Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Friday, June 8, 2012

Lontaran Idea ke Coret Karya


Assalamualaikum. Segala puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam atas Junjungan Mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, ahli keluarga Baginda, para sahabatnya serta orang-orang yang mengikuti mereka sehingga Hari Kiamat.

Baru-baru ini, ada seorang pembaca melontarkan satu soalan di blog ini. Sebelum itu, terima kasih sekalung budi atas komen positif tentang novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin. Pada mulanya saya ingin membalas secara komen sahaja. Akan tetapi menyedari jawapan tersebut memerlukan maklum balas yang khas, maka saya memberikan penghargaan kepada beliau dengan menjawab, paling tidak sebagai mukadimah dalam entri ini. Berikut adalah pertanyaan beliau dalam posting Laman Rasmi fb SAGA Galaksi Muhsinin:
                      

Assalammualaikum..saya telah mengkhatam buku galaksi muhsini..bagus ceritanya..jalan ceritanya amat menarik..saya juga ingin menghasilkan sebuah novel..saya mempunyai dua sinopsis cerita dalam simpanan saya..cuma saya tidak pandai menukarkan sesuatu gambaran situasi dalam bentuk ayat naratif..bolehkah saudara memberi sedikit tip untuk itu..


Jawapan saya:

Assalamualaikum w.b.t...

Terima kasih atas sokongan anda. Mungkin kita boleh berhubungan melalui fan page fb SAGA Galaksi Muhsinin.

Tahniah kerana anda mempunyai idea dan ingin berusaha menghasilkan karya anda. Teruskan usaha anda. Tentang persoalan yang diberikan, pada andaian saya, anda bertanyakan bagaimanakah untuk menterjemahkan gambaran idea tersebut dalam penceritaan (naratif)  dalam genre fiksyen sains. Maafkan saya jika tersilap.


Pertanyaan anda memerlukan penjelasan yang agak panjang. Fiksyen sains adalah aliran penulisan yang agak berbeza dengan aliran konvensional, kerana mempunyai ciri istimewa terdapatnya huraian sains dalam menjustifikasikan perkara yang berlaku dalam cerita tersebut.

Dunianya kadang-kala aneh, wataknya juga aneh, ceritanya lagi aneh. Meskipun begitu, fiksyen sains (dan fantasi) sifatnya amat dinamik. Jika seseorang penulis itu seorang yang kritikal dalam kritikannya dalam permasalahan sosial semasa, fiksyen sains menyediakan platform yang ampuh menyampaikan sesuatu mesej. Genre ini juga dapat menyelitkan suatu pandangan, fahaman atau ideologi sekalipun, biasanya tanpa kita sedari! Hal ini pernah saya sentuh dalam isu Membongkar Ideologi Filem Fiksyen Sains & Fantasi: Mukaddimah.

Baiklah, berbalik kepada persoalan tersebut, saya ada menyusun tatacara penulisan khususnya dalam fiksyen sains berdasarkan pengalaman dan penulis-penulis berjaya dalam genre ini. Insya-Allah saya usahakan sedikit demi sedikit. Cuma, elemen-elemen tersebut sudah diterapkan melalui posting blog Saifai Islami, kebanyakan dalam ruangan 'Tips Saifai'.


1. Menterjemahkan Idea


Saya juga pernah mengalami keadaan yang sama seperti anda. Antara cabaran yang dihadapi adalah persoalan bagaimanakah menterjemahkan gambaran idea dalam bentuk perkataan ataupun ayat-ayat naratif.

Tips untuk anda:

1.1 'Terjemahkan' sejauh mana idea dalam bentuk fizikal, supaya idea tidak hilang.  Anda boleh melakar idea tersebut atas kertas. Simpan elok-elok. Mungkin ada kegunaan pada kemudian hari, ilustrasi boleh diselitkan dalam buku, ataupun menyediakan gambaran idea pada kulit buku.

1.2 Ingat, idea sangat berharga! Idea ataupun ilham yang berkualiti kadang-kadang tiba dalam benak fikiran kita tanpa diduga. Lakarkan, ataupun catitkan segala yang penting dalam buku nota yang anda sering bawa. Tips untuk ini anda boleh tekuni di entri blog 'Tips Saifai: Halilintar Idea.'

1.3 Dalam menghasilkan novel Galaksi Muhsinin, saya tidak begitu mahir melakarkan konsep, terutamanya yang melibatkan manusia. Akan tetapi, saya usahakan juga mana yang mampu. Untuk kapal-kapal angkasa, robot, jentera, bangunan ataupun apa-apa idea tersebut tercantum berdasarkan konsep, ideologi dan doktrin dan digabungkan dengan pengetahuan melalui pembacaan digabungkan melalui blok-blok LEGO. Anda boleh baca pembikinan idea tersebut dalam entri blog 'Belakang Tabir: Khas Sempena Ulangtahun Pertama Galaksi Muhsinin.'



2. Ikuti Contoh yang Baik


Saya teringat akan kata-kata Sasterawan Negara, A. Samad Said dalam buku Tips Menjadi Penulis Best Seller oleh Tuan Zamri Mohamad, beliau mengatakan yang kira-kira bermaksud:

'Jika mahu menghasilkan karya yang baik, bacalah karya yang baik'

Satu kesepakatan di kalangan penulis-penulis berjaya adalah mereka menyarankan banyak membaca karya-karya yang baik. Mengapa? Saya berpendapat, membaca karya yang baik akan membuka ruang mencambah idea bagaimanakah sesuatu idea tersebut diperoleh, diolah dan disusun dengan gaya bahasa yang indah sekali. Melalui karya yang baik, kita dapat mengamati sudut-sudut penceritaan yang sangat menarik, asli dan 'evergreen.'

Tips untuk anda:


2.1 Genre fiksyen sains melalui sejarah yang panjang. Pelbagai era dan zaman ditempuh melahirkan karya yang berbeza-beza kualiti dan penerimaan di kalangan masyarakat. Antara penulis fiksyen sains diiktiraf berjaya yang boleh kita tekuni karya mereka adalah seperti Isaac Asimov (I, Robot), Frank Herbert (DUNE), J. R. R. Tolkien (Lord of the Rings), Ben Bova (lebih 100 karya) dan Orson Scott Card (Ender's Game).

2.2 Namun begitu, pada pandangan saya konteks 'fiksyen sains diikiraf berjaya' yang saya sebutkan tadi adalah dari segi idea pengolahan watak, latar dan teknologi yang dikaitkan sahaja. Kadang-kadang penangan ideologi mereka bertentangan dengan norma fitrah agama, naluri serta sensitiviti etika kemanusiaan haruslah disaring.

2.3 Laburkan masa dan wang untuk anda menelaah tips daripada penulis tersebut, sama ada melalui buku panduan menulis ataupun di laman web. Sebagai contoh Orson Scott Card dan Ben Bova ada menulis buku-buku panduan mereka yang menyajikan konsep dan praktikal penulisan fiksyen sains:

Kiri: "How to Write Science Fiction & Fantasy"

Orson Scott Card merupakan perangkul dua anugerah tertinggi fiksyen sains iaitu Anugerah Hugo dan Nebula melalui karya beliau Ender's Game. Laman web beliau boleh dilayari di pautan http://www.hatrack.com/. Beliau berkongsi pengalaman dan ilmu penulisan fiksyen sains di laman Uncle Orson's Writing Class.

Kanan: "The Craft of Writing Scienc Fiction That Sells"

Manakala Ben Nova merupakan penulis yang menulis lebih daripada 100 judul novel futuristik. Beliau merupakan mantan editor majalah Omni dan Analog. Beliau merupakan pemenang anugerah enam kali Anugerah Nebula untuk Editor Profesional Terbaik dalam majalah Analog. Laman sawang beliau boleh didapati di pautan www.benbova.net.









3. Membiasakan Diri dengan Ayat Sains

Biasakan diri anda membaca karya sains (yang berbahasa teknikal / huraian saintifik). Dengan ini, anda dapat menambah istilah dan membentuk 'lenggok' bahasa saintifik anda. Mungkin agak jarang didapati bahan bacaan begini, kerana di peringkat sekolah dan institut pengajian tinggi lebih mengutamakan Bahasa Inggeris daripada Bahasa Melayu. Akan tetapi, pengajaran dan pembelajaran sekolah sudahpun berayun semula kepada bahasa asal, iaitu Bahasa Melayu.


Karya fiksyen sains masih janggal dalam pembacaan masyarakat tempatan. Berbeza dengan masyarakat Barat, genre ini sudah mendarah daging dalam kehidupan mereka, tidak keterlaluan sudah tertanam sejak abad ke-19, ketika Revolusi Perindustrian rancak sekali. Pada zaman tersebut, muncul penulis-penulis fiksyen sains seperti Jules Verne dan H. G. Wells yang menganjakkan karya tersebut. Sehingga kini, genre ini agak dominan di Barat.

Pernah suatu ketika dahulu, karya fiksyen sains mendapat perhatian yang baik di kalangan masyarakat dengan banyaknya novel diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Namun khabarnya dihentikan dan sejak itu fiksyen sains dalam keadaan yang mundur. Meskipun begitu, saya sempat mendapatkan sejumlah naskhah novel-novel fiksyen sains tempatan, tetapi belum sempat mengamati dengan mendalam.

Tips untuk anda:

3.1 Anda boleh menelaah karya-karya mutakhir fiksyen sains melalui ruangan genre tersebut dalam Majalah Kosmik yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka secara bulanan. Banyak di antara cerpen tersebut berkualiti dan memiliki idea yang unik dan tersendiri.

3.2 Saya yakin, buku-buku rujukan universiti seperti terbitan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) boleh dipinjam daripada perpustakaan terdekat. Anda juga boleh memuat turun artikel-artikel jurnal saintifik terbitan universiti tersebut.

4. Penterjemahan Istilah


Kebanyakan rujukan saintifik adalah dalam Bahasa Inggeris. Sedangkan anda mahu menulis dalam Bahasa Melayu.

Tips untuk anda:

Biasakan diri menterjemahkan istilah tersebut daripada Bahasa Inggeris kepada Bahasa Melayu. Sebagai permulaan - ya, memang banyak kerjanya! Ingatlah, kerja yang memerlukan kesungguhan dan kesabaran akan terbayar dengan kemanisan nanti!


5. Alah Bisa Tegal Biasa!


Latihkan diri menulis. Permulaan memang agak sukar. Anda akan selalu merujuk kamus ataupun kamus istilah. Terkadang bunyinya pelik, kembalilah merujuk kepada tulisan saintifik buku rujukan ataupun jurnal tentang penggunaannya dalam Bahasa Melayu. Jika lupa apakah maksud istilah tersebut dalam Bahasa

Inggeris, tulis dahulu di buku nota anda. Apabila ada kelapangan, carilah terjemahan istilah tersebut.

Latih, berlatih dan berlatih, insya-Allah berhasil kelak!


Terima kasih buat diri yang bertanya!

Wassalam...