Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Thursday, July 2, 2009

Ilustrasi & Imaginasi

Sebuah Pemerhatian Peribadi
Seringkali apabila bertanyakan pembaca Galaksi Muhsinin, salah satu respon ialah pembaca mengatakan bahawa novel tersebut memerlukan imaginasi yang tinggi. Respon yang lain ialah novel tersebut harus dilengkapi dengan glosari istilah yang mencukupi.

Saifai (sci-fi, sains fiksyen) merupakan satu genre yang dibaca oleh peminatnya sahaja, seperti individu yang ada latar belakang pendidikan sains, meminati novel ataupun filem saifai. Saya mendapati bahawa ramai di kalangan yang membaca Galaksi Muhsinin adalah orang yang baru berjinak-jinak dengan saifai ataupun individu yang mempunyai pengetahuan sains yang agak terhad.

Imaginasi merupakan keupayaan yang dikurniakan oleh Allah kepada seseorang untuk membayangkan sesuatu gambaran ataupun konsep. Imaginasi dihasilkan oleh otak kiri. Dengan daya imaginasi yang diberikan Tuhan, manusia memanfaatkan kebolehan ini dan menjadikan dunia ini berwarna-warni lagi menarik. Maha Suci Allah yang menciptakan kita!

Setiap orang mempunyai daya imaginasi yang tersendiri. Ada orang yang mempunyai imaginasi tinggi dan ada pula yang sebaliknya. Orang yang mempunyai imaginasi tinggi akan membayangkan jalan cerita, watak dan latar dengan baik. Ini membolehkan pembaca tersebut menikmati karya dengan baik. Manakala terdapat juga seseorang sukar untuk mendapatkan gambaran tentang karya tersebut. Akhirnya, kemungkinan akan menimbulkan rasa bosan dan hilang kepuasan membaca.

Bagi individu yang kurang berimaginasi, perkara ini lantas mungkin merupakan antara halangan secara tidak langsung dalam memahami isi yang disampaikan. Ada pembaca terpaksa mengulangi bahagian-bahagian awal untuk mendapatkan gambaran yang jelas. Lebih menyedihkan lagi, gambaran tidak juga muncul-muncul dalam fikiran. Tambahan lagi, hanya ilustrasi peta 'universe' Galaksi Muhsinin yang disediakan untuk para pembaca. Walhal, terdapat banyak watak, latar dan alat yang berbeza dalam novel tersebut.



Ilustrasi amat membantu pembaca. Ilustrasi akan mencetuskan gambaran dalam fikiran pembaca seperti yang dimaksudkan oleh penulis. Melalui ilustrasi, para pembaca dapat mengaitkan isi cerita dan menjadikan pembacaan lancar. Apabila pembaca dapat memahami dan membayangkan cerita dengan baik, maka mereka dapat menikmati cerita tanpa tersekat-sekat.

Saya sangat memilih jenis novel saifai. Apabila saya renungkan kembali, saya hanya membaca novel yang berkaitan dengan perkara yang pernah saya tontoni filemnya ataupun bermain gamenya.



Antara koleksi novel saifai saya merangkumi novel siri STAR WARS, seperti novel dalam gambar di atas. Tidak sukar membayangkan novel ini kerana sudah maklum akan watak seperti Clone Trooper, Jedi, Sith, Mandalorian, dan latar seperti Coruscant, Kamino, Tatooine. Namun demikian, pada pendapat saya, novel STAR WARS lebih bersesuaian kepada para peminat trilogi STAR WARS. Pembaca baru yang belum pernah mengikuti jalan cerita STAR WARS mungkin sukar membayangkan kerana penulis lazimnya tidak menghuraikan lanjut watak alat dan latar yang biasa digunakan dalam filem.


Saya juga tidak bermasalah membaca novel Starcraft Archive dan Warcraft Archive terbitan Blizzard Entertainment. Novel ini berdasarkan huraian terperinci mengenai jalan cerita game Starcraft dan saga Warcraft.


Tidak lama sebelum ini, saya berkesempatan membelek novel World of Warcraft yang terbaru Arthas: Rise of the Lich King. Saya membacanya dengan lancar dan membayangkan jalan cerita (walaupun membaca sedikit). Faktor utama dapat mebayangkan jalan cerita kerana saya pernah bermain dan menghabiskan kempen game Warcraft III Reign of Chaos dan Frozen Throne pada 2003 yang lepas.


Novel DUNE seperti Legend of Dune: Butlerian Jihad lain pula. Saya tidak pernah menonton filem DUNE tetapi dapat menggambarkan novel dengan agak baik. Mungkin antara faktornya, saya mengaitkan gambaran dunia lain dalam DUNE mirip dalam STAR WARS. Tambahan pula, penulis dengan bijaksana menghuraikan planet, jentera dan watak dengan bahasa yang mudah dan menggunakan konsep asas dalam sains. Penulis menghuraikan konsep sains sebagaimana perlu dan tidak terlalu berat. Sebagai contoh, penulis menghuraikan kerangka luaran watak Titan dengan gambaran watak tersebut berbentuk seperti seekor ketam gergasi. Sebagai pembaca, kita dapat membayangkan watak tersebut kerana kita pernah melihatnya di alam nyata.

Namun demikian, gaya pembawaan DUNE memberikan kebebasan kepada pembaca untuk membayangkan dan menafsirkan novel tersebut. Sungguhpun dengan ilustrasi yang terhad seperti bersumber daripada kulit buku, DUNE dapat dinikmati dengan baik.


Kesukaran pembaca berimaginasi akan Galaksi Muhsinin telah saya rasai baru-baru ini. Saya telah mendapatkan novel rasmi filem Transformers: Revenge of the Fallen. Saya setakat ini belum menonton filem ini di pawagam (ataupun CD dan fail video). Tambahan lagi, saya tidak ada gambaran langsung mengenai watak-watak baru dalam filem tersebut. Bukan sahaja sangat lambat membaca, tetapi terkadang terpaksa mengulangi sesetengah bahagian. Ini disebabkan saya tidak dapat membayangkan apa yang berlaku dan bagaimanakah bentuk transformasi robot-robot tersebut. Pengalaman ini merupakan kali pertama saya mengalami kesukaran tika membaca novel saifai. Saya merasakan, mungkin juga pembaca Galaksi Muhsinin telah mengalami masalah yang serupa.



Bagi menyelesaikan masalah ini, blog ini telah saya wujudkan untuk menyediakan gambaran asas mengenai watak dalam Galaksi Muhsinin. Diharapkan melalui ilustrasi yang disediakan (binaan LEGO), dapat meransang imaginasi para pembaca. Kerana pada pendapat saya, pembaca mengalami masalah ketika membayangkan watak, kapal angkasa, jentera dan peralatan yang digunakan. Gambaran alam seperti bentuk muka bumi planet, suasana latar mungkin lebih mudah dijelmakan dalam akal kerana unsur-unsur tersebut berkaitan dengan kehidupan seharian kita.

Kapal Kapital Galaksi Muhsinin kelas Kruis Asadullah.

Sayang sekali pengumuman mengenai blog tidak sempat dimasukkan dalam novel tersebut. Ini kerana saya agak lambat mengenal pasti masalah ini. Blog ini telah disusun selepas diterbitkan pada tahun lepas. Setahu saya, hanya segelintir sahaja yang menyedari akan kewujudan blog ini.

Secara kesimpulan, ilustrasi berguna untuk membantu pembaca mendapatkan gambaran yang paling hampir kepada yang dimaksudkan oleh penulis. Tanpa imej yang jelas dalam fikiran, pembaca kadang-kadang terhalang untuk menikmati novel dengan baik. Walau bagaimanapun, tanpa ilustrasi pula memberi ruang kepada pembaca untuk membina imaginasi mereka dengan bayangan tersendiri. Dalam segenap peluang berkarya, penulis harus bijaksana mengolah dengan menghuraikan gambaran dengan istilah-istilah yang difahami biasa digunakan dalam kehidupan seharian. Hal ini memerlukan penilitian yang tajam, mengambil kira kumpulan pembaca tanpa menghilangkan ketinggian isi dan bahasa yang digunakan. Andai pembaca memahami seperti yang kita maksudkan, menggambarkan apa yang kita bayangkan, tentunya para pembaca akan tertunggu-tunggu karya kita pada masa akan datang!