Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Monday, April 12, 2010

[SI] Terry Brooks: Penulis Fantasi Menulis Genre Sains Fiksyen


“THE BLAST OF LASERS FILLS EVERY PAGE, And as soon as someone settles in for some quiet insight, it’s quickly broken up by explosions and swordplay... What follows are 250 pages of epic battles, intricate hand-to-hand fights, and narrow escapes.” ~Arizona Daily Republic

“Written by accomplished fantasy novelist Terry Brooks... The background Brooks provides helped me to follow the fast-paced beginning of the film. I already knew enough about the political situation faced by Jedi Master Qui-Gon Jinn and his apprentice, Obi-Wan Kenobi. That allowed me to attempt to take in the sweeping scenes of Lucas’ digitally enhanced film.” ~USA Today


Novel sains fiksyen saga Star Wars Episode I: The Phantom Menace, diterbitkan oleh Del Ray pada 1999 merupakan tulisan Terry Brooks yang telah mencapai tahap The #1 New York Times Bestseller. Perkara yang menarik ialah Terry Brooks, seorang penulis genre fantasi telah diberi kepercayaan oleh George Lucas untuk tugas ini. Ini kerana, penulisan genre fantasi agak berbeza dengan genre sains fiksyen yang lebih menekankan aspek sains dalam penceritaan, latar dan watak. Terry Brooks merupakan penulis saga Sword of Shannara (bermula 1977), dengan novel beliau Wishong of Shannara telah mencapai The #1 New York Times Bestseller pada 1985 dan #2 untuk enam novel yang lain.

Berikut merupakan intisari ringkasan wawancara antara pihak penerbit Del Ray dengan Terry Brooks tentang kejayaan beliau dalam menghasilkan Star Wars Episode I: The Phantom Menace (TPM). Isi wawancara ini telah saya susun mengikut kesesuaian kelompok isu yang dibicarakan. Terry Brooks berkongsi pengalaman beliau menulis TPM dan sebahagian teknik-teknik penulisan berkenaan karya-karya beliau.


Permulaan Novelisasi

Segalanya berpangkal sejak tahun 1977, apabila Star Wars (George Lucas) dan Sword of Shannara (Terry Brooks) telah menerbitkan karya bimbingan editor Judy-Lynn Del Ray. Judy-Lynn dan suaminya Lester telah memberi kepercayaan kepada projek mereka berdua. Tambahan lagi, Judy-Lynn dan Lester amat berminat akan penekanan komponen penceritaan (storytelling) yang dimiliki oleh George Lucas dan Terry Brooks.

Sebagai seorang penulis yang berkecimpung dalam genre fantasi, Terry Brooks telah bertanya kepada George Lucas berkenaan tugas beliau menulis adaptasi filem TPM tersebut. George Lucas menjawab, “Tidak mengapa, saya tidak membuat filem sains fiksyen.” George Lucas memaksudkan, Star Wars diberikan penekanan aspek storytelling, sepertimana norma penulisan fantasi. Mungkin pada kebiasaannya genre sains fiksyen memerlukan pengetahuan teknikal yang mendalam, berbeza dengan genre fantasi. Maka, perkara ini sedikit sebanyak memudahkan kerja Terry Brooks.

Tembok Cabaran


Satu cabaran yang besar bagi Terry Brooks dan George Lucas ketika awal kemunculan Star Wars dan Shannara ialah genre fantasi dan sains fiksyen agak terabai dan masih diragui nilai komersilnya. Dipercayai bahawa tidak ada karya fantasi (dan sains fiksyen) yang mampu bertahan di pasaran dan mempunyai peminat yang ramai seperti J. R. R. Tolkien, pengarang trilogi Lord of the Rings. Tetapi Lester Del Ray begitu percaya bahawa Star Wars dan Shannara mampu memecah persepsi ini. Perlu diambil kira bahawa kedua-dua karya, Star Wars dan Shannara telah membuka ruang serta merintis harapan kepada kesemua buku dan filem yang berorientasikan storytelling pengembaraan. Kedua-dua karya tersebut begitu berpengaruh sehinggakan merubah corak penulisan dan pembuatan filem genre tersebut sehingga kini.



Daripada Filem kepada Novel

George telah meminta Brooks untuk menulis TPM daripada sudut yang berbeza dalam mengadaptasi filem tersebut, iaitu menceritakan pada sudut pandangan Anakin. Brooks mempunyai fleksibiliti dan kebebasan untuk mengolah material baru dalam penceritaan.

Novel TPM merupakan lanjutan daripada filem tersebut. Penceritaan dimulakan di lokasi baru dan memberikan maklumat kepada latar dan watak. Menurut beliau, mengadaptasi novel daripada filem bukanlah sesuatu yang sukar seperti yang disangka. Bahkan, hanya perlu mendapatkan skrip dialog dan latar tempat, kemudiannya dihuraikan dengan lebih mendalam. Beliau mengingatkan bahawa peminat filem mahu mendapatkan cerita yang ditulis benar-benar berdasarkan kepada filem yang mereka tonton. Segalanya perlu dijelaskan dalam novel tersebut.


Tips menulis oleh Terry Brooks



1.Outline

a.Inspirasi ataupun panduan?

Terry Brooks ditanyakan apakah panduan beliau dalam menulis. Ini kerana norma sebahagian daripada penulis menulis daripada outline (dalam PTS, dinamakan sebagai sinopsis) daripada awal sehingga selesai karya. Manakala ada pula yang lain bersumberkan kepada inspirasi semata-mata memimpin mereka.

Beliau menjawab, “Saya percaya sepenuhnya bahawa karya harus diusahakan dengan berpandukan outline. Saya percaya, terutama berdepan dengan fiksyen yang panjang, outline akan membuatkan anda tersusun dan lebih fokus. Walaubagaimanapun, saya tidaklah terlalu kaku menurut sahaja outline itu, tetapi akan berubah mengikut kesesuaian. Tindakan ini dibuat bagi menyesuaikan dengan idea baru dan lebih baik. Namun demikian, saya lebih suka untuk sentiasa merujuk kepada blueprint (outline) yang telah tersedia.”

“Juga, dengan adanya outline, panduan tersebut akan mendesak anda untuk fokus memikirkan jalan cerita dan menyingkirkan perkara yang tidak perlu dan titik kelemahan. Oleh yang demikian, saya kerja mengedit dan pembetulan akan dikurangkan.”


Beliau ditanyakan lagi, “Ramai orang mengatakan bahawa penulis bekerja semata-mata berdasarkan ilham inspirasi, menunggu masa ‘mengena’ dan kemudian diolah semula di atas kertas dengan penuh kreativiti.”

Terry Brooks menyangkal bahawa pendapat sedemikian adalah kurang tepat. Beliau mengatakan bahawa ramai penulis menulis bergantung kepada inspirasi kerana kerja outlining tidak berkesan untuk mereka. Penulis mengurus material penulisan mereka dengan pelbagai cara. Tetapi beliau percaya bahawa adalah lebih penulis menulis sesuatu yang telah melalui persediaan yang mantap.

b.Bagaimanakah kadar spesifik outline tersebut?

Menurut Terry Brooks, cara yang baik untuk merangka outline ialah dengan membuat babak demi babak, dengan mengambil kira sekurang-kurangnya titik-titik paling penting dalam ‘lengkungan cerita’ (arc of storytelling) penulis.

Untuk ini, penulis seharusnya peka dalam satu-satu bab tersebut:

(i) Watak apakah yang akan muncul?
(ii) Apakah perkara yang akan berlaku?
(iii) Apakah sudut pandang penceritaan?
(iv) Bagaimanakah babak kecil tersebut tersebut disudahi?

Beliau menasihati bahawa perlunya ‘hidup bersama cerita anda dan watak di dalam minda anda sebelum anda memulakan penulisan walaupun sepatah perkataan.’



2.Keunikan Watak

Antara isu yang ditanyakan kepada beliau ialah keunikan watak dalam karya Shannara. Watak tersebut mempunyai dilema yang amat rumit dan penuh dengan pertentangan dalam satu karakter, bertuah tetapi pada masa yang sama dibayangi sumpahan dengan ilmu dan kuasa.

Terry Brooks menjawab mengapakah beliau membawakan perwatakan begitu rupa, kerana bagi beliau, “Manusia ini hidup dengan penuh konflik dan pertentangan. Jelasnya, perkara ini seolah-olah cerminan kepada orang-orang yang selalu berbuat jahat. Tambahan lagi, saya tertarik akan manusia yang diberikan kuasa dan juga tanggungjawab yang besar, tetapi harus menggunakan sebaiknya.”

“Kadangkala perkara ini terlalu membebani mereka. Kadangkala mereka gagal. Adakalanya juga konflik yang berlaku memberi kesan kepada mereka, kerana penggunaan kuasa secara semulajadinya amat mempengaruhi dari segi emosi dan fizikal seseorang.”

Beliau menyudahi pertanyaan tersebut, “Bagaimana mereka menghadapi semua ini, memberikan kelebihan kelancaran dari segi penceritaan (storytelling) dan sebagai koreksi kepda kita dan hidup kita.”


3.Shannara & LoTR
a.Di Persimpangan


Karya genre fantasi Shannara tulisan Terry Brooks seringkali dibandingkan dengan trilogi Lord of the Rings (LoTR) tulisan J. R. R. Tolkien. Apabila ditanyakan, “Adakah (Shannara) terhutang budi kepada LoTR? Adakah merasa tercabar kerana persepsi ini?”

Beliau menjawab, “Saya berbesar hati apabila Shannara dibandingkan dengan LoTR. Tetapi saya tidak fikir kedua-dua itu tampak serupa, kerana luarannya juga hampir-hampir serupa. Tolkien menyusun karya beliau berlainan sekali dari sudut pandangan dan latar daripada saya. Saya lebih bersetuju, beliau adalah guru yang unggul dan hampir-hampir kesemua penulis fantasi telah membaca karya dan terhutang budi kepada beliau.”



b.Di sebalik wajah Shannara

Jika Shannara dan LoTR tampak serupa, bagaimanakah Shannara mampu menarik perhatian peminatnya?
Terry Brooks mengatakan bahawa Shannara merupakan cerita yang besar, merangkumi set sejarah saga (cerita yang panjang, bersambung-sambung) yang berlatarkan satu dunia khayalan (imaginary world) dan kuasa magis menggantikan sains.

Kekuatan utama Shannara adalah melalui penceritaan (storytelling). Seperti yang dinyatakan pada awal tadi, bahawa daya tarikan penceritaan novel Sword of Shannara telah menarik penerbit Del Ray untuk meletakkan sebagai keutamaan dalam penerbitan.

Terry Brooks menganalisa bahawa pembaca fantasi amat berminat kepada kriteria-kriteria yang berikut, iaitu

(i) Pembaca dibawa mengembara ke tempat yang pelik dan eksotik
(ii) Merasai bahawa seolah-olah mereka berada dalam dunia tersebut.
(iii) Mereka mahukan pengalaman teruja (excitement), ketakutan (fear), keraguan (doubt) dan kegembiraan (exhilaration) yang dialami oleh watak-watak


Rumusan Inspirasi
Beliau ditanyakan nasihat beliau kepada para penulis dalam wawancara tersebut. Beliau menjawab, “(Hanya) sepuluh kata. Baca, baca, baca. Outline, outline, outline. Tulis, tulis, tulis. Kemudian ulang.”


Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat



Rujukan & Tambahan:

1. Brooks, T., (1999). Star wars episode I: The phantom menace. Del Ray Book: USA

2. Windham, R., (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Limited: London

Friday, April 2, 2010

[Tips Saifai] Menjana Plot Dengan Idea Sejarah


Antara perkara yang paling mencabar dalam menulis ialah perkembangan cerita ataupun dinamakan sebagai plot. Plot cerita amat penting bagi sebuah karya. Seseorang penulis harus mempunyai jalan cerita yang unik, istimewa serta pada masa yang sama menarik minat pembaca untuk terus menikmati karyanya.

Dalam bengkel sains fiksyen dan fantasi (saifai) PTS kali ke-2 pada 2007 dahulu, terdapat satu tips untuk mendapatkan idea jalan cerita. Salah satunya adalah idea daripada sejarah. Sejarah merupakan himpunan cerita-cerita terdahulu yang serba lengkap sifatnya. Ada watak protagonis (penggerak utama cerita), watak antagonis (yang sering melawan arus dan merumitkan cerita) dan watak-watak sampingan yang lain. Sejarah terdapat latar tempat, masa, kebudayaan dan pemikiran. Paling penting adalah sejarah memberikan jalan cerita yang mungkin berbeza satu dengan yang lain.

Akan tetapi, idea sejarah manakah yang harus diambil? Aspek sejarah merupakan sesuatu yang amat luas lagi jauh menjangkau ribuan tahun. Sejarah tercatat sejak awal-awal peradaban sehinggalah sekarang, lain tempat pasti mempunyai kerangka fikir yang berbeza. Sebagai contoh, hendak menggunakan konflik zaman tamadun Rom di Barat, pasti berbeza sekali dengan tamadun China di Timur walaupun dalam rangka masa yang sama. Sejarah juga merangkum tamadun Islam (zaman Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam, Khulafa ar-Rasyidin, Andalusia, Umaiyah, Uthmaniyyah, Melayu dan sebagainya), tamadun Barat. Maka, pilihan amatlah luas. Bagaimanakah caranya mahu mendapat modal idea sejarah yang baik? Banyakkan membaca!

Dalam membicarakan sains fiksyen dan fantasi (saifai), diperhatikan bahawa penulis mahupun penerbit filem dan game menggunakan aspek sejarah sebagai modal plot mereka. Mari kita lihat dua contoh.


Trilogi STARWARS merupakan contoh yang baik dalam menyentuh perkara ini. Dalam Episod III: Revenge of the Sith, babak pelaksanaan arahan kejam Order 66 merupakan titik penting dalam mengakhiri riwayat legasi kaum Kesatria Jedi oleh seterunya, kaum Sith. Kedua-dua kesatria ini bermusuhan selama berabad-abad tanpa henti sehinggalah kaum Sith seakan-akan pupus. Akan tetapi, salah seorang kaum Sith yang masih hidup, iaitu Darth Sidious telah menyusun konspirasi tahap tinggi yang akhirnya dendam kaum Sith terlaksana jua.


Darth Sidious telah menggerakkan Perang Clone dalam merealisasikan dendamnya. Galactic Republic yang terumbang-ambing yang hanya dipertahankan oleh Kesatria Jedi berada dalam keadaan yang genting. Saat inilah yang dinantikan oleh Darth Sidious iaitu sedia meluluskan askar-askar klon (Clone Troopers) untuk mempertahankan Republic daripada serangan pihak pemberontak Separatist.

Kesatria Jedi secara automatis berpangkat sebagai komander ataupun jeneral kepada Clone Troopers. Padahal, tanpa Kesatria Jedi menyedari, Clone Troopers telah terlatih untuk mematuhi Order 66 untuk membunuh mereka kerana dianggap sebagai pengkhianat Republic pada suatu masa kelak.


Kini saat dinanti menghapuskan Kesatria Jedi semakin hampir. Kesatria Jedi yang dianggap sebagai pembawa kestabilan order Jedi, Anakin Skywalker telah dikuasai sisi gelap Force. Anakin Skywalker telah menjadi Darth Vader yang dipenuhi dengan perasaan dendam dan marah. Anakin telah tertipu akan Darth Sidious yang telah menjanjikan isterinya Padme akan terselamat dengan kuasa Dark Side. Dengan keadaan Kesatria Jedi yang bertebaran di serata galaksi memimpin Clone Troopers, mereka menjadi sasaran mudah apabila diperintahkan oleh Darth Sidious melaksanakan Order 66.


Peristiwa Order 66 merupakan kemuncak kepada trilogi STARWARS buat sekian lama sejak Episod IV: A New Hope ditayangkan pada 1977. Peristiwa tersebut tersusun dengan kompleks sekali, sehingga motif Darth Sidious hanya dikesan pada saat-saat akhir pelaksanaannya.

Saya kira Georgre Lucas mengadaptasi satu peristiwa sejarah yang benar-benar terjadi pada masa lampau dalam babak Order 66 ini. Order 66 mempunyai persamaan dengan Operasi Valkyrie yang dilancarkan oleh gerakan Resistance anti-Nazi dalam Wehrmacht, Angkatan Tentera Darat Jerman dalam Perang Dunia Kedua. Operasi ini dipopularkan dengan sebuah filem Valkyrie arahan Bryan Singer (pengarah X-Men dan Superman Returns) yang dibintangi oleh Tom Cruise sebagai Kolonel von Stauffenberg.


Hitler telah menjadi Fuhrer bangsa Jerman sejak 1934. Cita-citanya ingin meletakkan bangsa Aryan Jerman sebagai pemimpin terulung Eropah bawah naungan Third Reich selama seribu tahun. Hitler memimpin Parti Sosialis Nazi dan mengheret Eropah ke kancah api peperangan. Pada tahun 1942, Hitler telah kehilangan 6th Army di Stalingrad dan Afrika Korps di Afrika Utara. Menjelang 1944, empayar Hitler semakin diasak oleh tentera Berikat dan tentera Rusia. Jerman di ambang bahaya.


Menyedari malapetaka yang menimpa, sekumpulan jeneral Wehrmacht yang dikenal sebagai Resistance telah berhimpun dan merancang untuk menjatuhkan Hitler. Ini kerana pada pandangan mereka, Jerman sedang mengalami kekalahan jika Hitler berkeras untuk meneruskan peperangan.

Atas: Trailer filem Valkyrie (2008)
Atas: Belakang tabir Valkyrie

Hasilnya adalah mengubahsuai Operasi Valkyrie. Operasi tersebut sengaja dimanipulasikan oleh pegawai turus tentera simpanan Wehrmacht yang bernama Kolonel Stauffenberg. Pelan dirombak bagi membolehkan tentera simpanan mengikut prosedur dengan serta-merta menahan personel Parti Nazi dan Waffen SS di serata Jajahan Eropah atas sebab disyaki akan merampas kuasa jikalau Hitler benar-benar mati. Usai kematian Hitler dan Parti Nazi serta Waffen SS ditahan, maka pemimpin Resistance akan mengambil alih kuasa Fuhrer. Resistance mahu menghentikan peperangan dan berdamai dengan Pihak Berikat demi menghalang lebih banyak kemalangan jiwa akibat peperangan. Aneh sekali, operasi tersebut telah diluluskan sendiri oleh Hitler dan tindakannya hampir-hampir meragut nyawanya.


Sebagai syarat untuk Operasi Valkyrie dilancarkan, Hitler mesti mati. Oleh yang demikian, Kolonel Stauffenberg telah ditugaskan untuk membunuh Hitler. Kolonel tersebut berjaya meletakkan beg berisi bom semasa Fuhrer itu sedang mengadakan sidang konferens bersama jeneralnya. Bom tersebut meletup lalu Kolonel Stauffenberg berjaya meloloskan diri ke Berlin.

Operasi Valkyrie telah dilancarkan. Tentera simpanan Wehrmacht telah melaksanakan tugasnya. Akan tetapi malang bagi Resistance, Hitler masih hidup dan mengarahkan Operasi Valkyrie dibatalkan dengan serta-merta. Akhirnya, Kolonel Stauffenberg dan ahli Resistance telah menghadapi hukuman mati dek pengkhianatan mereka. Peristiwa ini dikenal dalam sejarah Perang Dunia Kedua sebagai ‘Plot Julai,’ iaitu pada 20 Julai 1944 Operasi Valkyrie hampir menemui kejayaan tetapi sebaliknya yang berlaku.


Ciri-ciri Order 66 STARWARS menyamai Operasi Valkyrie dalam Perang Dunia Kedua. Arahan Operasi Valkyrie mengkehendaki tentera simpanan Wehrmacht bertindak menahan Parti Nazi dan Waffen SS apabila Hitler mati kerana mereka disyaki akan merampas kuasa. Manakala melalui pelaksanaan Order 66, Clone Troopers diarahkan untuk membunuh semua Kesatria Jedi yang menjadi pemimpin perang mereka tanpa banyak soal, atas alasan mereka telah menjadi ancaman kepada Galactic Republic. Akhirnya, Kesatria Jedi menemui nasib malang dihapuskan dengan cara yang sadis sekali. Dendam kesumat Darth Sidious tercapai jua. Kini, ia adalah orang yang paling berkuasa dalam galaksi. Dengan kuasa yang ada, sistem demokrasi yang diamalkan oleh Galactic Republic telah digantikan dengan sistem autokratik ataupun kuku besi Galactic Empire.


Dalam kes yang lain pula, terdapat penganalisa novel trilogi Lord of the Rings tulisan J. R. R. Tolkien yang mengatakan bahawa beliau menggunakan tema Perang Dunia I dalam novel beliau. Penganalisa membuat andaian bahawa bangsa-bangsa manusia, elf, orc, orang kerdil dwarf, Hobbit mencerminkan bangsa-bangsa yang bersengketa dalam Perang Dunia I. Orc dibayangkan sebagai makhluk yang agresif, rakus, ganas sepertimana Imperium Jerman yang begitu militaristik dan mahu melebarkan kekuasaan secara paksa. Manakala Hobbit yang bertubuh kecil, lemah dan sedikit pula dibayangkan sebagai bangsa Yahudi yang ketika itu lemah, tetapi begitu signifikan dalam mengubah nasib dunia. Human dan elf pula seperti pihak Berikat yang menjadi harapan tetapi sentiasa dibelenggu masalah antara mereka.


Penganalisa mengajukan persoalan-persoalan ini kepada J. R. R. Tolkien (beliau sendiri merupakan veteran perajurit British dalam perang tersebut), tetapi beliau mengambil sikap berdiam diri sahaja, membiarkan karya beliau ditafsirkan dengan bebas. Saya kira beliau bertindak tepat. Dengan membiarkan orang menafsirkan novel beliau, maka akan bertambah kaya lagi rencana perbincangan ilmiah sihat. Mungkin juga tepat idea sejarah yang telah dikemukakan kepada beliau. Ini kerana sejarah tidak ada hak cipta, semua orang boleh mengambilnya. Terpulang kepada kebijaksanaan penulis untuk mengolahnya. Mana tidaknya ada orang berkata, 'tidak kisah anda mengambil daripada sumber yang sama, persoalannya ialah bagaimanakah anda mengolah cerita tersebut.'

Kini, modal sejarah sudah ada! Anda hanya perlu memilih kerangka masa yang sesuai berdasarkan keserasian cerita. Ataupun, beberapa modal cerita digabung jalin dan seterusnya menghasilkan satu aliran cerita baru. Pengubahsuaian haruslah kreatif sehinggakan mencetus satu aliran idea lain daripada yang lain. Jalan cerita yang stereotaip ataupun cliche sudah banyak dijaja elakkanlah, kerana akan membangkitkan kebosanan kepada pambaca yang mahukan kelainan.

Modal sejarah hanyalah sebagai dasar ataupun pencetus ilham. Di sinilah letaknya kebijaksanaan seseorang penulis dalam mengkayakan corak karya yang kreatif lagi menarik! Selamat mencuba!

Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat



Rujukan:

1. Stover, M., (2005). Star wars: Revenge of the
sith
. Del Ray Books: USA.

2. Ryder dan Windham, (2007). Star wars: The ultimate visual guide special edition. DK Limited: Australia

3. Knappe, S. dan Brusaw, T., (1992). Soldat: Reflections of a german soldier, 1936-1949. Dell Book: New York

Thursday, April 1, 2010

Membongkar Ideologi Filem Sains Fiksyen & Fantasi: Mukaddimah


Sains fiksyen ataupun singkatannya saifai adalah 'balutan' kepada ideologi-ideologi ataupun konsep falsafah yang telah wujud. Dalam erti kata lain, saifai menyampaikan maksud ideologi tersebut dengan tersembunyi di sebalik wajah saifai. Perbincangan ini termasuk juga genre fantasi yang seringkali digandingkan dengan genre sains fiksyen.


Perkara ini boleh dikesan jika diperhatikan dengan teliti. Filem, novel dan game sains fiksyen dan fantasi mengandungi ideologi dan falsafah yang tersirat. Filem terutamanya, ramai yang sekadar menonton tanpa mengesan apakah ideologi dan falsafah yang tersirat. Amat penting bagi seseorang menapis segala yang diterima. Ini disebabkan seorang manusia mempunyai pemikiran separa sedar ataupun sub-concious mind. Jika tidak ada benteng pemikiran yang secukupnya, tanpa kita sedar, kita telah mengakui dan mengiakan ideologi dan falsafah yang kita peroleh. Tahun ini menyaksikan beberapa filem yang menarik minat saya dan teruja untuk membongkar apakah tersirat di sebalik topeng sains fiksyen dan fantasi.



Telah maklum bahawa antara filem fantasi yang bakal menggegarkan dunia filem adalah Clash of the Titans(CotT) dan Prince of Persia (PoP). Filem CotT membawakan penjelmaan semula filem tersebut yang telah diterbitkan pada 1981. Saya menjangkakan dengan sentuhan grafik canggih, pastilah akan bertambah hebat kesannya. CotT akan mengetengahkan khayalan epik-epik pertembungan tragedi dewa dewi (manusia dan raksasa yang dituhankan) dalam tamadun Yunani. Barat secara zahirnya telah meninggalkan agama, tetapi hakikatnya mereka tidak terlepas kepada mitos-mitos libur yang dianggap dapat melepaskan diri mereka daripada soalan-soalan asas yang membelenggu hidup mereka.

CotT merupakan manifestasi daripada ciri-ciri tamadun mereka yang berakar umbi kepada kebudayaan dan tamadun Yunani-Rom, iaitu mereka menganggap bahawa mereka menganggap "pengalaman kesengsaraan hidup sebgai satu kepercayaan yang mutlak yang mempengaruhi peranan manusia dalam dunia," seperti yang dijelaskan oleh cendiakawan Islam ternama, Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas dalam huraian penting beliau mengenai umat dalam Risalah untuk Kaum Muslimin. Syed Naquib merumuskan ciri ini dengan istilah 'pandangan hidup yang tragik' Beliau menghuraikan lagi konsep ini dengan mengatakan:

"Sedari zaman kuno Yunani Kuno lagi kita lihat bahawa bangsa-bangsa Yunani itu menganggap tragedi sebagai satu unsur penting kehidupan manusia:

bahawa manusia merupakan pelakon dalam drama kehidupan dan pahlawan-pahlawannya membayangkan watak yang tragik.

Faham tragedi kehidupan disebabkan oleh kehampaan kalbu akan nikmat iman."

Kehampaan ini adalah akibat dari falsafah penduaan (dualisme) mutlak yang mengikrarkan adanya dua hakikat yang saling bertentangan antara satu sama lain hingga menimbulkan syak serta ketegangan jiwa.

Keadaan jiwa yang tidak tenteram ini mengakibatkan pula rasa takut dan sedih mengenangkan nasib dirinya. Keadaan jiwa yang tegang ini jugalah yang menganjurkan orang Barat, yang mensifatkan kebudayaannya, untuk mencari jawapan bagi soal-soal abadi, untuk giat berusaha menyelidik dan mengkaji dan mereka (mencipta) teori-teori baharu, mengemukakan masalah-masalah asal-usul alam dan manusia dan lain-lain renungan yang dianggapnya sebagai ilmu pengetahuan.

Pengembaraan dalam alam fikiran dan renungan yang tiada berakhir ini merupakan semangat Kebudayaan Barat, dan sesungguhnya mereka tiada ingin mengakhirkan pengembaraan itu justru sebab pengembaraan itu sekurang-kurangnya meringankan beban kekosongan dan kesunyian kalbu, seolah-olah bagai penawat hati jiwa yang tegang. Semangat Kebudayaan Barat itu membayangkan sesuatu yang 'menjadi' tetapi tiada juga jadi."



Konsep pandangan alam tragik Kebudayaan Barat dapat dilihat melalui filem-filem yang ditayangkan. Asasnya berputar-putar sekitar konsep ini. Pemahaman konsep tragik boleh dilanjutkan dengan mengamati pencerahan daripada Syed Naquib al-Attas dalam buku beliau Meaning of Happiness ataupun Makna Kebahagiaan yang mengoreksi kembali intisari kitab Imam al-Ghazali, Kimia-e-Sa'adah. Anda boleh juga mengamati konsep ini daripada kupasan khutbah oleh Dr. Mohd. Farid Shahran, Timbalan Dekan Kuliyyah Ilmu Wahyu UIAM di pautan ini.


Prince of Persia: The Sands of Time merupakan adaptasi kepada siri saga game Prince of Persia terbitan Ubisoft. Pokok persoalan dalam PoP adalah sebilah pedang yang mempunyai kuasa magis boleh melambatkan ataupun menghentikan masa. Latar cerita amat mengelirukan. Seseorang boleh menyangka bahawa PoP berlatarkan tamadun Islam (berdasarkan senibina dan kostum), tetapi sebaliknya amat berkait rapat dengan tamadun Parsi (beragama Majusi yang menyembah api).

Selamat membongkar ideologi filem. Lihatlah di sebalik wajah yang anda lihat.


Lihatlah Kebenaran Dengan Mata Hatimu...


Rujukan:
1. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas, (2001). Risalah untuk kaum muslimin. Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC): Kuala Lumpur.

2. Prof. Syed Muhammad Naquib al-Attas (n.d). Preliminary to the metaphysics of islam: An exposition of the fundamental elements of the worldview of islam. Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (ISTAC): Kuala Lumpur

3. Dr. Adian Husaini, (2005). Wajah peradaban barat: Dari Hegemoni kristen ke dominasi sekuler-liberal. Gema Insani: Jakarta.

4. Dr. Mohd. Farid Shahran (2009). Happiness in Islam: Friday khutbah at iium mosque on the 6th nov 2009. Dimuat turun pada 2 April 2010 di pautan http://farshah-ibanah.blogspot.com/2009/11/happiness-in-islam.html.