Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Saturday, September 27, 2014

X-MEN dan YAHUDI




Segala Puji bagi Allah, Tuhan Sarwa Alam. Selawat dan salam buat Junjungan Mulia Sayyiduna Nabi Muhammad s.a.w, para Sahabatnya dan Ahli Keluarganya (Ahlul Bait). Semoga Dia melimpahi rahmat atas orang-orang yang soleh mengikuti jalan Baginda s.a.w sehingga Hari Kiamat.

Jika anda menyambung titik-titik peristiwa dalam filem fiksyen sains yang berlandaskan komik Marvel, iaitu X-Men, kita akan menjumpai gambaran sebuah mesej yang disampaikan dalam filem tersebut. Melalui peristiwa-peristiwa tersebut, boleh disimpulkan X-Men adalah benih-benih berduri yang akan propaganda menjulang Yahudi. 

Mengapa?

Titik 1:

Awal babak filem X-Men (2000), kita akan mendapati sekumpulan manusia dikerah dalam hujan lebat di sebuah tempat yang kita kenal sebagai kem tahanan manusia. Daripada uniform pengawal kem tersebut, kita akan mendapati bahawa askar tersebut adalah pihak Nazi Jerman. Kebiasaan filem Hollywood ditonjolkan, kem seperti ini adalah kem khas yang diselia oleh Schutstaffel (atau dengan jolokan SS) yang bertujuan untuk menghapuskan bangsa (Yahudi dan minoriti lain) yang akan merencatkan evolusi. Menurut Adolf Hitler Fuhrer Reich Ketiga, bangsa-bangsa lemah dan pencacai ini perlu dihapuskan demi keberlangsungan evolusi; terutamanya bangsa Aryan (bangsa Jerman purba). Kita dapat perhatikan, adanya tanda bintang bucu 6 di dada tahanan-tahanan itu, yang sememangnya menandakan mereka adalah bangsa Yahudi.

Dalam babak ini, penonjolan suasana kem ini merujuk kepada nasib orang Yahudi yang tertindas dalam pembersihan etnik Holcaust. Pengkaji Zionis seperti R. Garaudy (seorang komunis Perancis yang memeluk Islam) mengatakan bahawa Holocaust adalah sandiwara besar oleh segelintir ekstremis Yahudi Zionis agar orang Eropah merasa bersalah dan sebagai galang ganti adalah sokongan mereka atas negara haram Israel Zionis setelah Hitler kalah nanti dalam Perang Dunia II (1939-45).

                                      

Babak tersebut memaparkan seorang budak remaja yang terpisah (Magneto) dengan keluarganya. Dalam ketakutan itu, askar-askar pengawal kem kehairanan jeriji pagar besi kem bengok dengan daya ghaib dan akhirnya terpelanting pagar itu ke tanah. Budak Yahudi itu sekalipun dalam keadaan yang lemah, mempunyai kuasa tersembunyi boleh menarik besi seakan-akan ada kuasa magnet daripada tangannya. Akhirnya dibiarkan sahaja ia hidup. Babak pertama, cerita segelintir Yahudi tertindas yang mempunyai kekuatan yang luar biasa.


Titik 2:



Dr. Jean Grey, salah seorang yang ditonjolkan sebagai pejuang hak asasi bangsa mutant (yang mengalami 'proses evolusi' dan mempunyai kelebihan tertentu) dijemput untuk mendengar Akta Pendaftaran Mutant di Kongres Amerika Syarikat, agar mereka dapat dikenalpasti dalam masyarakat. Akta tersebut seperti memberi ancaman kepada survival bangsa mutant. Akan tetapi Dr. Jean Grey lantang dalam mempertahankan bangsa minoriti mutant itu agar dapat hidup dengan sempurna sepertimana orang lain.
                                 
Jalan cerita ini, amat berkait rapat dengan bangsa Yahudi sendiri. Mereka adalah bangsa kecil dan minoriti, mahu dianggap istimewa (kerana kepintaran mereka) dan cuba meletakkan diri mereka diiktiraf tanpa mengorbankan kelebihan yang mereka miliki di persada dunia.

Sambungan titik

Bermula dari kem tahanan di Poland pada 1944, bangsa mutant yang tertindas telah melalui zaman itu, yang diwakili oleh Magneto. Bangsa mutant begitu sinonim sekali dengan bangsa minoriti, tetapi mempunyai kelebihan luar biasa. Tidakkah itu menggambarkan orang Yahudi sendiri?

                                     

Dan setelah mereka melalui zaman sukar itu dan bercampur dengan masyarakat antarabangsa, kali ini pula mereka mahukan pengiktirafan daripada mereka. Tidakkah itu mirip dengan generasi traumatik Holocaust dan kemudian membebaskan diri mereka, dan mahukan pengiktirafan di mata dunia? Amerika Syarikat (dikuasai pelobi Yahudi) dan 'seteru' mereka Kesatuan Sosialis Soviet Rusia (pengasasnya sendiri, Lenin adalah Yahudi) adalah adikuasa yang awal mengiktiraf kewujudan negara haram Israel setelah penubuhannya pada 15 Mei 1948.

                                   

Jika permulaan sudah membentuk kerangka fikir sebegini, apatah lagi cerita-cerita selanjutnya. Tentunya menceritakan sambungan daripada huraian awal perkembangan mereka.


Mungkin ada titik-titik lain lagi. Jika awal cerita adalah mewakili Yahudi-Zionis. Maka cerita selanjutnya, boleh jadi keseluruhan kisah X-Men adalah cerita orang Yahudi.

Thursday, September 25, 2014

MSER-04 'Anf': TEKNOLOGI BUANGAN & PERKAITAN DUNIA ARAB


Mukadimah

Dalam siri animasi fiksyen sains Gundam 00, ada sejenis jentera perang robot gergasi Mobile Suit MSER-04 yang diberi jolokan 'Anf' ataupun hidung dalam Bahasa Arab. Biarpun Mobile Suit (MS) tersebut adalah versi ketinggalan zaman, usang dan teknologi terkebelakang dan tidak memberikan peranan yang signifikan, namun ada terselit mesej dan idea tersendiri kewujudannya. Dalam kajian ini didapati bahawa serpihan fiksyen ini berlandaskan fakta yang ada perkaitan rapat dengan negara Timur Tengah, iaitu dunia Arab.



'Anf' secara mendasar adalah manifestasi kepada teknologi 'versi eksport' teknologi yang lebih murah dan dalam kuantiti banyak yang diharapkan oleh negara pengguna. Sejak tahun 1950-an, negara-negara Arab menerima pengaruh Kesatuan Sosiali Soviet Rusia (USSR) dalam mengimbangi kekuatan Israel Zionis pasca penubuhan negara haram itu pada tahun 1948. Perkara ini meonjolkan seperti yang tercermin kepada Kerajaan Azadistan yang miskin dan mundur dalam Gundam 00. 


Entri ini akan mengkaji secara ringkas tentang pengambilan idea dan adaptasi sesuatu konsep teknologi dalam karya fiksyen sains. Anf adalah MS yang tidak popular, dan bukan tandingan dengan MS yang lain apatah lagi yang berdorongan relau solar partikel GN seperti Gundam 00 Celestial Being. Sungguhpun begitu, kewujudan Anf dalam karya tersebut menampilkan perkara yang agak signifikan berdasarkan sejarah dan isu semasa yang melanda masakini, secara khusus di Timur Tengah.

‘Anf’ dalam Gundam 00

Seperti yang dinyatakan dalam pengenalan, Anf adalah MS yang usang dan ketinggalan zaman. Satu sumber yang terbaik setakat ini menyediakan maklumat Anf adalah gundam.wikia.com. Mobile Suit  tersebut bernama MSER-04 Anf disifatkan sebagai jentera versi eksport yang diubahsuai daripada MSJ-04 Fanton. Kedua-dua MS dikeluarkan oleh Human Reformed Legue (HRL) dan telah digantikan dengan jentera yang lebih canggih, iaitu MSJ-0611-A Tieren Jenis Darat.

Anf dilaporkan dijual kepada negara miskin dalam Gundam 00, seperti Afrika dan Timur Tengah. Mari kita tinjau kedua-dua robot gergasi tersebut.



1.    MSJ-04 ‘Fanton’

Fanton adalah model MS lama HRL dan kemudian diubahsuai dan dijual kepada negara ketiga sebagai MSER-04 Anf. Di kala pihak seperti Union of Solar Energy and Free Nations (UNION) dan Advanced European Union (AEU) merekabentuk MS yang lebih canggih, HRL memilih untuk menggunakan teknologi yang terbukti berkesan, sekalipun kurang canggih. Fanton digunakan dalam misi yang penting dalam mempertahankan Elevator Orbital HRL ketika masih dalam pembinaan.


Fanton menggunakan pendorongan bahan api fosil untuk menjana kuasa, bukan seperti model pengganti iaitu Tieren yang menggunakan kuasa hidrogen. Pengudaraan di pek belakang adalah digunakan untuk menyejukkan enjin dan membebaskan asap. ‘Fanton’ mempunyai pelbagai jenis senjata, seperti meriam laras halus (smoothbore) 50mm dengan 155 butir peluru, lembing karbon (untuk senjata jarak dekat) dan perisai besar.

Menjelang tahun 2301, Fanton digantikan dengan MSJ-0611 A Tieren Jenis Darat yang lebih canggih.


2.    MSER-04 Anf

 
MS ini adalah hasil daripada modifikasi daripada kerangka asal iaitu MSJ-04 Fanton. Pendek kata, Anf adalah versi eksport bagi Fanton dan dijual oleh HRL kepada bangsa-bangsa yang tidak mempunyai industri yang kukuh dan banyak dihantar ke Timur Tengah. MS tersebut dianggap sebagai murah dan amat sesuai dengan suasana negara miskin di rantau tersebut. Salah satu sebab kemasyhuran Anf adalah mudah untuk diselenggara dan kadar kegagalan atau kerosakan adalah rendah.

Anf diturun taraf teknologi berbanding Fanton dari segi pelbagai spesifikasi. MS tersebut adalah  kurang canggih daripada versi asal. Persenjataan daripada Fanton disusut iaitu perisai dan lembing karbon (senjata jarak dekat) ditanggalkan dan perisai armor pada badan Mobile Suit itu dikurangkan. Senjata dan kelengkapan Anf iaitu:


a.       Senjata utama           : meriam laras halus (smoothbore) 25mm dengan 200 butir peluru
b.      Senjata sekunder    : mesingan 30mm anti-personel

Dalam siri Gundam 00, Anf berperang dalam konflik Kerajaan Azadistan melanggar Republik Krugis di Timur Tengah. Anf juga dilihat sebagai jentera pertahanan utama negara Azadistan dalam pergolakan di negara itu. Terdapat juga Anf di kancah konflik lain seperti di Sri Lanka, apabila HRL masih lagi bergeser dengan puak pemisah di pulau kecil itu yang merupakan unjuran daripada konflik Tamil Eelam pada masakini.


‘Anf’: Azadistan dan Perkaitan Situasi Negara Arab

Kerajaan Azadistan adalah negara yang miskin, berpecah-belah kerana perbezaan aliran politik (parti reformis dan konservatif) dan terjerumus ke kancah perang saudara. Negara tersebut mempunyai ketumbukan tentera dan Mobile Suit MSER-04 Anf yang diimport daripada HRL. Insiden tambahan seperti Azadistan mengharapkan bantuan UNION menunjukkan pergantungan total negara tersebut terhadap kuasa luar. Hal ini sangat sinonim dengan negara Muslim, dalam kes siri Gundam 00 adalah negara Arab Timur Tengah.

Keadaan ini begitu serupa terhadap situasi negara Arab dengan ketara sejak era 1950-an. Terutama sejak negara haram Israel Zionis telah memenangi siri peperangan 1948 sehingga 1949, dunia politik  Arab tercabar akan kehadiran ‘sepupu lama’ mereka di tanah Palestina. Dengan pelbagai fahaman yang tertanam seperti nasionalisme, sosialisme dan Marxisme, Muslim kehilangan arah kerana asas pegangan yang goyah. Tambahan pula, kelemahan dalam jatidiri, apatah lagi dalam bidang sains dan teknologi menambahkan lagi mendung nestapa kekuatan umat.

Negara Arab pada era itu, yang rata-rata sudah beralih kepada golongan kiri seperti nasionalis dan sosialis. Justeru, mereka menjadi kawan rapat kepada Kesatuan Sosialis Soviet Rusia dan menerima pengaruh negara komunis itu. Lantas, dalam keadaan terdesak menyaingi Israel Zionis dalam perlumbaan senjata, negara Arab mendapatkan pelbagai kelengkapan perang daripada adikuasa Kesatuan Soviet. Lantas, bersama teknologi, mereka menerima ratusan bahkan mencecah ribuan pegawai, penasihat, pelatih, kakitangan serta juruteknik dalam memodenkan angkatan bersenjata negara Arab.  

Negara Mesir yang dipimpin oleh Presiden Gamal Abdul Nasser dilihat lantang menentang Israel dan melaungkan slogan retorik penyatuan negara Arab. Lantas, timbul gagasan kesatuan negara Arab seperti Republik Kesatuan Arab (UAR – United Arab Republic). Namun UAR tidak mendapat sambutan melainkan negara Syria. Krisis Arab-Israel memuncak apabila tentera Zionis telah melancarkan serangan mengejut atas tentera udara Arab dan menewaskan mereka dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967. Pasca perang itu berlanjutan dengan sehingga tercetus Perang Oktober (1973) dan konflik Lubnan (1982).                               

Setelah itu, kekuatan demi kekuatan ketumbukan negara Arab mulai hilang dan tiada ancaman serius buat Israel Zionis sehingga kini. Kita dapat lihat apabila tercetus konflik Gaza 2014 (Ramadhan 1435H), tidak ada satu negara Arab pun yang membantu negara berdaulat Palestina itu dari segi bantuan ketenteraan. Bahkan polisi negara Mesir sendiri telah menyukarkan Gaza untuk dibantu oleh masyarakat antarabangsa.

Mesir dan Syria pula telah menerima ribuan kelengkapan seperti pesawat dan kereta kebal pada tahun 1960-an dan 1970-an. Manakala negara lain seperti Iraq menyusul membentuk angkatan tentera yang dianggap kuat pro-Soviet di rantau Teluk Parsi pada 1980-an dan 1990-an.


Kembali: Teknologi Eksport

Setelah kita menyorot suasana geo-politik Timur Tengah pada era Perang Dingin, kita kembali kepada pokok persoalan utama entri ini, iaitu penggunaan teknologi eksport yang digunakan secara meluas khususnya di rantau tersebut.

Versi eksport dapat difahami dengan ‘teknologi jualan murah’ yang dibangunkan oleh industri negara maju. Dalam kes ini, tumpuan kajian adalah versi eksport Kesatuan Soviet yang menjadi tuan teknologi utama buat pelanggan setia mereka negara Arab. Teknologi Kesatuan Soviet dikenal dengan kos yang murah, tahan lasak dan boleh dikendalikan dalam kuantiti yang besar. Tambahan pula, peralatan perang tersebut lebih mudah dikendalikan berbanding perkakasan Barat yang lebih sofistikated. Terdapat juga pembelian senjata daripada negara Barat seperti Perancis, tetapi sejarah telah mengatakan bahawa Kesatuan Soviet mendominasi pasaran rantau itu.

Kebiasaannya, apabila industri pertahanan menjual persenjataan mereka kepada negara pengguna, lazimnya produk versi tersebut adalah yang diturun taraf. Ini mungkin melibatkan pengurangan spesifikasi tertentu seperti kekuatan enjin, kecanggihan kawalan dan persenjataan.

Dalam kajian konflik di Timur Tengah, kita akan terlintas beberapa contoh penggunaan teknologi eksport tersebut. Sebagaimana MSER-4 Anf, jentera perang tersebut dikurangkan kecanggihan persenjataan dan kelengkapan lain.



Sekalipun negara pengeluar seperti Kesatuan Soviet menjual teknologi eksport ini, terdapat negara yang mengambil inisiatif untuk menaiktaraf dan membaiki mutu teknologi yang mereka terima seperti negara India yang meningkat upaya pesawat yang mereka beli daripada Rusia melalui program pembangunan yang dilaksanakan oleh Hindustan Aerospace Limited (HAL). Terdapat beberapa laporan mengenai teknologi tertentu mengenai versi eksport ini.

Memandangkan keterbatasan ruang, kita sorot beberapa contoh sahaja tentang persoalan kali ini:


a.    Pesawat:   MiG-23 ‘Flogger’


Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw banyak mengilangkan kelengkapan perang seperti pesawat pejuang/pengebom untuk pelanggan mereka, khususnya di kalangan negara Arab. Terdapat laporan prestasi mengenai pelbagai jenis pesawat yang dihantar (seringkali dalam kuantiti yang banyak) seperti versi Mikoyan-Gurevich (MiG) dan Sukhoi. Akan tetapi atas keterbatasan masa, hanya MiG-23 yang dipaparkan kali ini, dengan prestasi dalam kombat di Timur Tengah.

Kemunculan MiG-23 buatan Kesatuan Soviet adalah untuk mengatasi masalah kelemahan keupayaan terhad MiG-21 dari segi muatan beban senjata dan jarak operasi yang terhad. Pesawat ini digunakan dalam beberapa konflik di rantau Timur Tengah dan Afrika Utara seperti Perang Arab-Israel, Lubnan 1982 (Tentera Udara Syria), Perang Iran-Iraq 1980-88 (Tentera Udara Iraq), Konflik Libya 1986 (Tentera Udara Libya) dan Perang Teluk 1991 (Tentera Udara Iraq). Terdapat juga MiG-23 digunakan dalam perkhidmatan rantau lain.  


Jet pejuang MiG-23MS milik tentera udara Libya

Biro Mikoyan-Gurevich telah melahirkan banyak versi dan terdapat juga versi eksport MiG-23BN/BM ‘Flogger-F’, MF ‘Flogger-E’ dan MS. Versi tersebut dengan jelas dengan sengaja direka sebagai jenis yang telah diturun taraf dan mempunyai kelengkapan piawaian MiG-23 yang digunakan oleh Kesatuan Soviet dan Pakatan Warsaw. Perkara ini disebutkan dalam buku The Encyclopedia of Modern Warplanes[1](1995), Modern Air Combat[2](2001) dan juga laman web Air Combat Information Group[3] ataupun acig.org. Kita tinjau selanjutnya dalam beberapa perkara:

            i.     Pengurangan Pendorongan

Menurut Gunston (1995) The Encyclopedia of Modern Warplanes, versi eksport MiG-23MF ‘Flogger-E’ mengekalkan kerangka asal tetapi dikurangkan enjin turbojet Tumanskii R-27F2M-300 dengan daya tujah pembakar lanjut 10,000 kg (22,046 paun)[4]. Versi asal, MiG-23 ML ‘Flogger-G’ berkekuatan daya tujah pembakar lanjut 13,000 kg (28,660 paun)[5].

    ii.     Pengurangan Kelengkapan

Versi eksport MiG-23MF ‘Flogger-E’ menggunakan radar versi awal (lama) iaitu radar ‘Jay Bird’, tidak mempunyai keupayaan pandang-bawah, tiada pandu arah (navigation) Doppler, tiada pod penderia inframerah. Manakala versi eksport lain iaitu MiG-23MS didapati dengan ketara menggunakan peralatan berkebolehan (capable) sepertimana versi asal[6]. Jika kita membaca versi MiG-23 lain dalam perkhidmatan Kesatuan Soviet, kita akan mendapati spesifikasi tersebut adalah berkeupayaan tinggi, tidak seperti versi eksport yang dihantar kepada negara pengguna. 

  iii.     MiG-23 Awal dan SyAAF


Tentera Udara Syria (Syrian Air Force, SyAAF) menerima MiG-23MF pada Oktober 1973, sebelum Mesir dan Iraq. Menurut acig.org, Cooper (2008) menyatakan bahawa MiG-23MF merupakan versi eksport yang diturun taraf yang pertama[7]. MiG-23MF tersebut mempunyai sistem persenjataan MiG-21MF dan enjin turbojet R-27F2M-200. 

Di sebalik kelemahan versi ini, MiG-23MF adalah pesawat termoden yang diharapkan oleh SyAAF menghadapi Israel. Dalam konflik Lubnan pada tahun 1982, banyak MiG-23 dan MiG-21 telah dijatuhkan, terutama oleh F-15 Israel. Namun dengan apa yang ada, juruterbang MiG-23MF berpengalaman menggunakan taktik tersendiri bagi mengatasi masalah tersebut.

  iv.     Versi Eksport MiG-23 dalam Perang Iraq-Iran 1980-88


MiG-23MS milik tentera udara Iraq


Antara negara pengguna utama MiG-23 adalah Iraq. Juruterbang Iraq meletakkan harapan yang tinggi pesawat jet pejuang yang mereka terima berkemampuan menghadapi jet pejuang Iran F-14A Tomcat. Jet F-14A hakikatnya jauh lebih unggul daripada MiG-23 dari segi avionik, sistem persenjataan, jarak operasi, muatan senjata dan gaya laku manuver. Namun demikian, versi eksport MiG-23MS dan NB nyata amat mengecewakan.

F-14A Tomcats milik tentera udara Iran

Punca utama kekecewaan tersebut adalah kelemahan kelengkapan avionik MiG-23 yang juga berdasarkan MiG-21MF, yang hanya merangkum kelengkapan sederhana kelengkapan penjarak omni-arah frekuensi amat tinggi[8] (VOR[9]), sistem instrumen pendaratan (ILS[10]), radio frekuensi ultra tinggi (UHF[11]) dan pengesanan kawan atau lawan (IFF[12]) SRO-2 seperti juga yang diterima tentera udara Mesir dan Syria yang tiada penerima amaran radar (RWR[13]).  Namun demikian, konflik yang berterusan  Juga seperti di Syria, Iraq menggunakan taktik tersendiri bagi menampung kekurangan tersebut.


b.   Helikopter: Mil Mi-25

Helikopter yang kita kaji ini adalah salah sejenis helikopter tempur-pengangkut yang terlibat dalam banyak konflik, iaitu Mil Mi-24, dengan jolokan NATO ‘Hind.’ Kesatuan Soviet membina versi eksport yang diturun taraf kelengkapan jentera tersebut, iaitu seperti Mil Mi-25 (era Perang Dingin) dan kini Mil Mi-35. Kajian ringkas subtopik ini akan membicarakan versi Mil Mi-25 yang dihantar kepada negara pelanggan yang kurang diharap kemampuan dan dipercayai (less reliable), seperti negara Arab[14].  


Menurut Cooper dan al-Abed (2003) dalam artikel Syrian Tank Hunters in Lebanon, 1982; negara Arab pada mulanya mahukan Barat membantu mereka, tambahan pula Kesatuan Soviet enggan untuk membekalkan helikopter terkini iaitu Mil Mi-24 terutama kepada Syria. Pihak Soviet mengutamakan peruntukan helikopter tersebut untuk kesiapsagaan di Jerman Timur yang dijangka menjadi medan pertempuran Kesatuan Soviet dan sekutunya Pakatan Warsaw berhadapan dengan NATO ketika era Perang Dingin[15]. Tambahan pula, Perang Afghanistan yang telah bermula sejak 1979 mendesak keperluan helikopter tersebut di rantau tersebut[16].

i. Mil Mi-25 di Syria

Apabila Perancis menghantar helikopter tempur Aerospatiale SA.342 Gazelle dan peluru berpandu anti-kereta kebal ke Syria, negara Soviet itu pun tidak mahu ketinggalan. Akan tetapi mereka menghantar Mil Mi-25, yang dianggap versi ‘monyet’ yang diturun taraf. Bersama dengan helikopter itu juga, dibekalkan persenjataan peluru berpandu usang dan primitif AT-2 ‘Swatter’ berbanding AT-6 ‘Sagger’ terkini yang diguna pakai oleh Kesatuan Soviet. 

Juruterbang Mi-25 Arab menganggap bahawa misil usang itu tidak berguna kerana keupayaan yang rendah. Oleh sebab kelengkapan yang serba lemah itu, maka tentera Syria mengalihkan perhatian mereka membangunkan skuadron helikopter Gazelle. Skuadron tersebut telah membentuk pasukan yang telah menggerunkan IDF (tentera Israel) dan telah menimbulkan banyak tentangan terhadap ketumbukan musuh ketika konflik Lubnan 1982. Menurut catatan dengan kukuhnya skuadron Gazelle dan kelambatan penyediaan dan kelemahan Mi-25, helikopter tersebut tidak digunakan dalam konflik tersebut[17].

ii. Mil Mi-25 di Iraq

Iraq menerima helikopter eksport ini pada tahun 1977. Helikopter tersebut terlibat dengan aktif ketika Perang Iran-Iraq (1980-88). Kesatuan Soviet yang sedang berhadapan dengan Perang Afghanistan begitu lambat menghantar helikopter ke rantau lain kerana keperluan yang mustahak. Juruterbang Iraq menyukai versi ini kerana jarak operasi yang sesuai, beban muatan senjata, kelajuan, serba boleh. Akan tetapi, masalah yang timbul adalah sistem persenjataan yang kurang tepat dan keboleharapan yang rendah, saiz yang besar dan tiada kelincahan. Mi-25 Iraq tidak pernah dilengkapi dengan peluru berpandu termaju seperti AT-6, tetapi hanya dibekalkan dengan misil At-2B yang mempunyai kuasa penembusan yang rendah.

c.    Kereta Kebal: T-72M1

Menurut buku Osprey Duel 18: M1 Abrams vs T-72 Ural, Zaloga (2009) telah mengkaji satu versi kereta kebal eksport Kesatuan Soviet ketika era Perang Dingin. Pihak Soviet telah memutuskan pada tahun 1976, kereta kebal T-72 adalah versi eksport yang menggantikan kereta kebal T-62 oleh negara pelanggan yang lain. 

Secara umum, adalah menjadi kelaziman pihak Soviet untuk mengutamakan kereta kebal tercanggih seperti T-64 dan T-80 yang ditempatkan di Jerman Timur dalam bersiap siaga terhadap musuh Perang Dingin, iaitu NATO. Oleh itu, versi tercanggih itu tidak dibekalkan keluar negara Soviet, sebaliknya hanya versi diturun taraf dihantar ke negara pelanggan seperti negara Arab.

Menurut buku The Illustrated Dictionary of Tanks of the World: From World War I to the Present Day, Miller (2003) mengatakan bahawa:

 ‘T-72 yang dibina untuk Tentera Soviet/Rusia mempunyai versi eksport yang seiring, walaubagaimanapun diketahui kemudiannya dan seringkali tidak mempunyai kecanggihan kelengkapan dan perlindungan perisai armor daripada kereta kebal Soviet yang setara. (p. 270)[18]

Berdasarkan polisi Kesatuan Soviet, negara pelanggan seperti Iraq tidak menerima apa-apa yang sama taraf kualiti seperti kereta kebal terbaik Soviet. Terdapat banyak versi T-72, versi terbaik adalah T-72M1 yang digunakan oleh tentera Iraq ketika Perang Teluk 1991.
T-72M1 miik tentera Iraq


Kesatuan Soviet untuk membenarkan negara klien membina versi T-72, yang terkebelakang daripada kekuatan sebenar Soviet dalam rangka perlindungan perisai (armor protection) dan sistem kawalan tembakan. Teknologi tersebut ditetapkan piawaian terkebelakang beberapa tahun daripada teknologi terkini Soviet. 

Pihak Kesatuan Soviet tidak menghantar amunisi akreta kebal terbaik kepada negara pelanggan, menyebabkan tentera Iraq terpaksa bergantung dengan amunisi kelas kedua untuk kereta kebal T-72 mereka. Kekurangan yang mendesak ini ditampung oleh Iraq yang mengeluarkan amunisi yang jauh kurang kualiti dan terbukti tidak dapat memberikan ancaman serius kepada ketumbukan armor Amerika Syarikat ketika merebut kembali Kuwait pada 1991 dan kejatuhan Baghdad pada 2003.

Sungguhpun negara Soviet mengenakan sekatan atas Iraq kerana konflik Iran-Iraq pada 1980, tetapi negara tersebut telah menggalakkan sendiri sekutu mereka iaitu negara Poland dan Czechoslovakia daripada Pakatan Warsaw untuk dihantar ke Iraq. Sebaliknya, walaupun dibekalkan dengan jumlah yang banyak, kereta kebal tersebut dibina dengan kit teknologi murahan daripada Poland.

Akhirnya terbukti teknologi tersebut tidak dapat mengekang ketumbukan formasi tempur kereta kebal dan kenderaan perisai mekanis menggempur kedudukan tentera Iraq. Oleh sebab terlalu bergantung harap dengan adikuasa lain (yang sememangnya tidak telus membantu) dan kelemahan penguasaan ekonomi dan teknologi, menatijahkan pelbagai kelemahan lain. Justeru, kita menyaksikan tentera Iraq, walaupun ketumbukan elit seperti Pengawal Republikan tidak terdaya menahan kemaraan musuh, kerana kemusnahan yang tinggi di pihak mereka sendiri.


Babak Akhir Anf di Republik Krugis

Dalam babak permulaan episod pertama musim pertama siri animasi fiksyen sains Gundam 00, seorang budak pejuang KPSA, Soran Ibrahim[19] telah terkepung mempertahankan kota Republik Krugis. Gerombolan jentera gergasi MSER-04 Anf milik tentera Kerajaan Azadistan mahu menjajah wilayah bergolak itu. Puing-puing runtuhan rumah dan bangunan di ibukota negara itu sudah tiada lagi dek kerana bahang api peperangan. Tiada yang dapat menahan peluru 30mm Anf melainkan ditembusi. Anggota KPSA semakin berkurangan meskipun diseru melalui ulangan rakaman dengan laungan ‘perang suci.’

Hanya beberapa saat Ibrahim Soran hampir sahaja dibidik dan dibedil oleh meriam di dagu robot itu, tiba-tiba sahaja Mobile Suit usang tersebut telah dipancar dengan alur senjata tenaga dari langit. Selepas itu menyusul kembali beberapa Anf telah ditembak dan langsung rebah.


Akhirnya Ibrahim mendongak ke langit, dan mendapati ada sebuah Mobile Suit berwarna putih yang mengeluarkan zarah-zarah berkilauan kehijauan terapung di udara. Itulah detik yang menjadi titik perubahan dirinya. Rupanya sebuah 0 Gundam, versi prototaip telah dihantar oleh Celestial Being untuk melaksanakan misi pertama campur tangan atas konflik dan menghapuskan kedua-dua pihak.


Sepatutnya kesemua pihak bertelagah akan dibinasakan oleh Mobile Suit itu, tetapi sebaliknya terjadi. Ia telah dipilih oleh Celestial Being untuk menjadi Gundam Meister yang mengoperasikan Mobile Suit Gundam 00 Exia, konon untuk tujuan keamanan. Tetapi dengan harga kebenciannya terhadap agama dan tuhan.


Kesimpulan

Satu nota kaki kecil dalam pengenalan buku Islam at the Crossroads amat menarik perhatian kita dan begitu relevan dikaitkan dalam perbincangan kali ini. Pengarang iaitu Muhammad Asad yang merupakan ahli fikir Muslim mengungkapkan kata-kata seorang lagi pemikir dari Algeria, iaitu Malik Bennabi mengenai kemunduran dan kemurungan Muslim yang tidak berdaya lagi memberikan sumbangan yang penting buat dunia. Kata Malik Bennabi:

‘Dengan kehilangan kreativiti yang mereka miliki suatu masa dahulu, Muslim bukan sahaja bergantung sepenuhnya dengan produk Barat, tetapi mereka juga menjadi “pembeli” teknologi dan metod organisasi Barat dan juga gaya sosial Barat dan juga konsep politik, tanpa menjadi “penjual” yang menyampaikan apa-apa imbangan cetusan positif daripada mereka sendiri kepada Barat.’[20]
Hakikatnya mendung nestapa yang menyelubungi umat Islam tidak keterlaluan jika terlalu menggusarkan. Baik dari segi kegoncangan sosial, kelemahan ekonomi dan kegoyahan politik yang tidak kunjung malap berbalah, permasalahan tersebut tampak rumit dan sukar dirungkaikan. Malah, kemunduran akan teknologi dan kebergantungan sepenuhnya kepada kuasa luar seperti yang disebut oleh tokoh Malik Bennabi tadi adalah satu realiti yang merupakan salah satu kepada natijah kepada permasalahan.

Untuk kembali menempa kejayaan, umat Islam perlu melihat kepada permasalahan yang lebih mustahak, iaitu mengatasi kejahilan dengan ilmu. Ilmu akan menerangi kehidupan kita, lantas menjernihkan kekeliruan. Dengan kukuhnya ilmu yang mustahak iaitu ilmu fardhu ain, maka terbinalah masyarakat yang mengamalkan Islam dalam kehidupannya. Dan dengan itu, barulah mereka dapat melangkah lebih jauh dengan menceburi ilmu fardhu kifayah (kejuruteraan, perniagaan, kedoktoran, dsb) dengan berpegang teguh kepada asas agama Islam yang luhur.



[1] Gunston, B., (1995). The encyclopedia of modern warplanes: The development and specifications of all active military aircraft, blitz editions. Aerospace Publishing Limited: London

[2] Gunston, B. Dan Spick, M., (2001). Modern air combat: The aircraft, tactics and weapons employed in aerial warfare today, m/s 130. Salamander Books Ltd: London.

[3] Cooper, T., (2008). Early mig-23m/ms floggers in action. Dimuat turun pada 20 September 2014 di pautan http://www.acig.org/artman/publish/article_273.shtml.
[4] Ibid, m/s 189.

[5] Ibid, m/s 188.

[6] Ibid, m/s 189.

[7] Ibid, Cooper dalam subtajuk Syrian Problems dan The Slugging-Match over Lebanon.

[8] VHF, very high frequency

[9] VHF omnidirectional range

[10] ILS, Instrument landing system

[11] UHF, ultra high frequency

[12] Identification of Friend or Foe

[13] RWR, Radar Warning Receiver

[14] Cooper, T. Dan Yaser al-Abed, (2003). Syrian tank-hunters in Lebanon, 1982. Dimuat turun pada 24 September 2014 di pautan http://www.acig.org/artman/publish/article_279.shtml.

[15] Ibid, Cooper, T. Dan Yaser al-Abed.

[16] Cooper, T., dan Farzad Bishop, (2007). Fire in the hills: Iranian and Iraqi battles of autumn 1982. Dimuat turun pada 17 September 2014 di pautan http://www.acig.info/CMS/index.php?option=com_content&task=view&id=59&Itemid=47.

[17] Ibid, Cooper, T. Dan Yaser al-Abed.

[18] Miller, D., (2003). The illustrated dictionary of tanks of the world: from world war i to the present day. Salamander Books: USA

[19] Watak utama ini digambarkan bahawa ia adalah seorang budak yang bernama Soran Ibrahim dan berimejkan sebagai seorang ekstremis Muslim. Dalam konflik Republik Krugis yang dijajah oleh kerajaan Azadistan, Soran Ibrahim sebagai perajurit KPSA yang mempertahankan kedaulatan negaranya akhirnya  menjadi murtad dengan tidak mempercayai adanya tuhan. Terkemudian dalam siri tersebut, watak ini berubah nama kepada Setsuna F. Seiei, pemandu Mobile Suit Gundam 00 Exia.

[20] Muhammad Asad, (2005). Islam at the crossroads. The Other Press: Kuala Lumpur.