Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Wednesday, October 24, 2012

Lintasan Idea...


Segala puji bagi Allah Tuhan Semesta Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad s.a.w.

Idea merupakan anugerah yang sangat berharga bagi seseorang penulis. Idea merupakan lintasan-lintasan fikiran. Idea bagaikan halilintar, seperti dalam entri terdahulu. Idea juga bagaikan sungai. Ada pasang, ada surutnya. Kadang-kadang sungai mengalir dengan deras. Kadang-kadang pula sungai menjadi kering dek ketandusan air mengalir.

Jika dalam entri Halilintar Idea saya berbicara hal membina idea, maka entri kali ini akan memperkatakan sebelum proses membina idea. 

Saya terkenangkan akan perbualan saya dengan seorang jurutera, dalam satu majlis tahlil arwah di rumah saudara. Beliau merupakan seorang yang suka mendalami bagaimanakah cara manusia berfikir. Dalam perbincangan kami yang panjang lebar, saya tertarik tentang kenyataan beliau. Beliau mengatakan bahawa dalam sehari, terdapat 6,000 lintasan idea dalam fikiran manusia. Misalan, ketika seseorang membuat kerja rumah seperti mencuci pakaian, pasti ada terlintas apa-apa kenangan, angan-angan, idea dan sebagainya.


Buku nota kecil untuk karya khusus.
Pengalaman sebagai penulis, lintasan idea yang berguna untuk penulisan amat banyak. Cuma kadang-kadang bermusim, ada pasang-surutnya. Dalam bahagian akhir entri Halilintar Idea, saya mencadangkan agar individu yang berminat dan sudah berkecimpung dalam penulisan amat digalakkan membawa bekal buku nota kecil untuk catatan idea anda.

Ini kerana, idea ini seringkali muncul dalam dua keadaan. Keadaan pertama adalah, idea tersebut terlintas dalam keadaan tersusun mengikut kronologi, seperti anda memikirkan plot ataupun jalan cerita. Keadaan kedua adalah, idea anda muncul secara berasingan tanpa susunan tertentu. 

Kedua-dua bentuk idea ini amat berharga. Jika kita mengabaikan keadaan idea kedua kerana   kadangkala tidak relevan ataupun agak terkeluar daripada jalan cerita yang kita rangka, jangan abaikan. Ini kerana, idea sedemikian mungkin berharga pada masa yang lain. Jika bukan berkenaan dengan karya terkini, mungkin berkait pula dengan karya-karya anda yang lain. 

Peringatan tambahan berkenaan lintasan idea:


1. Jika sungai idea anda selalu kekeringan ataupun surut, maka sedikit usaha perlu dilakukan. Antaranya adalah melakukan pembacaan mengikut fokus yang ingin kita tumpukan. Sedikit sebanyak, lintasan idea itu akan bercambah-cambah bak cendawan tumbuh selepas hujan, dengan izin Allah, insya-Allah. 
                                            

Ingin berkongsi pengalaman, saya mempunyai kitaran tertentu dalam lintasan idea kemudian kepada penjanaan idea. Jika sesuatu idea sudah terhenti ataupun buntu, maka tandanya saya perlu menambahkan bacaan. Analoginya seperti anda menggunakan air daripada tangki. Jika sudah banyak air digunakan, maka sudah tentunya paras idea itu semakin kering. Maka, membaca itu umpama menambahkan lagi paras idea supaya boleh dikeluarkan daripada fikiran kepada buku nota.

                                          

2. Kalau anda terperasan, mungkin idea yang sangat bernas akan timbul pada sesetengah waktu yang berkala dalam seharian. Sebagai contoh, ketika kita memandu, ketika itulah idea mencurah-curah, bak hujan turun dengan lebatnya. Menurut pengalaman saya, idea selalunya timbul ketika lewat petang. Mungkin juga daripada pembacaan (dalam kesempatan waktu yang ada dalam sehari) ataupun himpunan daripada pengalaman-pengalaman seharian akan terlintas idea-idea yang baru.

Ketika ada masa lapang, jangan lepaskan peluang untuk 'menangkap' lintasan-lintasan idea anda!

Wassalam.