Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Thursday, April 28, 2016

[OPS.. ADA SPOILER] Respon Balas Resensi Tuan Nik Aziz Afiq


Baru-baru ini penulis telah melawat sawang pembelian online novel fiksyen sains Galaksi Muhsinin (2016) di portal penerbit PTS. Penulis teruja kerana satu komen oleh Sdr. Nik Aziz Afiq ditujukan kepada novel penulis dengan artikel ringkas dan padat bertajuk “Kisah Penaklukan Pada Tahun 2205: Galaksi Muhsinin.” Ini adalah analisa terkini semenjak beberapa tahun terbit pada 2008.

Penulis mengucapkan terima kasih atas komentar yang positif berkenaan novel itu. Penulis tertarik dengan teguran membina daripada beliau berkenaan perwatakan Khalifah Zulqarnain yang diselamatkan oleh isterinya Dr. Safiyyah. Beliau mengomentar:
Satu lagi kelemahan ketara ialah watak utama/khalifah tidak konkrit. Dalam beberapa babak akhir berlaku kecelaruan identiti apabila sepanjang penceritaan, Galaksi Muhsinin digambarkan sebagai ketenteraan yang hebat tetapi ketika khalifah bertempur, yang menyelamatkannya adalah isterinya sendiri yang bertugas sebagai doktor. Ke mana hilangnya skuad elit dan segala jenis ketenteraan yang lain?
Watak Khalifah yang gah pada awalnya bertukar mendadak menjadi seorang yang lemah dan tidak berupaya. Ia membunuh imaginasi!
Respon ringkas:
Dalam kecamuk api peperangan, berlaku huru-hara yang besar, kekalutan, kekeliruan. Adakala terdapat unit yang mara terlebih ke hadapan sehingga terpisah daripada unit induk ataupun unit-unit yang lain. Masalah komunikasi boleh berlaku, adakala disebabkan oleh kerosakan alat atau serakan elektronik musuh ataupun alat penyampai dan penerima di luar jarak berkesan. Keadaan terpisah ini mendedahkan kepada risiko dikepung dan unit dimusnahkan. Keadaan terkepung ini (under siege) memerlukan pasukan bantuan (relief force) untuk mengasak agar membuka laluan bagi pasukan terkepung untuk meloloskan diri (breakout).

Dalam babak tersebut (tidak mahu cerita sangat perincian supaya tidak jadi spoiler habis-habisan), pertempuran adalah pertempuran dalam bandar yang dikenal sebagai urban warfare atau fighting in built up area (fibua). Pertempuran ini adalah antara yang rumit sekali dalam sejarah. Untuk mengekalkan momentum, perajurit bertempur dari jalan ke jalan, bangunan ke bangunan, tingkat ke tingkat malah bilik ke bilik. Pertempuran bergantung kepada unit-unit kecil khas untuk menguasai satu-satu kawasan. Kuasa-kuasa besar seringkali tergendala dalam pertempuran ini. Kegagahan Wehrmacht tegendala di kota Stalingrad pada 1942. Rusia tidak begitu berhasil menakluk Chechnya. Askar Marin Amerika tidak berupaya menumpaskan gerila Iraq di Fallujah pada 2005. Maka apabila dalam unit-unit kecil, lebih mudah terpisah daripada unit induk.

Nabi Muhammad s.a.w juga pernah mengalami situasi ini terpisah daripada unit utama Baginda s.a.w. Berlaku dalam Perang Uhud pada 2 Hijrah, fasa awal menyaksikan tentera musyrikin Quraisy terpukul. Melihat kejayaan itu, kebanyakan pasukan pemanah terlupa dan mengingkari arahan Baginda s.a.w. Berlaku malapetaka yang mengejutkan. Khalid al-Walid, panglima pasukan berkuda tentera Quraisy mengambil kesempatan untuk mengasak barisan belakang Nabi s.a.w. Tentera Islam berpecah kepada unit-unit kecil.
Dalam kegetiran itu, para Sahabat besar dan di kalangan Muhajirin dan Ansar bertungkus-lumus mempertahankan Nabi Muhammad s.a.w. Ada juga Sahabat yang berputus asa kerana terpengaruh akan cerita wafatnya Nabi s.a.w. Ada juga yang undur dari medan juang.
Gunung Uhud, lokasi Perang Uhud pada 2 Hijrah
Saat yang mencemaskan itu mengakibatkan Nabi s.a.w luka. Giginya yang mulia itu patah. Nabi s.a.w cedera dan tidak berupaya untuk bangun. Namun kegigihan seorang yang digelar “Syahid Hidup” iaitu Sayyidina Talhah bin Ubaidillah telah mengangkat Baginda s.a.w dan para Sahabat berundur / keluar dari kepungan menaiki Bukit Uhud.
Di kala kekalutan Nabi s.a.w terkepung dan pertahanan umat Islam yang goyang, muncul seorang srikandi yang terukir namanya bangkit menghunus pedang melindungi Baginda s.a.w. Melihat keadaan terkepung itu, wanita mulia yang asalannya bertugas sebagai jururawat, mengambil pedang dan melindungi Nabi s.a.w. Nama beliau adalah Umm Umarah Nusaybah binti Ka’ab al-Maziniyyah Dalam kitab Sirah ibnu Hisyam, Sayyidah Nusaybah menceritakan beliau melindungi Nabi s.a.w:
“Ketika kaum Muslimin terpukul, aku mendekati Rasulullah s.a.w untuk terlibat langsung ke medan perang dan melindungi beliau dengan pedang, serta melempar anak panah hingga aku terluka.”[1]
Penulis juga pernah membaca daripada kitab terjemahan Sirah (belum dijumpai lagi sumbernya), Sayyidah Nusaybah dikatakan tegap berdiri menghunus pedang. Ke mana Nabi s.a.w menoleh atau mengalihkan badannya, arah itulah Nusaybah melindungi Nabi s.a.w!
Penulis berpendapat bukanlah satu yang menjejaskan martabat seseorang yang dipandang  tinggi diselamatkan oleh seseorang yang mungkin dianggap lemah seperti wanita atau kanak-kanak. Sesiapa pun, jika semangatnya marak dengan keimanan, tidak mustahil dengan pertolongan Allah mereka ini juga berperanan dalam mempertahankan pegangan dan orang-orang sekeliling mereka. Yang diselamatkan tidaklah menjadi hina. Dan yang menyelamatkan itu pula yang menjadi mulia. 

Dalam Islam, cerita-cerita seperti ini mewangi dalam lipatan sejarah. Terdapat juga kisah ketika Perang Yarmuk pada tahun 636 Masehi, gerombolan tentera Romawi memukul tentera Islam dari belakang. Mereka menyerbu perkhemahan tentera Islam. Dalam kelam-kabut itu, seorang Sahabat wanita Nabi s.a.w, iaitu Hindun binti Utbah telah menghunus pedang dan menyeru tentera yang lain bersungguh-sungguh menyelamatkan kem mereka. Akhirnya serangan itu dapat dipatahkan (sumber: buku The Sword of Allah: Khalid bin al-Waleed, His Life & Campaign).
Insya-Allah babak Khalifah yang terkepung di Planet Hadid Hd-57 terinspirasi daripada sumber yang mulia ini. 

Menjawab salah satu soalan: "Kemana hilangnya skuad elit dan segala jenis ketenteraan yang lain?" 

Jawapannya: Pasukan elit lazimnya adalah ketumbukan yang terlatih khusus untuk tugas pasukan serangan perintis ataupun tugasan berbahaya di bekalang barisan musuh. Mereka tidak seramai pasukan regular (tentera biasa). 

Dalam novel tersebut, dimaklumi bahawa Galaksi Muhsinin diasak oleh Konfederasi Reconquista dengan nisbah yang terlalu besar berbanding musuh. Dari segi bilangan pasukan, Galaksi Muhsinin nyata dalam keadaan yang lemah dan terpaksa mengagihkan pasukan di banyak medan juang kritikal di galaksi yang luas. Oleh itu, sepertimana seringkali dalam ketenteraan, menggunakan sumber yang ada (available resources) untuk mencapai objektif.

Terima kasih kerana sudi menatap Galaksi Muhsinin. Semoga bermanfaat.


#GalaksiMuhsinin #fiksyensains








[1] Syeikh Abu Muhammad Abdul Malik bin Hisyam, (2009). Terjemahan sirah nabawiyah ibnu hisyam jilid 2. Al-Hidayah Publication: Selangor

No comments: