Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, November 17, 2009

[Tips Saifai] Halilintar Idea


Saya teringat pada suatu malam ketika kembali ke UIA Gombak. Pada masa itu, saya duduk seorang. Tiba di satu stesen, datang seorang lelaki beruniform biru duduk di sebelah saya. Daripada pakaiannya saya faham bahawa beliau seorang pegawai Rapid KL.

Saya sedang asyik dengan coretan dan lakaran pada buku nota kecil saya. Idea mencurah-curah, sehinggakan saya terleka tidak perasan LRT berada di stesen mana. Sesekali saya berhenti, memandang siling LRT, cermin luar ataupun tunduk sebentar mengambil nafas. Kemudian saya menyambung semula. Tanpa saya sedari, rupanya tingkah laku saya diperhatikan. Lelaki tadi berkata (saya lupa nama beliau):

“Awak buat apa?”

Saya mula-mula tidak menyedari soalan itu ditujukan kepada saya, “Maaf, encik kata apa?”



“Saya maksudkan encik. Encik sedang buat apa. Sebab jarang ada orang menulis dalam perjalanan macam ini.”

“Oh, saya sedang tulis idea saya.”

Lelaki itu bertanya, “Penulis?”

Saya mengangguk, “Ya, novel fiksyen sains.”

“Banyak idea, ya?”

Saya membalas, sambil tersenyum, “Kadang-kadang. Bergantung kepada keadaan.”

Sambung saya lagi, “Saya teringat ayah saya pernah berkata ‘Cinta itu bagaikan halilintar. Kita tidak tahu di mana dan bila ia memancar ke sasarannya. Seperti itu juga idea. Kita tidak tahu bila idea datang dan di mana timbul’.”

Lelaki itu mengangguk. Saya mengalihkan perbincangan, “Encik baru balik kerja?” Perbincangan itu tidak berlangsung lama. Syukur juga dipertemukan dengan sapaan tersebut. Itulah modal untuk entri kali ini!

Idea ibarat halilintar. Kita tidak tahu bilakah memancar dan di mana mengena. Kalau mengena takdirnya, hujan idea mencurah-curah sehinggakan melimpah pula ditadah.

Idea adalah lintasan-lintasan fikiran. Lintasan-lintasan tersebut harus kita tangkap agar tidak terlepas begitu sahaja. Mungkin juga kita selalu berfikir dan pernah terfikir sesuatu yang baru, ataupun menemukan jawapan yang sangat baik untuk menyelesaikan masalah secara spontan. Tetapi, apabila masa berlalu, idea tersebut beransur hilang dan akhirnya kita terlupa. Ataupun, jika sempat diimbas kembali, kita mendapati idea tersebut tidak akan sama seperti yang asalnya. Ataupun idea asal (yang lebih kurang itu) berkembang dengan lebih baik daripada kita fikirkan tadi.

Seorang penulis ialah individu yang sangat sensitif terhadap persekitarannya. Seseorang boleh menjadikan apa-apa sebenarnya boleh dijadikan modal idea. Hatta sekalipun kipas yang sedang memutarkan pergerakan angin dalam bilik anda, laptop, lantai, tingkap dan lain-lain berpotensi menjadi sebahagian daripada modal idea.



Sebagai contoh apabila berada di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA). Jika anda duduk pada minit-minit pertama, seseorang yang sensitif akan peka terhadap perkara yang berlaku di sekitarnya. Suhu sejuk, lantai licin, pengumuman, orang menolak troli, orang sedang makan, orang sedang berehat, orang sedang berjalan laju, orang yang muka mengantuk, pegawai lapangan terbang yang sedang bertugas, polis yang memeriksa dan sebagainya. Kesemua ini dirakam dalam akal kita dan boleh didapati semula dan disusun kepada babak-babak baru.

Seorang junior di Pusat Asasi UIA tidak percaya saya seorang pelajar Kuliyyah Kejuruteraan menulis sebuah novel. Persepsi ini kebiasaan saya dengar daripada kenalan-kenalan. Kerana lazim di UIA, menulis buku oleh seorang mahasiswa kejuruteraan adalah sesuatu yang mustahil, kerana kebanyakan orang manganggap sains dan teknikal berada di alam lain, dan sastera/penulisan berada di alam lain.

Saya mengimbas kembali dialog bersama beliau, “Bagaimanakah abang boleh tulis buku? Abang dapat idea daripada mana?”

Saya menjawab, “Pensel yang awak guna untuk menulis pun boleh jadi modal idea. Buku kimia seberat lima kilo ini pun boleh juga!”

Junior itu menggaru kepalanya, “Ah, tidak percayalah. Bagaimana buku kimia ini boleh jadi modal! Bukankah buku ini hanya ada fakta, persamaan kimia dan pengiraan?” Bahkan, itulah modal-modal berharga untuk menghasilkan karya kreatif yang bermutu dan kreatif untuk menyampaikan sesuatu mesej!

Saya tertarik dengan konsep idea oleh seorang penulis sains fiksyen yang terkenal, iaitu Orson Scott Card dalam buku beliau How to Write Science Fiction & Fantasy, beliau merakamkan bahawa penulis dan idea ibarat seorang komposer muzik (orang yang menggubah irama lagu) dengan ‘knot-knot’ muziknya. Seorang komposer akan mencuba beberapa irama dengan piano misalannya dan mencatatkannya. Apabila menyusun knot itu nanti, komposer tersebut akan menggabungkan irama-irama yang diciptanya menjadi satu lagu mempersonakan.

Sebagai contoh, mungkin ada beberapa ‘babak kecil dan spontan’ di lapangan terbang berpotensi untuk menjadi adegan-adegan dalam babak-babak yang berasingan. Mungkin dalam satu adegan yang kita sedang tulis, menggabungkan satu babak di KLIA, satu babak di KL Sentral; menjadi satu adegan. Dengan demikian, ‘knot-knot muzik’ tadi digabungkan dan menjadi satu irama yang amat menawan. Ini adalah satu contoh. Jauh perjalanan, maka bertambah luas pemandangan. =)



Scott menasihatkan bahawa untuk menulis (konteks perbincangan beliau ialah karya sains fiksyen) yang baik memerlukan masa yang lama. Paling baik, beliau mengatakan dua tahun. Seseorang penulis mengumpulkan idea-ideanya dan kemudian menyusun dalam rangka yang terbaik. Ini adalah pendapat beliau.

Beliau juga membangkitkan persoalan iaitu ada orang merungut. Jika lama sebegitu, tidak perlulah menulis! Beliau menjawab bahawa itu adalah tempoh yang baik menurut pengalamannya. Jika seseorang berlatih dengan konsisten dan mempunyai kaedah yang baik untuk menjana idea, maka perkara ini akan membantu mempercepatkan hasilan karya. Jika seseorang mempunyai banyak ‘irama’, maka makin cantiklah alunan muzik itu nanti apabila digabungkan.

Walaupun buku tersebut membincangkan teknik untuk mengarang karya sains fiksyen, namun boleh juga dipraktikkan sebahagian kandungannya untuk genre yang lain. Scott meraih Anugerah Hugo dan Nebula (pengiktirafan tertinggi kepada karya sains fiksyen di Amerika Syarikat) untuk novel sains fiksyen beliau, Speaker for the Dead dan Ender’s Game. Jarang sekali seorang karyawan saifai yang menerima kedua-dua anugerah secara serentak.

Tips Menjana Idea:

1.Idea adalah lintasan fikiran. Idea muncul pada masa dan keadaan yang kita tidak ketahui. Idea hanya datang sekali dan biasanya tidak akan ada idea seperti itu lagi. Oleh yang demikian, sentiasa bekalkan diri anda buku nota kecil dan sebatang pen. Coretkan sahaja idea anda. Bak kata Buya HAMKA; ulama dan pujangga tersohor Nusantara,

“Tulislah sahaja ideamu dahulu, baru kemudian dirujuk (disusun) kembali.”




2.Bahagikan buku-buku nota idea tersebut kepada beberapa kategori. Ini akan memudahkan penulisan ketika merujuk semula coretan idea. Pengkelasan kepada kategori mengelakkan idea-idea baik tercicir ketika menulis. Jika idea dilonggokkan dalam satu buku, berkemungkinan idea bercampur baur nanti. Pengkelasan ini dibuat sama ada mempunyai criteria yang sama ataupun nota khusus untuk karya tersebut. Sebagai contoh, “Galaksi Muhsinin jilid VII” dalam buku yang lain, genre “Sejarah” dalam buku lain. Terpulang kepada kreativiti masing-masing untuk mengorganisasi idea.



Perkara yang sama juga dibuat oleh Faisal Tehrani. Perkara ini diceritakan oleh rakan saya. Saya hanya mencatatkannya di sini. Sistem beliau amat menarik. Rakan saya menceritakan, bahawa Faisal Tehrani mempunyai fail-fail. Setiap fail ini menghimpunkan segala maklumat tentang sesuatu perkara dalam satu fail. Apabila hendak menulis, diambil fail dan digunakan terus semasa berkarya.


3.Jika mahu menjadi seorang penulis, sebaiknya seorang itu mempunyai tabiat yang ‘ketagih’ membaca. Membaca akan menimbulkan banyak mentol idea, memperkenalkan kepada idea baru, memperdalam kefahaman ataupun mengaitkan satu idea kepada satu idea yang lain.



Dalam erti kata yang lain, tabiat membaca akan memberikan kelebihan skop pandangan kita dalam menilai sesuatu perkara. Ingin diingatkan, apabila membaca, sentiasa letakkan diri untuk meneliti dengan saksama.

Jika ada kemusykilan, eloklah ditanyakan kepada orang yang ahli dan berpengalaman. Sikap ini akan menyelamatkan kita daripada kuat dipengaruhi oleh sesuatu pihak sehingga menutup ruang untuk kita menilai di pihak yang lain. Sentiasalah berhati-hati terhadap serangan pemikiran yang dilancarkan terutamanya oleh pihak Barat, agar kita bukanlah menjadi pak turut kita. Kajilah apakah latar belakang penulis tersebut dan pemikirannya. Andai kita lemas dalam arus, bagaimanakah pula nanti pembaca yang membaca karya kita? Sama-sama kita fikirkan.




4.Jika anda seorang Muslim, janganlah terbawa-bawa berfikir idea anda semasa ibadah seperti solat dan membaca al-Quran. Bimbang pula merupakan salah satu daripada perangkap-perangkap syaitan. Apalah harga idea-idea bernas kita, jika mencuaikan kualiti ibadah. Hendaklah kita memerhatikan adab-adab ketika beribadah. Mudah-mudahan, hati kita menjadi bersih. Hati bersih, maka ilmu pun muncul mencurah-curah kerana ada keberkatan di sebalik itu.

Jika tiba-tiba pula mencurah-curah idea ketika bermula solat misalannya, mintalah perlindungan kepada Allah dan tumpukanlah kepada solat. Dibimbangi nanti, idea itu bukannya ilham yang baik, sebaliknya angan-angan yang dibisikkan oleh syaitan untuk merosakkan amalan kita.

Dikhuatiri juga, kerana kelalaian kita dalam menunaikan kewajipan akan tercabutlah keberkatan dan usaha gigih kita untuk berkongsi pengalaman, ilmu dan mendidik umat. Kita menyangka berkongsi sesuatu yang baik. Tetapi dek kecuaian kita, mungkin membawa mudarat.



5.Jika anda ingin berkongsi sesuatu ilmu, sebaiknya kita amalkanlah dahulu dan memberikan kesan kepada diri kita. Mudah-mudahan dengan ini juga, akan mendatangkan keberkatan. Imam Ghazali seringkali menekankan, agar kita mengamalkan ilmu yang diketahui. Kerana ilmu yang diamalkan umpama pohon yang berbuah; membawa manfaat kepada dirinya dan orang lain. Sebaliknya, ilmu yang disampai tetapi tidak diamal hanyalah sekadar ilmunya sahaja tetapi tidak ada ‘ruh’ ataupun nilai di sebalik itu. Marilah kita berkongsi ilmu bermanfaat sambil kita mengamalkand engan sungguh-sungguh. Siapa tahu, kerana kejujuran kita, Tuhan menggerakkan hati-hati pembaca untuk beramal dengan sempurna?



Sekian sahaja kali ini! Moga-moga ada manfaat daripad perkongsian ini!

Memandaikan Bangsa Dengan Buku

Berjasa Kepada Masyarakat