Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, July 19, 2011

[SI] Idea Sejarah dalam Pembentukan Watak (Bhg. 1)


Alhamdulillah, segala Puji bagi Allah, Tuhan yang Esa, yang Maha Mentadbir Alam. Selawat dan salam atas junjungan mulia Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam. Semoga Allah melimpahkan rahmatNya atas keluarga baginda sallallahu alaihi wasallam, para sahabatnya, tabi’ dan tabien, ulama-ulama muktabar yang mewarisinya serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah yang benar sehinggalah Hari Kiamat.

Syukur kepada Allah, buat pertama kali sejak hampir setahun, blog ini sunyi sepi. Bukannya tidak lagi ingin bergiat dalam penulisan, fiksyen sains terutamanya. Akan tetapi ada keutamaan yang harus didahulukan dahulu. Insya-Allah blog ini akan lebih aktif dengan menghidangkan entri-entri berkenaan konteks fiksyen sains tempatan khasnya dan global amnya.

Terbitnya novel sulung saya, Galaksi Muhsinin sudah masuk tahun ketiga. Terimbau semasa permulaan menulis, terasa semakin mencabar apabila melangkah dengan lebih jauh menulis novel tersebut iaitu pada Jun 2007. Sebelumnya saya tidak pernah terlibat secara serius dengan penulisan, melainkan hanyalah melalui penulisan blog. Apatah lagi menulis genre baru buat pertama kali. Akan tetapi menulis karya fiksyen sains (science fiction – sci-fi - saifai) adalah cabaran yang agak rumit. Kerananya saifai memerlukan penulis untuk mencipta ‘dunia’ imaginasi yang tersendiri.

‘Dunia’ yang dimaksudkan dalam saifai merangkum latar tempat, sejarah latar, sistem politik, ekonomi struktur masyarakat, teknologi, ideologi, falsafah, sumber (resources) dan konflik. Inilah yang membuatkan merencana saifai tersendiri bukanlah sesuatu yang mudah. Walaubagaimanapun, inilah letaknya kemanisan menulis setelah bertungkus-lumus dengan kesungguhan dan daya kreativiti menjadikan saifai yang diimpi tetap relevan, menarik, segar dan paling penting, mendidik.

Tips yang ingin disentuh dalam ruangan ini adalah pembentukan watak. Dahulu, agak kebingungan juga, bagaimanakah hendak mencirikan watak. Saya tidak ada ilmu asas berkenaan hal ini. Tambahan pula, watak adalah sesuatu yang dinamik dan pelbagai. Adanya watak protagonis (watak utama, dan menyokong perjuangan cerita) dan watak antagonis (watak yang melawan arus), watak neutral dan watak sampingan. Antara yang berlegar di fikiran:

i. Apakah karakter watak?
ii. Apakah pendiriannya?
iii. Apakah sejarah hidupnya?
iv. Apakah pemikirannya yang mendorong perlakuannya?
v. Apakah pengaruhnya kepada persekitaran latarnya?


Watak adalah penggerak dalam cerita. Oleh yang demikian, watak memainkan peranan yang amat penting. Watak yang mendatar merisikokan pembaca menjadi kebosanan.
Di kala berlegar-legar memikirkan, munculnya satu ilham. Satu rujukan ulung saya terlepas pandang: mengapa tidak rujuk al-Quran? Bukankah itu rujukan terbaik? Bukankah dalamnya ada kisah-kisah yang indah? Bukankah dalamnya juga terdapat watak-watak terbaik dan yang paling durjana? Bukankah terdapat juga ciri-ciri terbaik dan sebaliknya yang digariskan oleh Tuhan?


Inilah cetusan yang telah memberikan pencerahan, kepada beberapa watak protagonis dan antagonis utama dalam novel tersebut. Saya ceritakan di sini berkenaan dengan watak antagonis, Maharaja Legion. Watak tersebut amat bermakna, kerana watak tersebut adalah watak pertama yang menggunakan panduan al-Quran dalam pembentukannya.

Maharaja Legion dan Firaun


Maharaja Legion merupakan watak jahat di kalangan yang terjahat dalam Galaksi Muhsinin. Ia adalah gabungan daripada beberapa watak yang pernah muncul dalam sejarah. Sebutkan sahaja, mereka yang seangkatan sama kategori seperti Hitler, Stalin dan Bush. Tentunya tidak syak lagi jika merujuk kepada al-Quran, firaun adalah insan yang dimaksudkan. Entiti ini termaktub dalam al-Quran, iaitu kisah Nabi Musa alaihis salam dan Firaun Mesir. Kisah tersebut diabadikan dalam banyak surah. Antaranya adalah Surah al-Baqarah, Toha, al-Anbiya, al-Qasas dan banyak lagi. Kisah tersebut dimudahkan dengan menyelusuri kitab yang disusun oleh Imam ibnu Kathir (w. 774H) dalam Qasasul Anbiya’ (Kisah Para Nabi alaihissalam).



Firaun adalah seorang diktator kuku besi zaman purba yang bermaharajalela berkuasa atas manusia pada zamannya. Ia membina tamadun dengan bangunan, arca, kuil bahkan piramid yang mengagumkan sehinggalah pada hari ini. Jajahannya amat luas. Ia adalah panglima negara yang gagah perkasa mengalahkan musuh-musuhnya.

Walaubagaimanapun, tampak hebatnya, agungnya tamadun tersebut didirikan atas fondasi darah dan air mata manusia yang diperas dan diperhamba. Ia terlalu berkuasa, sampai tahap mengaku diri sebagai Tuhan. Disebutkan:

“(Berkata firaun): Akulah Tuhanmu yang paling tinggi!” (Surah an-Nazi’at, 79:24)



Marahaja Legion merupakan maharaja keempat Empayar Sibernatik Cyborg. Ia adalah maharaja kepada 8 buah galaksi yang merangkumi jutaan sistem hidupan manusia. Kuasanya tidak terbatas. Galaksi Muhsinin yang aman damai ingin dikuasainya sekali. Pengakuan Legion selari dengan pengakuan firaun, bahawa siapakah yang lebih berkuasa daripadanya?

“Dan firaun berseru kepada kaumnya (seraya) berkata: ‘Hai kaumku, bukankah kerjaan Mesir ini kepunyaanku dan bukankah sungai-sungai ini mengalir di bawahku, maka apakah kamu tidak melihatnya?’” (Surah az-Zukhruf, 43: 51)




“Firaun berkata, ‘Sungguh jika kamu menyembah Tuhan selain aku, benar-benar aku akan menjadikan kamu salah seorang yang dipenjarakan.’” (Surah as-Shu’ara, 26:29)



Maharaja Legion dihantui oleh sumpah nenek moyangnya yang pertama, untuk memburu ‘gerombolan teroris’ yang dikepalai oleh pemimpin yang bergelar ‘khalifah’. Jika firaun membunuh bayi lelaki untuk mengekang pertumbuhan kaum Bani Israel yang boleh menjatuhkannya dan membiarkan kaum wanita. Maka mengambil idea ini, saya mengubahsuai Maharaja Legion sebagai firaun saifai.

Empayar Sibernatik Cyborg telah bertindak menguatkuasakan polisi kaum lelaki pada umur tertentu hendaklah ditukarkan kepada cyborg dan ditanamkan cip Doktrin Empayar. Tindakan tersebut adalah untuk mengelakkan kaum lelaki ini kelak akan menjadi pemberontak menentangnya. Idea tersebut cetusan daripada:

"Dan (ingatlah) ketika Kami selamatkan kamu (Bani Israel) daripada (firaun) dan pengikut-pengikutnya; mereka menimpakan kepadamu seksaan yang seberat-beratnya, mereka menyembelih anak-anakmu yang lelaki dan membiarkan hidup anak-anakmu yang perempuan. Dan pada yang demikian itu terdapat cubaan-cubaan besar daripada Tuhanmu." (Surah al-Baqarah, 2: 49)

Ciri-ciri teknologi yang ada pada Maharaja Legion adalah idea olahan daripada ilmu fizik dan kimia. Berkenaan dengan ini idak dinafikan terdapat juga idea juga diubahsuai beberapa watak saifai filem, game dan novel terkemuka.

Firaun dan Tenteranya, Legion dan Marin



Seperkara lagi adalah disebutkan dalam al-Quran bahawa firaun sering dikaitkan dengan tenteranya yang zalim. Antaranya:

“Dan berlaku angkuhlah firaun dan bala tenteranya di bumi (Mesir) tanpa ada alasan yang benar dan mereka menyangka bahawa mereka tidak akan dikembalikan kepada Kami (Allah).” (Surah al-Qasas, 28: 39)


Menurut kajian, firaun mempunyai sejumlah tentera yang terlatih, profesional, taat, kuat dan berhasil mengalahkan musuh-musuh terutama di kalangan bangsa lain pada zaman tersebut. Presiden Amerika, Bush dan tenteranya mirip benar akan firaun zaman silam. Bush dengan sewenang-wenangnya menjadikan tenteranya sebagai ejen terror yang berkuasa menundukkan sesiapa sahaja yang menongkah arus kejinya. Islam dan umatnya menjadi sasaran dengan alasan menghapuskan gerakan terorisme global. Sedangkan sudah terang lagi bersuluh, motif penjajahan atas umat Islam selama hampir 10 tahun adalah untuk kepentingan yang lain.


Bush dengan keangkuhannya telah mengadakan tipu daya dan menjajah umat Islam dengan kejam sekali di Iraq dan Afghanistan. Bush dibantu oleh jentera tenteranya yang canggih, taat dan ramai. Ia telah mencengkam kuasanya atas jajahan dengan memecahbelahkan umat dan mengapi-apikan mereka agar saling bercakaran. Sehingga kini umat di kedua-dua negara masih lagi berbalah. Saban hari korban semakin meningkat. Harta emas hitam kering disedut, umat Islam papa kedana di bumi sendiri. Jika dianalogikan, Bush tidak ubah bezanya dengan firaun...

Setelah mengeksperimen Maharaja Legion, saya mendapati bahawa ruang untuk pengolahan watak teramat luas. Idea adalah tidak terbatas apabila menggunakan watak dalam sejarah dijadikan sebagai model. Al-Quran adalah salah satu daripadanya. Saya berpandangan, watak yang benar dalam sejarah harus juga dikaji. Namun demikian, hendaklah diadunkan idea sejarah dengan daya kreativiti kita.

Perwatakan antagonis cukup banyak diceritakan dalam al-Quran. Sebaliknya, watak protagonis juga demikian. Kisah dan perjuangan para nabi dihului oleh Penghulunya yang agung, iaitu Sayyiduna Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam tidak kurang hebatnya.

Begitu juga termasuk orang-orang soleh sebelum pengutusan baginda, para sahabat dan ciri-ciri manusia terbaik juga diabadikan dalam al-Quran. Dan, dalam sejarah Islam secara amnya, terdapat kisah-kisah yang tidak terhitung jumlahnya, yang terdiri daripada pemimpin-pemimpin, para pahlawan, ulama-ulama, orang soleh, ahli sufi, aktivis dan tidak cukup tersenarai di sini. Watak yang dibina dalam konteks saifai, watak-watak merupakan karakter yang ada kelemahan dan kekuatan, tetapi pada masa yang sama mereka berjuang untuk menegakkan kebenaran menentang kebatilan.

Dalam kita mencari idea berkenaan dengan watak, marilah kita mengambil iktibar daripada pengajaran hasil pembacaan kita. Sejarah itu merupakan sesuatu yang bermanfaat bagi orang yang berfikir. Ikhlaskan telaah yang kita laksanakan, agar idea yang kita sampaikan akan mendidik jiwa, terutama kita sendiri dan pembaca khususnya. Watak-watak tersebut wajar dijadikan tauladan dan sempadan. Andai diulang lagi peristiwa yang sama, putaran roda sejarah akan berputar ke titik awalnya. Sudah tentu, ia akan berulang kembali.

Insya-Allah akan bersambung dalam:
Bahagian 2: Stormtroopers dalam Saifai
Bahagian 3: Gundam; Jelmaan Samurai Angkasa