Laman Utama Blogger

Ingin Menulis? Klik Sini!

Laman fb SAGA Galaksi Muhsinin

Tuesday, October 28, 2008

[GM] Hologram Hijrah

[Tahun 2205]

Curie, bulan Planet Bavatros,

Galaksi Titania, jajahan Empayar Sibernatik Cyborg



“Markov, apa sudah jadi dengan dunia ini?” Kamal mengadah ke langit. Dia bersama sahabatnya Markov berada di atas bumbung rumahnya. Di langit tampak Planet Bavatros.

“Kenapa, Kamal?”

“Entahlah, saya rasa sangat jemu, meluat, kekosongan. Tidakkah awak merasa keadaan sekitar kita? Keadaan orang-orang di bulan ini? Itu tidak lagi dengan kebejatan di Planet Bavatros. Tentunya orang-orang sekarang mabuk menari di kelab-kelab, ataupun menonton filem ataupun membuat perbuatan tidak senonoh di jalanan?”

Markov diam. “Kenapa, Markov? Tidak adakah jalan keluar?”

“Benar, Kamal. Zaman sekarang banyaknya taghut. Banyaknya berhala-berhala yang disembah manusia. Wang adalah segala-galanya, sebagai ukuran kehidupan. Seolah-olah wang penentu takdir. Agama hanyalah menjadi bahan ritual sahaja. Terkadang menjadi bahan komedi,” jawab Markov.

Kamal berkata, “Nafsu dipertuhankan. Zina menjadi kebiasaan. Runtuhnya akhlak, bejatnya moral. Gabenor dan kuncunya pula korup belaka. Tamadunnya maju, bangunannya tinggi, tetapi moral masyarakat tidak ubah seperti binatang.”


Kamal mengeluh, “Jahiliah digital.”

Kata Kamal, “Tidak adakah jalan keluar? Sungguh, seolah-olah tidak ada cahaya lagi. Kita yang ingin hidup dengan bersih suci, tidak dapat tidak menerima tempias kotoran-kotoran ini. Adakah masih ada jalan keluar?”

“Kerosakan dihadapi ini adalah tanda-tanda kita berada di akhir zaman. Dunia seolah-olah bersedia menunggu kedatangan Dajjal. Berdoalah agar kita tidak berada di zaman itu. Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam berpesan, Dajjal adalah fitnah yang besar,” ujar Markov.

“Bagaimanakah caranya?” tanya Kamal. Katanya lagi, “Engkau tahu?”

Markov mengeluarkan gajet. “Bukankah itu gajet hologram?” Kamal bertanya. Ia kehairanan melihat alat kecil di tangan Markov.

Markov mengangguk, “Mari kita berhijrah, Kamal. Inilah masanya.”

“Hijrah ke mana? Ke mana harus aku pergi. Bulan inilah tempat kelahiran aku. Keluarga aku semuanya telah dibunuh oleh Maharaja Legion, kononnya bersubahat dengan pemberontak koloni planet jiran.”

“Syukur kepada Allah, engkau masih hidup untuk meneruskan perjuangan.”

“Kita berhijrah ke sini,” kata Markov.

“Hijrah ke mana?”

Kedua-dua mereka memandang ke langit. “Tempat yang jauh lebih baik daripada di bulan ini, atau Planet Bavatros yang kita lihat sekarang atau di mana-mana sahaja di semesta ini. Di situlah syurga dunia. Di situlah tempat damainya hati. Di situlah letak tingginya nilai budi dan maruah. Di situlah tidak ada percakapan sia-sia. Di situlah manusia saling menghormati antara satu sama lain. Dan, umatnya bersatu menyembah Tuhan yang satu. Tidak ada yang tertindas, walaupun orang bukan Islam. Semuanya dipateri oleh satu ikatan…”

“Khabarnya seperti utopia sahaja.”

“Ya, memang bunyinya seperti utopia. Terlalu idealistik, terlalu sempurna. Tetapi, apa yang saya sebutkan adalah benar dan realiti. Kegemilangan zaman dahulu telah dibina semula. Suasananya adil seperti zaman Khalifah Umar bin Abdul Aziz. Ilmunya berkembang bak zaman Baghdad dan Andalusia. Obor jihad menyala bak zaman Salahuddin al-Ayyubi.”

“Wah, bagaimanakah dapat kita ke sana?”

“Hendak ke sana, sahabat, bukannya senang. Perjalanannya jauh dan sukar.” Markov menekan punat pada gajet hologram gas. Zarah-zarah biru bergerak dari titik pemancarnya. Zarah-zarah yang pada mulanya bergerak secara rawak kemudian tersusun membentuk imej gugusan galaksi. Zarah-zarah lebih jelas lagi dengan pemancaran sinar biru. Hologram gas selesai melakukan tugasnya.

“Wah, teknologi apakah ini?” Kamal kehairanan.

Markov diam. Gajet mengeluarkan paparan menu. Abjad-abjad dan simbol-simbol rapi terapung di atas gajet. Markov menggerakkan jarinya kepada pilihan menu peringatan ‘Hijrah.’ Sejurus selepas itu, garisan-garisan cahaya bergerak dari satu titik ke satu titik, dari satu bulatan galaksi ke bulatan galaksi yang lain.

“Inilah hijrahku dan hijrah kita. Inilah lintasan yang akan kita lalui. Dari planet ini, bergerak keluar dari galaksi ini, kemudian singgah di Galaksi Yucca, Galaksi Extensor, Galaksi Pavlovia, Galaksi Thylakuid dan seterusnya, ke galaksi destinasi kita. Perjalanan ini terlalu jauh dan berbahaya, sahabat. Kita akan melalui jajahan Empayar Sibernatik Cyborg. Di setiap tempat juga, Liga Lanun berada di mana-mana sahaja, di luar kawalan Empayar.”

Kedua-dua mereka membisu sebentar, Markov bersuara, “Galaksi inilah yang telah menewaskan tentera mekanikal Empayar dan Konfederasi Reconquista. Maharaja Legion kalah teruk, beberapa bulan yang lepas.”

“Apa? Mustahil tentera mekanikal Maharaja Legion dikalahkan! Jika benar, tentulah mereka benar-benar hebat!”

“Kamal, kemenangan semuanya daripada Allah. Bebaskanlah diri engkau daripada didikan penjajah itu. Fikiran rendah diri telah ditanam sekian lama. Kita dilahirkan bebas merdeka. Kita hanyalah hamba kepada Allah, Tuhan yang Esa.”

“Oh... terima kasih atas nasihat. Kami di sini tidak tahu menahu berita ini. Dunia Bavatros ini benar-benar terpisah daripada dunia luar kerana telah mabuk hiburan. Saya sudah muak dengan semua ini.”

“Kalau begitu, eksperimen Empayar telah berjaya. Planet Bavatros dan bulan ini adalah salah satu sistem yang tidak pernah memberontak. Kerana mereka telah disogok dengan segala macam perkara songsang yang ada. Gabenor pula digula-gulakan dengan pelbagai kemewahan,” komen Markov.

“Kenapa kita tidak melalui Galaksi Bimasakti? Bukankah itu lebih dekat?”

“Kerana Kesatuan Antarabangsa Bumi telah dikuasai oleh orang Zion. Mereka mengehadkan keluar dan masuk orang Islam di Bumi. Mereka tidak mahu kekuasaan mereka tergugat.”

“Awak tidak jawab soalan saya tadi, apakah teknologi gajet yang awak guna?” tanya Kamal.

“Senang sahaja. Mahu tidak mahu percaya, inilah bukti kewujudan galaksi yang kita akan hijrah. Teknologi ini berasaskan daripada ayat ketiga Surah Saba’ dan ayat 35 Surah Nuur. Teknologi ini berasaskan zarah dan cahaya.”


“Wah, canggih sungguh.” Kamal terlopong.

“Ayuh, mari kita hijrah. Hijrah diri kita kepada kebenaran dan keadilan. Kepada jalan menuju Tuhan. Kepada jalan mencintai orang yang sangat mencintai kita, Nabi Muhammad sallallahu alaihiwasallam. Ayuh, mari kita berangkat. Saya sudah aturkan shuttle kita.”

“Sebelum itu, adakah kita akan kembali ke sini? Suatu hari kita mesti ubah kerosakan ini.”

“Tanamkanlah niat untuk kembali ke sini. Kita perlu bina kekuatan. Mudah-mudahan dengan keikhlasan kita, Tuhan akan bantu. Semoga Allah bersama kita! Amiin!”

“Apakah nama tempat yang kita tuju?”

Bibir Markov mengukir senyuman. “Galaksi Muhsinin, penyambung warisan Misi Rahmatan lil ‘Alamin...”


Disambung kepada episod kedua Siri Hologram Hijrah: Menjejak Artifak Cakera

NOTA: Ilustrasi kedua dalam entri ini disalin daripada Studio Inspirasi

Thursday, October 23, 2008

Thursday, October 9, 2008

[ESC] Mekatempur (r) Lynx

[ESC] Mekatempur (R) Riesig


NOTA: Mekatempur (R) Riesig berketinggian 33 meter, berkaki 4 (dalam gambar, hanya 3 kaki kelihatan). Terdapat 2 meriam di sisi dan 2 meriam di lengan kanan dan kiri (gambar mungkin tidak jelas).

Wednesday, October 1, 2008

SATU LAGI BEDAH BUKU: GALAKSI MUHSININ



Saya rasa tercas setelah habis membacanya! Mungkin itulah perkataan yang sesuai sebagai gambaran perasaan saya untuk novel sci fi Galaksi Muhsinin.

Suatu ketika dahulu, ketika saya membaca 1511 [Kombat], Ayat-Ayat Cinta dan Hafalan Shalat Delisa, saya juga merasakan perasaan seperti ini, tercas. Hari ini, saya merasakan semula perasaan itu!

Pada mulanya, saya khuatir juga, Galaksi Muhsinin akan ada bayangan 1511 [Kombat] karya Faisal Tehrani. Namun begitu setelah habis membacanya, saya berasa lega kerana jangkaan saya tidak betul. Berbaloi saya tunggu novel ini dari bulan Julai 2008 dan hanya berada di pasaran pada bulan September 2008.

Galaksi Muhsinin dan 1511 [Kombat] mungkin berkongsi tema yang sama iaitu perjuangan Islam dan menggunakan watak-watak orang muda, tetapi dari segi plot cerita, latar belakang dan gaya penyampaian berbeza total. Novel ini ada identitinya tersendiri dan tidak perlu dibayangi oleh 1511 [Kombat], walaupun kekadang saya rasa, akan ada pembaca yang akan cubacuba menyamakan Galaksi Muhsinin dengan 1511 [Kombat].

Galaksi Muhsinin adalah salah satu galaksi yang wujud di alam angkasa,jauh daripada galaksi bima sakti , dihuni oleh penduduk bertakwa, undang-undang Islam tertegak, kemajuan ekonomi, sains dan teknologi tercapai dan rakyat hidup aman damai. Pergerakan manusia bukan lagi dari daerah ke daerah, negara ke negara tetapi dari planet ke planet.

Plot cerita dimulakan dengan pengenalan Khalifah Zulqarnain, seorang pemuda yang memimpin Galaksi Muhsinin. Serangan ke atas planet Ferum ( Planet Hadid Hd-57) telah membawa kepada campur tangan Galaksi Muhsinin untuk membebaskan planet itu daripada kekejaman Empayar Sibernatik Cyborg yang diketuai oleh Maharaja Legion. Legion dan pengikutnya adalah cyborg. Mereka merupakan entiti kombinasi manusia dan mesin. Empayar sudah memerintah hampir 100 tahun dan menguasai 8 galaksi.

Planet Ferum, tempat tinggal koloni Athens sasaran mereka seterusnya. Mereka menyerang bandar-bandar utama, Hierapolis, Knossos dan Blomberg. Namun tiada manusia dijumpai melainkan hanya kemenangan memusnahkan tempat-tempat itu.

Proba spioniereen dilancarkan untuk mencari koloni Athens. Ia mengesan medan tenaga yang dijangka berasal daripada janakuasa di Puncak 363, timur bandar Blomberg planet Ferum.Mereka mengesyaki itulah tempat persembunyian koloni. Jeneral Furious mengarahkan Skuadron Geir, Auge dan pemintas Vormund dihantar untuk membedil kedudukan musuh.

Leftenan Kolonel Sturm, pemimpin sementara koloni Athens merangkap komander tentera koloni iaitu Rejimen Infrantri Phalanx ke-2 dan Batalion Tentera Rakyat Volkssturm ke-7 bimbang. Planet itu akan hancur. Mereka akan ditawan, diperintah oleh cyborg yang zalim. Dia dan koloninya tidak berseorangan di situ. Batalion Mujahidin Jurutera ke-451 ada di sana untuk pembinaan stesen Generetor Impuls Hiper yang masih belum siap lagi. Medan tenaga yang dikesan tadi adalah berpunca dari janakuasa ini.

Mereka menghantar isyarat kecemasan kepada Pusat Radar Kosmik Furqan Fr-25. Mereka mahu bantuan segera!Planet Furqan Fr-25 adalah stesen komunikasi Galaksi Muhsinin. Ia tidak didiami sesiapa melainkan hanya pegawai , krew pusat radar dan batalion mujahdiin.

Khalifah Zulkarnain menghantar Detasmen Mujahidin Elit ke-15 seramai 14 orang yang diketuai oleh Komander Abu Yusuf. Mereka ini orang muda yang menyintai syahid. Mereka ini orang muda yang berjuang untuk memburu syurga. Dan jangan sekali-kali kamu mengira bahawa orang-orang yang gugur di jalan Allah itu mati; sebenarnya mereka itu hidup di sisi Tuhannya mendapat rezeki, mereka bergembira dengan kurnia yang diberikan Allah kepadanya , dan bergirang hati terhadap orang yang masih tinggal di belakang yang belum menyusul mereka, bahawa tidak ada rasa takut pada mereka dan mereka tidak bersedih hati (Ali-Imran 169-170).

Sudah-sudahlah tu Welma. Nanti, habis satu novel Galaksi Muhsinin dicerita. Mujurlah tidak cukup masa. Saya nak "publish" cepat-cepat resensi ini. Kalau tidak, saya mahu sambung lagi, kisah Liga Lanun, Federasi Generasi Zenzaburo dan orang bumi Zion termasuk Maharaja Legion. Keempat-empat mereka ada misi tersendiri tetapi mempunyai cita-cita yang sama iaitu mahu menghancurkan Galaksi Muhsinin. Lagipun, memang saya tidak berniat mahu cerita secara terperinci, seperti biasa, saya syorkan anda membelinya sendiri.

Saya suka gagasan pemikiran penulis yang cuba disampaikan melalui Galaksi Muhsinin. Saya katakan ia sebagai "gagasan perjuangan Islam" dan Galaksi Muhsinin adalah sebuah novel perjuangan Islam. Satu perjuangan bermisi rahmatan lil alamin yang datang bukan untuk memusnahkan tetapi membawa kesejahteraan untuk umat dunia.

Gagasan pemikiran ini menekankan bahawa umat Islam tetap akan cemerlang selagi mana mereka berpegang kepada ajaran Quran dan sunnah Rasulullah. Hidup ini adalah untuk membina amal kebajikan dan harus kreatif memanfaatkan di sekelilingnya untuk misi sebagai insan soleh. Dunia ini hanya tempat sementara, tempat untuk kita bercucuk tanam amal kebajikan dan ini semua bukan alasan untuk kita melupakan akhirat.

Islam datang sebagai pelengkap kehidupan untuk mengatur kehidupan manusia dan kita sebagai manusia harus melengkapkan diri kita dengan Islam. Misi rahmatan lil alamin ini bukan untuk golongan tertentu sahaja tetapi untuk semua, ya, kemakmuran dan kesejahteraan itu untuk semua, tidak mengira bangsa, agama, jantina atau rupa paras. Kewajipan itu terlalu banyak berbanding dengan masa yang ada. Jadi gunakanlah setiap masa yang ada, setiap umur yang ada, setiap nafas yang ada untuk diinfakkan kepada perjuangan yang panjang ini, perjuangan yang bermisi rahmatan lil alamin.

Pada satu-satu ketika, kekadang saya merasakan membaca Galaksi Muhsinin seolah-olah membaca sejarah Islam dan kisah-kisah para sahabat dan kisah-kisah ini cuba dibawa semula dalam konteks dunia baru Galaksi Muhsinin, dunia yang penuh dengan kecanggihan teknologi.

Juga pada satu-satu ketika, saya merasakan pada halaman 68-69 mengandungi terlalu banyak dialog sehingga melenyapkan situasi saspen di mana situasi pada masa itu memerlukan tindakan yang "urgent" atau "jangan banyak cakaplah, sekarang kamu berada dalam keadaan genting, nanti sembang balik". Saya berpendapat, mungkin ada baiknya jika mesej itu tidak diterjemahkan secara dialog. Lagi satu, watak Khalifah Zulkarnain yang saya kurang nampak keperwiraannya. Memang saya akui, wataknya yang paling banyak dari segi menyampaikan nasihat-nasihat, tetapi dari segi pertempuran, entah, saya tidak dapat mengatakan kekagumaan untuk watak itu berbanding dengan Komander Abu Yusuf.

Ya, mungkin satu lagi, sebelum saya terlupa, Galaksi Muhsinin, novel yang ada humor, terutama untuk watak Maharaja Legion. Dia digambarkan sebagai cyborg yang ganas dan tidak berperikemanusiaan tetapi dalam satu-satu keadaan yang genting dan pembaca tengah khusyuk membaca , kekadang dia mengeluarkan "lawak selambanya". Contohnya, "ayam itu apa", "ayam itu dari spesies manok". Nasihat saya, belajarlah bahasa Sarawak untuk pembaca belajar ketawa apabila membaca kenyataan "ayam itu dari spesies manok".

Wallahu alam

Nota : Saya menanti sekuel kedua Galaksi Muhsinin - Galaksi Muhsinin:Projek Zenzaburo

Ralat :
15 - Zulqanain, 17- kerana (2X), 50 -bago, 63 - vagi, 103 - lua, 179 - mujahddin

__________________________
NOTA: Terima kasih kepada Welma La’anda, seorang rakan blogger.

BEDAH BUKU: GALAKSI MUHSININ


Buku Galaksi Muhsisnin (GM) yang dibeli pada 2 minggu lepas sudah dikhatamkan. Untuk memenuhi permintaan sesetangah pihak yang asyik bertanya, apa komen saya tentang buku itu…maka diharapkan tulisan saya selepas ini memenuhi hajat mereka. ;)

SINOPSIS:
Apa yang saya faham, novel ini mengisahkan tentang kehidupan umat yang hidup sekitar tahun 2205. Pada ketika itu, Empayar Sibernatik Cyborg di bawah kekuasaan Maharaja Legion berjaya meluaskan jajahannya sehingga 399 galaksi namun mereka gagal untuk menawan galaksi yang ke-400 iaitu Galaksi Muhsinin.

Galaksi Muhsinin ketika itu di bawah pemerintahan Khalifah Zulqarnain dibantu oleh mujahidin2 lain termasuk Detasmen Mujahidin Elit ke-15 untuk menyebarkan misi rahmatan lil a’lamin.

KOMENTAR:
Pertama2nya…jika sesiapa yang sudah mula membaca GM, mungkin di permulaan cerita anda akan menghadapi kesukaran untuk mengikuti trek ceritanya. Ditambah2 lagi dengan istilah saintifik yang digunakan, kemungkinan anda juga mengalami simptom ‘lambat faham’ seperti saya ini. Tetapi, janganlah sesekali anda semua patah semangat…teruskanlah ke halaman2 seterusnya. Nescaya, anda akan menemui pucuk pangkal cerita ini. Bagi pembaca seperti saya, setiap kali berhenti pada halaman2 tertentu, saya terpaksa patah balik ke muka surat depannya kerana saya perlu refresh plot2 sebelumnya. Kepada penulis, jangan salah faham. Saya bukannya TIDAK FAHAM, tetapi LAMBAT sedikit.

Keduanya, mungkin satu kelebihan bagi pembaca seperti saya yang memahami beberapa istilah2 engineering yang digunapakai oleh penulis. Contohnya, seperti bulan Ferrite dan Fermentite. Sesekali tersenyum sorang2 saya dibuatnya. Penulis memang kreatif, nama struktur logam pun dijadikan nama bulan. ;p Malah unsur2 serius berbaur jenaka juga agak ‘menjadi’ rasanya. Pengabadian bahasa ibundaku –manok- menerusi novel ini sungguh tidak disangka2.

Secara fizikal dan cara penulisan, penulis menggunakan kelebihan beliau sepenuhnya sebagai pelajar Mekatronik Engineering. Dapat dirasakan beliau menghadam benar2 apa yang ingin beliau sampaikan. Pastinya kajian2 tentang persenjataan ditambah2 lagi dengan minat penulis yang sukakan buku2 genre peperangan amat2 membantu dan boleh saya katakan ‘menjadi’. Di pertengahan cerita, mungkin juga anda akan merasakan novel ini seperti novel Kombat 1515 karya Faisal Tehrani.

Namun, apa yang lebih penting pastinya mesej novel ini sendiri. Mungkin bertepatan dengan bulan kemerdekaan dan sekaligus kedatangan bulan Ramadhan, secara peribadinya saya dapat membayangkan penggabungan kedua2 situasi itu menerusi buku ini.

Peperangan angkasa oleh pejuang2 yang berperang untuk amar makruf nahi munkar yang tidak sama sekali mempunyai kepentingan peribadi…segala2nya diserahkan pada Allah. Bagi saya, nama2 watak, galaksi, kelengkapan perang dan sekitarnya sangat2 memainkan peranan untuk membangkitkan semangat jihad dalam diri. Apa yang lebih meruntun perasaan adalah ketika mana sejarah mujahidin2 terdahulu yang berperang bersama2 Rasulullah sallahu a’laihi wassalam dijadikan peringatan dan pengajaran bagi pejuang2 masa depan sepenuhnya dalam novel ini. Bukan setakat masa peperangan, bahkan pemerintahan Khalifah Zulqarnain yang digarap mencambah rasa kerinduan saya pada suasana sebegitu. Subhanallah…

Mungkin sesetengah daripada anda akan merasakan bahawa penulis begitu idealistik. Ya, keseluruhan cerita memang idealistik, tetapi apabila disantuni dengan sejarah perkembangan Islam dan sejarah kehidupan Rasulullah sallahu a’laihi wassalam dan para sahabat terdahulu, insya-Allah, anda mungkin tertunggu2 bilakah akan tibanya saat itu…Apa yang lebih mustahak adalah daripada 307 halaman input novel ini, berapa peratus outputkah yang boleh kita teladani…

Di ceruk mana pun kita diletakkan…berjuanglah… Wallahi taala a’lam

Daripada: Saudari Siti Raufa Sufrina Abdul Raub, mahasiswa Mekatronik, Tahun 2, Kuliyyah Kejuruteraan, UIAM.

PEMBETULAN: Jajahan Empayar Sibernatik Cyborg merangkumi 9 galaksi, bukan 499 buah galaksi. Rangkuman jajahan Empayar terdapat di muka-muka awal Galaksi Muhsinin. Tetapi, Jeneral Furious telah berjaya menawan 399 buah sistem. "Sistem" diertikan dalam istilah ilmiah ialah sesebuah planet ataupun sistem solar. Mungkin 9 galakssi itu tampak sedikit. Bayangkan, berapa jauh bumi dan bulan? Berapa jauh bumi dan matahari? Berapa jauh matahari dengan bintang yang lain? Berapa banyak bintang dalam galaksi? Dikhabarkan, satu galaksi mempunyai 1 trilion bintang! 1 trilion = umpama jumlah butiran pasir digabungkan di seluruh bumi! Allah Maha Perkasa, lagi Maha Bijaksana!

NOTA: Terima kasih buat Siti Raufa!