang akan merungkaikan konflik antara dua pihak itu yang sudah memakan masa beberapa dekad. Seumpama itu juga Ejen Ali. Dirinya diburu kerana nilai IRIS yang dianggap terlalu berharga.

2.    Dwibilah Dos

Keupayaan tempur watak antagonis Dos ditingkat upaya dengan penggunaan bilah cahaya. Bilah itu digunakan oleh kedua-dua tangannya. Serupa dengan watak perajurit bangsa Protoss dalam saga Starcraft, iaitu Zealot.




3.    Uno & Ultron

Apabila Uno muncul pertama kali dalam Ejen Ali, perkara pertama yang penulis kaitkan adalah watak antagonis Ultron dalam filem Marvel iaitu Avengers: Age of Ultron (bawah).



Sekian sahaja ulasan untuk Ejen Ali kali ini. Diharapkan WAU Animation meneruskan kecemerlangan menghasilkan karya yang bermutu tingg. Harap tidak akan terlepas lagi episod yang akan datang!

Bertindak segera!


Assalamualaikum....


Sumber:
1. Facebook rasmi Ejen Ali : https://www.facebook.com/ejenali/
3. Gambar daripada internet