Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, February 25, 2015

Misi Skuadron at-Tayyar


                        

 Altitud 1,000 km
‘Planet Rumah’,
Sistem Suria,
Galaksi Bima Sakti

Sebuah planet biru meredah orbitnya mengelilingi sebuah bintang yang panas membakar, 150 juta kilometer jauhnya. Seakan-akan kesunyian hanya ditemani oleh sebuah bulan yang setia berdamping dengannya, bebola biru itu tetap bergerak pantas. Ketiga-tiga jasad itu tetap tunduk kepada aturan yang Maha Kuasa. Aturan Tuhan yang Maha Esa.

Tiba-tiba disinari oleh coret-coret putih seperti memecah kesunyian itu. Namun coret itu tidaklah dapat menandingi cahaya suria yang gemilang. Kemudian coret-coret itu menyilau, lalu satu letupan yang dahsyat menjelma. Kemudian coret-coret itu hilang serta merta.

“Kruis Asadullah Raja Haji Fi Sabilillah al-Ghazi, altitud 1,000 kilometer dari permukaan. Formasi bergerak di latitud 24 darjah. Generator halimunan diaktifkan. Skuadron At-Tayyar melaporkan.”

Formasi berempat pejuang angkasa Ababil baru sahaja keluar daripada terowong anjakan relativiti mereka. Pejuang Ababil merupakan pesawat angkasa yang pengunggul pertempuran milik Galaksi Muhsinin. Pejuang yang lincah dan berkuasa tinggi ini menjadi tulang belakang pertahanan sewaktu Perang Galaksi Muhsinin 2205. Dilengkapi dengan generator terowong anjakan relativiti, pejuang angkasa ini mempunyai jarak operasi yang sangat jauh.

                          

“Baiklah skuadron At-Tayyar. Anda hanya ada tiga minit sahaja. Kembali ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35. Boleh jadi armada atau peronda Kesatuan Antarabangsa Bumi berada di mana-mana. Proba mereka tentut aktif. Saya tidak mahu operasi dan Terowong Rahsia kita dalam bahaya.” Kelihatan hologram tiga dimensi seseorang di hadapan kokpit Ababil.

“Ini adalah permintaan Khalifah Zulqarnain dan rakyat Galaksi Muhsinin. Mereka amat rindu untuk mengetahui perkhabaran keadaan Kota Makkah dan Madinah. Saya mahu kamu berhati-hati.”

“Baiklah Laksamana.” Transmisi berakhir. Matahari akan terbit tidak lebih 10 minit sahaja lagi. Di belahan bumi ini masih lagi malam.

“Skuadron At-Tayyar, teruskan mengimbas dengan radar kosmik. Kita di wilayah Zion. Sebarang kecuaian akan membahayakan tugas kita.” Arah Kapten Uwais.

Kapten itu mengoleng Ababil agar selari dengan latitud bumi 24 darjah. Ababil berpusing daripada keadaan terbalik ketika ketibaan skuadron itu daripada terowong anjakan relativiti. Seluruh skuadron bergerak selari dengan latitud. Ditolehnya ke sebelah kiri, sebuah planet yang dianggap ‘planet rumah’ di Galaksi Muhsinin. Planet asal manusia. Dan juga planet Penghulu Segala Manusia, Dunia dan Akhirat, iaitu Sayyiduna Rasululah .

Kapten Uwais merasakan tangannya sedang menggeletar. Badannya juga turut merasakan getaran. Entah mengapa tiada penjelasan saintifik tentang hal itu. Tiada penderia yang memberi amaran tentng tahap kesihatannya. Semuanya normal.


-Ujarnya lagi, “Hud-Hud At-Tayyar, menjunam sekarang.” Sayup kedengaran di interkom radio Ababil masing-masing.

Salah satu daripada skuadron itu adalah daripada pesawat peninjau Hud-Hud. Peninjau tersebut mempunyai pelbagai sistem penderia, sistem pengimbas dan tindak balas elektronik yang sofistikated. Seakan-akan menjadi mata dan telinga buat helang seperti Ababil. “Kapten, imbasan radar kosmik menunjukkan 50 buah satelit Zion sedang mengorbit bumi. Skuadron pemintas mereka masih belum aktif di pangkalan Qamar.” Lapor juruterbang Hud-Hud At-Tayyar.

“Sudah lama tidak berziarah, Kapten Uwais.” Tiada balasan suara radio.

“Kapten?”

Mereka seolah-olah faham akan perangai ketua itu. Memang aneh seorang perwira yang telah berjuang habis-habisan dengan ‘kuda perangnya’ menghadapi maut mempertaruhkan nyawanya buat sebuah umat, menangis seperti anak-anak kecil. Apabila melalui latitud 24 darjah, pasti kedengaran esakan-esakan halus tangisan. Beliau memilih untuk melintasi Kota Madinah al-Munawarah dahulu baru kemudian kota Makkah al-Mukarramah.

                         

Menghampiri longitud 32 darjah, kedengaran dari kokpit Ababil Kapten Uwais, “Kapten, Hud-Hud At-Tayyar menjunam ke aras 500 kilometer dari Bumi. Hud-Hud akan merakam gambar tenungan teleskop. Kini mengaktifkan penderia pendakap bumi. Nantikan transmisi dalam 5... 4... 3... 2...”

“Skuadron berada di koordinat 24.4667° Utara, 39.6000° Timur. Kota Madinah al-Munawwarah. Transmisi bermula. Data direkodkan,” terpampanglah imej hologram di seluruh skuadron.


Kedengaran esakan itu bertambah kuat, “Ya Rasulullah , aku datang kepadamu! Jadikanlah aku ya Allah, rindu kepadamu seperti Sayyidina Jaafar bin Abi Talib[1]! Jadikanlah aku sepertinya, yang merinduimu walaupun berada di dalam syurga![2] Jadilah aku sepertinya yang diberikan sayap menggantikan kedua-dua tangannya dalam Perang Mu'tah![3] Ya Allah, izinkanlah aku untuk menziarahi Rasulullah pada masa akan datang! Izinkanlah kami dari Galaksi Muhsinin membebaskan bumi daripada tangan-tangan yang jahat!


Seluruh skuadron At-Tayyar senyap. Hanya tangisan kedengaran. Visor helmet Kapten Uwais menjadi basah kerana titisan air mata yang terapung-apung dalam helmetnya kerana graviti sifar. Tentunya ahli skuadron yang lain juga begitu.

“Kapten Uwais, kini sedang menghantar transmisi visual untuk skuadron tentang kota Makkah. Hud-Hud akan kembali ke formasi.” Juruterbang itu menyambung lagi, “Segala visual telah direkodkan. Moga Allah memelihara rekod ini untuk tatapan rakyat kita. Moga menjadi peniup semangat perjuangan mereka melebarkan misi Rahmatan lil Alamin.

“Ya, Rahmat buat seluruh Alam,” balas juruterbang Ababil At-Tayyar Tiga.

Kedengaran seuntai ungkapan syair lantaran buat Nabi Muhammad :

“Bagindalah matahari keutamaan dan para Rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan matahari,

Alangkah mulianya diri Nabi yang dihiasi akhlak terpuji. Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya. Senyuman manis selalu tidak lekang daripada bibirnya.”[4]

 “Skuadron At-Tayyar, bersedia untuk melonjak ke Terowong Anjakan Rahsia al-Qassam Rh-35.”

                         

Beberapa paparan menunjukkan laluan trajektori skuadron itu kembali ke kapal kruis Asadullah mereka yang bergabung bersama Flotila Ekspidisi Khas Bima Sakti di lokasi rahsia.

Coret-coret putih kelihatan di sisi skuadron. Letupan dahsyat menerbitkan sinar cahaya gemilang membawa cahaya buat hati-hati perindu di Galaksi Mushinin...



[1] Sayyidina Jaafar bin Abi Talib adalah sepupu Nabi Muhammad ﷺ, adik beradik kepada Sayyidina Ali bin Abi Talib. Beliau merupakan jurucakap kepada kaum Muslimin kepada Raja an-Najasyi di negeri Habsyah. Beliau digelar sebagai Zuljanahain (pemilik dua kepak) ataupun at-Tayyar (burung) kerana syahid di Perang Mu'tah. Dalam peperangan itu, Sayyidina Jaafar telah kehilangan dua tangannya. Menurut riwayat, Nabi Muhammad ﷺ mengatakan bahawa tangan beliau telah digantikan dengan sayap dan berterbangan di syurga.

[2] Cerita ini saya telah dengar dalam Khutbah Gerhana yang diadakan pada 1 Januari 2010 di Masjid Darul Ehsan Taman TAR Ampang yang disampaikan oleh al-Musnid Syeikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki as-Sanusi. Beliau mengisahkan cerita yang menyentuh hati ini. 

Kisahnya adalah ketika Rasulullah ﷺ berkhutbah, maka Nabi Muhammad ﷺ telah melihat Sayyidina Jaafar bin Abi Talib mendatanginya, sedangkan beliau telah meninggal dan syahid. Sayyidina Jaafar bin Abi Talib turun dari syurga (dengan izin Allah) kerana terlalu rindukan Rasulullah ﷺ. Beliau merasakan bahawa tiada makna syurga itu kosong dan tidak gembira dengan ketiadaan Baginda ﷺ. Kisah tersebut ada dicatit (kalau tidak silap dalam majlis lain) di pautan ini


[3] Perang Mu'tah berlaku pada tahun kelapan Hijrah. Perang ini berlaku ekoran delegasi Rasulullah ﷺ, iaitu Harith bin Umair al-Azdi telah dibunuh oleh Raja Ghassan, iaitu Syurahbil bin Amru al-Ghassani. Raja tersebut merupakan wakil penguasa kepada Kerajaan Rom Byzantine. 

Nabi Muhammad ﷺ telah menghantar 3,000 orang Sahabat sebagai tindak balas yang kejam itu. Kerajaan Ghassan menghantar 100,000 tentera, manakala Raja Kaisar Heraklius menghantar 100,000 askar Rom sebagai tambahan. Melihat situasi getir itu, para Sahabat memutuskan bahawa mereka akan tetap berdepan dengan musuh. Dr. Muhammad Sa'id Ramadhan al-Buthiy dalam Sirah Nabawiyah beliau mengatakan bahawa tentera Muslimin menghadapi tentera Rom bagaikan sebuah parit kecil melawan badai ombak yang besar. Dua pasukan ini bertemu di Mu'tah (kini Jordan).

Kerana kecamuknya perang itu, tiga komander kaum Muslimin, iaitu Zaid bin Harithah, Jaafar bin Abi Talib dan Abdullah bin Rawahah telah gugur. Tiba masa yang genting itu, tentera Muslimin telah bersepakat memilih Khalid bin al-Walid mengepalai ketumbukan tentera Nabi Muhammad ﷺ. Akhirnya, dengan kelicikan taktikal Khalid al-Walid telah mengakibatkan tentera Rom kucar-kacir dan berjaya menyelamatkan tentera Muslimin. Melalui perang tersebut, Khalid bin al-Walid telah mendapat jolokan 'Saifullah' (Pedang Allah).

Rujukan: 
1. Syeikh Syed Abu Hassan ali al-Hasani an-Nadwi, Bey Arifin dan Yunus Ali Mudhar (pent.), (2006). Riwayat hidup Rasulullah ﷺ. Pustaka Nasional Pte. Ltd.: Singapura.

2. Syeikh Dr. Muhamad Sa'id Ramadhan al-Buthiy, (2001). Sirah nabawiyah: Kajian mendalam manhaj gerakan islam pada masa Rasulullah . Pustaka Dini: Shah Alam.

3. Mahmood Ahmad Ghadanfar, Jamila Muhammad Qawi (pent.), (2001). Commanders of the muslim army (Among the companions of the Prophet ﷺ). Darussalam Publishers & Distributors: Riyadh, Arab Saudi.


[4] Imam al-Busiri, Ahmad Lutfi bin Abdul Wahab al-Linggi (pent.), (2009). Qosidah burdah: Puji-pujian untuk Rasulullah . Mawleed Publishing: Selangor.